Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tokoh Buddha antarabangsa lawat Masjid Ba'alwie, puji keharmonian agama di S'pura

Seorang tokoh Buddha terkenal di persada antarabangsa dan ketua sami terkemuka dari Taiwan, Venerable Master Hsin Tao, berkunjung ke Masjid Ba'alwie.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang tokoh Buddha terkenal di persada antarabangsa dan ketua sami terkemuka dari Taiwan, Venerable Master Hsin Tao, berkunjung ke Masjid Ba'alwie hari ini (11 Jun) bagi menyertai satu pertemuan silang agama.

Pertemuan itu dianjurkan bagi mendalami pemahaman silang agama dalam masyarakat majmuk di Singapura dan di dunia

Master Hsin Tao melahirkan rasa kagum dengan perpaduan silang agama yang wujud di negara ini.

Semasa kunjungannya lewat petang tadi, Venerable Master Hsin Tao, yang merupakan pengasas Kuil Ling Jiou Mountain dan seorang tokoh silang agama, disambut mesra oleh Imam Masjid Ba'alwie Habib Syed Hassan Al-Attas.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

Tokoh Buddha itu turut menyampaikan ucapan mengenai peri pentingnya peranan kepimpinan agama dalam menggalak keamanan dan keharmonian.

"Saya amat berbesar hati dapat melihat perpaduan pelbagai agama di Singapura. Visi saya adalah untuk memupuk kasih sayang dan keamanan di dunia. Hati kita seringkali tidak tenang. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita semua untuk mencari jalan dan bekerjasama mewujudkan kepentingan bersama," kata Venerable Master Hsin Tao.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

Beliau yang juga pengasas Muzium Agama-Agama Dunia (www.mwr.org.tw) turut melahirkan rasa gembira melihat pelbagai agama berhimpun hari ini untuk saling bertukar-tukar pandangan dan berharap agar lebih banyak peluang seumpama itu diadakan.

Perhimpunan silang agama itu disertai 25 wakil daripada 10 kumpulan agama berbeza termasuk Islam, Buddha, Kristian dan Yahudi di bawah Pertubuhan Antara Agama (IRO).

Mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, juga hadir sebagai tetamu istimewa bagi perhimpunan itu, yang dianjurkan sebuah NGO baru bernama Pusat Pemahaman Silang Agama (CIFU).

"Kehadiran beliau di Singapura menunjukkan bahawa ini satu pengiktirafan bahawa Singapura adalah salah satu negara di mana berbilang kaum berbilang bangsa boleh bersatu padu dan menunjukkan bahawa apa yang kita telah lakukan selama ini ialah satu contoh bagi beliau dan juga bagi kita untuk kita sama-sama berkongsi dengan mereka yang bukan dari Singapura," kata Dr Yaacob.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

Sekalipun demikian, beliau menekankan bahawa rakyat masih belum boleh menganggap Singapura sudah berjaya kerana usaha mewujudkan persefahaman antara agama ini perlu dilakukan secara berterusan.

"Yang paling penting ialah bagaimana kita boleh mewujudkan cara kita hidup berbilang kaum bangsa dan agama seperti satu cara hidup di Singapura. Itulah yang saya ingin kita boleh terus memperkuatkan lagi di Singapura bahawa kitalah negara yang berbilang kaum dan berbilang bangsa dan harus kita gunakan perbezaan ini sebagai satu kekuatan bagi negara kita untuk terus berjaya ke masa-masa yang akan datang," ujar Dr Yaacob.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan