Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

TraceTogether akan diwajibkan untuk masuk pusat beli-belah, sekolah dan tempat kerja

Menjelang Disember, orang ramai wajib menggunakan aplikasi mudah alih atau alat TraceTogether untuk memasuki tempat-tempat seperti tempat kerja, sekolah dan pusat beli-belah serta cawangan makanan dan minuman (F&B) di bawah rancangan Pemerintah untuk membuka ekonomi negara ke tahap selanjutnya.

Anggaran Waktu Membaca:
TraceTogether akan diwajibkan untuk masuk pusat beli-belah, sekolah dan tempat kerja

(Gambar: Ooi Boon Keong/ TODAY)

Diterbitkan : 21 Oct 2020 08:23AM Dikemas Kini : 21 Oct 2020 08:29AM

SINGAPURA: Menjelang Disember, orang ramai wajib menggunakan aplikasi mudah alih atau alat TraceTogether untuk memasuki tempat-tempat seperti tempat kerja, sekolah dan pusat beli-belah serta cawangan makanan dan minuman (F&B) di bawah rancangan Pemerintah untuk membuka ekonomi negara ke tahap selanjutnya.

Di tempat-tempat tersebut, orang ramai tidak akan dapat berdaftar masuk dengan mengimbas kad pengenalan mereka atau kod QR SafeEntry menerusi telefon mereka, menurut Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) pada Selasa (20 Okt).

Sebaliknya, mereka perlu menggunakan sama ada aplikasi TraceTogether untuk mengimbas kod QR di premis atau mengemukakan alat tersebut kepada kakitangan bertugas bagi pengimbasan kod.

Buat masa ini, hanya penggunaan SafeEntry diwajibkan.

Pejabat tersebut, yang merupakan sebuah jabatan di bawah Pejabat Perdana Menteri, merancang untuk meluaskan secara bertahap-tahap jumlah tempat yang melaksanakan pemeriksaan wajib menerusi TraceTogether.

TraceTogether dilancarkan pada 20 Mei sebagai sebuah aplikasi mudah alih untuk menyokong usaha pengesanan kontak COVID-19 dengan menukar isyarat Bluetooth antara telefon-telefon bimbit berhampiran, yang mempunyai aplikasi tersebut. Ia menganggarkan jarak antara pengguna dan berapa lama mereka berada dalam jarak hubungan rapat.

Versi token pula, yang merupakan sebuah alat kendiri, pertama kali diagihkan kepada 10,000 warga emas pada Jun. Ia kini boleh diambil di 38 kelab atau pusat masyarakat (CC) dan akan disediakan di kesemua 108 CC merata negara menjelang hujung November.

Penggunaan menerusi TraceTogether sahaja di tempat masuk SafeEntry sudahpun diuji sejak Ogos di tempat-tempat terpilih di mana orang ramai kemungkinan besar berada dalam jarak hubungan rapat buat tempoh masa yang lama atau terdapat pergerakan manusia yang tinggi, menurut pejabat itu.

Ia juga akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, dari sekarang hingga pertengahan November, di tempat-tempat dengan kegiatan yang melibatkan saiz kumpulan lebih besar seperti persembahan secara langsung, acara perniagaan dan khidmat keagamaan dengan lebih 100 hadirin.

Pada awal Selasa, pihak berkuasa mengesahkan peraturan baru itu khususnya bagi pawagam dengan menyatakan bahawa para pengunjung perlu menggunakan TraceTogether untuk memasuki pawagam mulai Isnin depan (26 Okt) dengan tempoh tiga minggu untuk pelanggan membuat penyesuaian.

Menjelang Disember, apabila kebanyakan orang sudahpun berpeluang mengambil alat mereka, keperluan mewajibkan penggunaan TraceTogether akan dilaksanakan di semua tempat di mana SafeEntry kini diwajibkan.

Di sebuah sidang media oleh pasukan bertindak berbilang kementerian pada Selasa, Menteri Pendidikan Lawrence Wong - yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak itu, berkata penggunaan TraceTogether oleh 70 peratus penduduk akan menjadi salah satu syarat sebelum Pemerintah melangkah ke Fasa Tiga pembukaan semula Singapura.

Kini, kadar penggunaan aplikasi atau alat TraceTogether adalah sekitar 2.5 juta orang iaitu kira-kira 45 peratus daripada jumlah penduduk.

Pihak berkuasa pada awal bulan ini menyatakan lebih 100,000 alat itu sudahpun diagihkan.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan