Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Transformasi Digital: Badan Melayu bimbang soal kos? MENDAKI boleh bantu, kata Dr Yaacob

Transformasi digital amat penting dan tidak boleh dielakkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Transformasi digital amat penting dan tidak boleh dielakkan.

Lantaran itu badan-badan Melayu/Islam (MMO) perlu segera mendakapi transformasi digital demi kekal relevan dan mampu menawarkan khidmat lebih baik kepada masyarakat. MMO juga perlu merubah cara pemikiran dan budaya pertubuhan itu sendiri.

Demikian ditekankan Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim dalam satu sesi perkongsian mengenai transformasi digital hari ini (21 Apr).

Beliau memberi jaminan bahawa MENDAKI boleh membantu jika soal 'dana' menjadi prihatinan pihak MMO.

"Saya rasa penting bagi badan-badan Melayu mengambil langkah pertama untuk mengkaji apakah yang perlu dilakukan dan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan masyarakat dengan lebih berkesan," kata Dr Yaacob.

KECIL ATAU BESAR, SEMUA PERLU SAHUT CABARAN

Dr Yaacob juga mendedahkan bahawa MENDAKI sudahpun mengumpulkan pelbagai skim pembiayaan dan geran untuk membantu MMO dalam projek digitalisasi.

"Melalui program seperti ini, peserta akan tahu tentang bagaimana mereka boleh memanfaatkan transformasi digital bagi pertubuhan mereka selain memanfaatkan maklumat yang ada untuk membuat keputusan," kata Pengarah Eksekutif Mendaki SENSE Encik Mohd Faiz Selamat.

Pandangan ini turut dikongsi Cik Zarina Begam Abdul Razak selaku Setiausaha Kehormat Perdaus. "Sesi ini mengingati kami bahawa semua badan Melayu, tidak kira kecil atau besar, semuanya perlu menyahut cabaran untuk beralih ke arah digital. Saya juga hargai sokongan yang diberikan daripada segi kewangan dan kepakaran," kata Cik Zarina.

TEKNOLOGI MAMPU BERI BANTUAN SELAYAKNYA KEPADA YANG MEMERLUKAN

Namun, dalam mencapai transformasi digital yang diinginkan, Dr Yaacob menasihati MMO supaya tidak hilang 'hubungan erat' yang dijalin selama ini dengan masyarakat.

Menurutnya, hubungan erat atau 'sentuhan manusia' antara penerima dengan badan-badan sedia ada, adalah intipati dan kekuatan sektor relawan Melayu/Islam.

"Yang penting saya rasa apa yang boleh digunakan ialah dengan teknologi itu, ia boleh memperkayakan lagi perhubungan tersebut.

"Sebagai contoh, apabila kita bertemu dengan seseorang yang meminta bantuan, mungkin dengan maklumat yang kita ada, kita tahu apakah bantuan yang diperlukan dan apa yang boleh dihulurkan kepada mereka, dengan lebih tepat," jelas Dr Yaacob.

Di sesi itu juga, diumumkan bahawa Jawatankuasa Panduan Transformasi Digital sedang dibentuk MENDAKI bagi memberi sokongan kepada MMO dalam proses transformasi mereka.

Sekitar 30 anggota MMO hadir di acara perkongsian hari ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan