Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Transformer voltan rosak dipercayai punca bekalan elektrik terputus pada 26 Jan

Transformer voltan yang rosak dipercayai menjadi punca yang menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan di Singapura pada 26 Januari, menurut siasatan awal oleh Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Feb 2019 05:00PM Dikemas Kini : 12 Feb 2019 11:16PM

SINGAPURA: Transformer voltan yang rosak dipercayai menjadi punca yang menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan di Singapura pada 26 Januari, menurut siasatan awal oleh Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

Semasa berucap di Parlimen pada Selasa (12 Feb), Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon berkata transformer voltan yang rosak mencetuskan kebakaran di pencawang (substation) dan kebakaran itu mengaktifkan alat-alat perlindungan kuasa elektrik yang berfungsi untuk mengasingkan kerosakan tersebut agar ia tidak menjejas peralatan lain.

Ini menyebabkan bekalan elektrik kepada para penduduk terputus.

Sekitar 27,000 pengguna di Ang Mo Kio, Bishan, Sin Ming, Toa Payoh dan Thomson terjejas akibat bekalan elektrik yang terputus pada 1.30 tengah hari pada 26 Januari.

SP Power Grid berjaya memulihkan bekalan elektrik bagi 80 peratus pengguna dalam masa setengah jam. Bekalan elektrik kepada pengguna lain dipulihkan dalam masa 90 minit.

"Ini adalah insiden kegagalan tenaga yang pertama dalam tempoh lima tahun yang melibatkan kerosakan pada transformer voltan," kata Dr Koh semasa menjawab soalan AP Tanpa Kawasan Undi Leon Perera, yang bertanya tentang punca dan kesan insiden tersebut.

Encik Perera juga bertanya tentang trend insiden seumpama itu sepanjang lima tahun lalu dan langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan insiden sedemikian daripada berulang.

"Sistem tenaga kita tetap antara yang paling diyakini di dunia," kata Dr Koh. "Sepanjang enam tahun lalu, purata gangguan terhadap setiap pengguna adalah antara 12 saat hingga 4.2 minit setahun, termasuk insiden baru-baru ini."

"Sebagai perbandingan, bandar-bandar utama seperti Osaka, New York, Hong Kong dan London mengalami gangguan secara purata antara lima minit hingga 21 minit bagi setiap pengguna pada FY17 (Tahun Kewangan 2017)."

Menurut Dr Koh, EMA akan menyiasat setiap insiden dengan menyeluruh dan mengambil langkah kawal selia yang sewajarnya jika perlu.

Sejak itu SP Power Grid sudah memantau alat terjejas dengan lebih kerap dan akan mengutamakan penggantian alat tersebut apabila melakukan kerja-kerja penyenggaraan pencawang pada masa akan datang.

Sebuah jawatankuasa siasatan dalaman juga ditubuhkan oleh pengendali grid negara untuk menyiasat punca insiden tersebut, tambah Dr koh.

Langkah-langkah lain yang diambil SP Power Grid termasuk mendapatkan khidmat para pakar dari pengeluar alat tersebut untuk memberi nasihat mengenai punca yang menyebabkan insiden tersebut, serta mendapatkan Chubu Electric dari Jepun sebagai pakar bebas untuk menyemak hasil siasatan dan saranan-saranan dari pihak pengilang.

Dalam soalan tambahannya Encik Perera juga bertanya jika terdapat sebarang trend berhubung insiden baru-baru ini dan jika terdapat isu sistemik yang perlul ditangani dan protokol yang menetapkan kepantasan respons untuk memulihkan bekalan tenaga jika berlaku gangguan.

Dr Koh berkata khidmat pelanggan dan kawalan tenaga SP Power Grid misalnya, memantau dan mengawal rangkaian bekalan tenaga sepanjang masa untuk memastikan bekalan elektrik boleh dipulihkan dengan segera - lazimnya dalam masa tiga jam - jika berlaku gangguan.

Pelbagai kerja penyenggaraan juga dijalankan untuk mengelak sebarang masalah.

Menyentuh tentang trend sepanjang lima tahun lalu, Dr Koh berkata: "Kita akan berasa bimbang terhadap trend yang berkali-kali menunjukkan komponen yang sama atau sistem yang sama dalam grid kuasa elektrik mengalami kegagalan."

Beliau menambah: "Selagi siasatan belum selesai, saya tidak akan membuat sebarang kesimpulan yang mengaitkan pelbagai peralatan dengan komponen-komponen lain."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan