Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Trend-trend baru muncul bagi tempahan makanan Hari Raya ekoran ‘circuit breaker’ COVID-19

Tempahan katering berskala besar bagi juadah Hari Raya tahun ini boleh dianggap sebagai 'pupus' ekoran peraturan 'circuit breaker'.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tempahan katering berskala besar bagi juadah Hari Raya tahun ini boleh dianggap sebagai 'pupus' ekoran peraturan 'circuit breaker'.

Bagaimanapun muncul beberapa trend baru dalam tempahan-tempahan makanan Raya termasuk meningkatnya permintaan bagi lauk-pauk dalam saiz lebih kecil.

Tinjauan BERITAmediacorp malah mendapati ada beberapa lagi trend lain bagi tempahan juadah Hari Raya kali ini.

KETIADAAN TEMPAHAN KATERING JEJAS JUALAN

Juadah seperti lontong dan rendang memang menjadi suatu 'kewajipan' bagi masyarakat Melayu apabila tiba Hari Raya.

Bagaimanapun menyusuli larangan kunjung-mengunjung sehingga 1 Jun ini, tiada sesi-sesi rumah terbuka Aidilfitri dianjurkan.

Larangan itu membuatkan tempahan katering berskala besar seperti itu, termasuk juga acara-acara Hari Raya anjuran pihak korporat, teruk terjejas.

(Gambar: Petikan skrin dari video/ Rumah Makan Minang)

Restoran Rumah Makan Minang antara yang tidak menerima tempahan besar-besaran sebegitu - menyebabkan penjualannya untuk Hari Raya ini jatuh 60 peratus.

Bagaimanapun muncul pula satu trend baru.

Iaitu, permintaan bagi lauk Raya dalam saiz hidangan lebih kecil pula meningkat dengan ketara tahun ini.

Pemilik bersama Rumah Makan Minang, Cik Nur Syahidah Mohamad Zin berkata: "Biasanya kami menerima pesanan katering berjumlah 30 hingga 200 orang, tetapi tahun ini dengan adanya tempoh pemutus rantaian jangkitan, pelanggan berubah kepada pakej kuantiti sebanyak lima hingga enam orang sahaja."

(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Pengurus Pak Dollah, Cik Masmunah Abdullah turut berkongsi keadaan serupa: "Ada peningkatan sebanyak 300 peratus. Kami dapat melihat bagi pakej empat hingga lima orang, ia mendapat sambutan yang lebih – dalam 80 peratus."

Bagi syarikat katering Pak Dollah, ia menerima lebih 400 pesanan sebegitu bagi malam Raya.

TREND PESANAN BARU TAHUN INI

Malah syarikat Pak Dollah turut menyaksikan trend-trend lain dari segi corak pesanan pelanggan untuk Hari Raya ini.

"Kami dapati ramai antara pelanggan memesan bukan untuk satu keluarga tetapi untuk beberapa keluarga, dihantar sebagai penghubung kasih.

(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

"Kami juga dapati ada peningkatan untuk masyarakat bukan Melayu memesan makanan untuk dihantar ke rumah. Sangkaan kami ialah untuk mereka memberi makanan kepada jiran tetangga mereka atau untuk merayakan bersama pembantu rumah mereka, yang mungkin tidak dapat beraya bersama keluarga dan teman-teman," terang Cik Masmunah.

(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Hasilnya, penjualan keseluruhan syarikat Pak Dollah bagi musim Raya tahun ini naik 20 peratus berbanding tahun lalu.

RUMAH MAKAN MINANG AMBIL PENDEKATAN INOVATIF

Bagi Rumah Makan Minang, ia kini bertekad untuk memenuhi sepenuhnya pesanan saiz hidangan kecil bagi musim Hari Raya ini.

Ini termasuklah mengambil pendekatan lebih inovatif.

(Gambar: Petikan skrin dari video/ Rumah Makan Minang)

"Kami mencuba cara baru dengan memasarkan set lauk Raya kami di dalam pek vakum. Kami harus lebih kreatif dalam mencari idea dan memasarkan produk kami untuk menampung permintaan pelanggan kami," jelas Cik Syahidah.

Yang pasti, lauk-pauk Raya tetap menjadi satu kemestian semasa musim Lebaran ini - walaupun tidak berjalan Raya, walaupun diganggu COVID-19.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan