Images
  • elderly
    Gambar fail. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Tokokan MediSave S$270 juta bulan depan; antara S$200-S$800 bagi Generasi Perintis & S$200 setiap tahun bagi Generasi Merdeka

SINGAPURA: Warga emas yang layak akan menerima tokokan MediSave bernilai S$270 juta pada Julai di bawah pakej Generasi Perintis dan Generasi Merdeka, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (13 Jun).

Tokokan MediSave boleh digunakan untuk membayar premium MediShield Hayat dan pelan-pelan insurans lain yang diluluskan MediSave, menurut kedua-dua kementerian dalam kenyataan media yang dikeluarkan secara bersama. Dana itu juga boleh digunakan untuk membiayai kos rawatan hospital, pembedahan siang hari dan rawatan-rawatan pesakit luar lain yang diluluskan.

Warga emas yang layak menerima pakej Generasi Merdeka mungkin sudah menerima surat yang memaklumkan mereka tentang faedah-faedah yang bakal diterima.

Para anggota Generasi Perintis akan menerima surat mereka pada minggu depan. Surat ini mengandungi maklumat mengenai tokokan MediSave bagi tahun ini dan faedah-faedah lain.

Pakej Generasi Perintis diumumkan pada 2014 untuk mengiktiraf sumbangan generasi perintis Singapura. Rakyat Singapura yang dilahirkan pada atau sebelum 31 Disember 1949 dan mendapat kerakyatan negara ini sebelum hujung 1986 layak menerima pakej itu.

Para anggota Generasi Perintis akan menerima tokokan MediSave antara S$200 hingga S$800 setiap tahun bergantung kepada tahun mereka dilahirkan.

Pakej Generasi Merdeka pula diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Negara tahun ini dan ia bertujuan untuk menampung kos jagaan kesihatan golongan lanjut usia. Rakyat Singapura yang dilahirkan antara 1 Januari 1950 hingga 31 Disember 1959 dan mendapat kerakyatan sebelum akhir 1996 layak menerima pakej itu.

Para penerima pakej Generasi Merdeka akan menerima tokokan MediSave sebanyak S$200 setiap tahun selama lima tahun dari 2019 hingga 2023.

Tokokan MediSave bagi Generasi Perintis dan Merdeka diberikan secara berasingan daripada tokokan yang diagihkan kepada rakyat Singapura yang berusia 65 tahun ke atas tahun ini di bawah skim Baucar GST.

Perincian mengenai Pakej Generasi Perintis boleh didapatkan menerusi laman www.pioneers.sg dan maklumat lanjut mengenai Pakej Generasi Merdeka boleh diperolehi di www.merdekageneration.sg.

- CNA/ZM/zm

Top