Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tinjauan usul sumbangan CPF pekerja lanjut usia dinaikkan agar setara dengan pekerja lebih muda

Kadar sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi pekerja lebih tua patut dinaikkan agar ia setara dengan pekerja lebih muda, menurut satu kajian tempatan yang diterbitkan pada Rabu (26 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Tinjauan usul sumbangan CPF pekerja lanjut usia dinaikkan agar setara dengan pekerja lebih muda

(Gambar fail: Calvin Oh)

Diterbitkan : 27 Jun 2019 08:39AM Dikemas Kini : 27 Jun 2019 08:41AM

SINGAPURA: Kadar sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi pekerja lebih tua patut dinaikkan agar ia setara dengan pekerja lebih muda, menurut satu kajian tempatan yang diterbitkan pada Rabu (26 Jun).

Langkah menaikkan kadar sumbangan pekerja dan majikan akan menggalak pekerja lebih tua untuk kekal bekerja dan menambah simpanan persaraan mereka, menurut kajian oleh pemikir setempat, Institut Pengajian Dasar (IPS).

Persoalan mengenai kadar sumbangan pekerja senja mendapat perhatian tahun ini sedang Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dijangka mendedahkab perincian mengenai semakan ke atas usia persaraan dan pengambilan semula pekerja serta kadar sumbangan CPF pada bulan September.

Para pengkaji IPS menyarankan kadar sumbangan bagi para pekerja yang berusia 55 hingga 65 tahun dinaikkan kepada 37 peratus, setara dengan kadar yang dikuatkuasakan sekarang bagi pekerja yang berusia 55 tahun ke bawah.

Ini bermakna para pekerja yang berusia 55 hingga 60 tahun akan meraih kenaikan 11 peratusan mata berbanding kadar sumbangan 26 peratus sekarang, manakala para pekerja yang berusia 60 hingga 65 tahun akan menyaksikan peningkatan 20.5 peratusan mata.

Kajian IPS turut menunjukkan bahawa dengan tokokan sedemikian, seorang pekerja yang berusia 55 tahun pada 2018 boleh menabung simpanan tambahan antara S$31,000 hingga S$145,000 dalam tempoh 10 tahun dari usia 55 hingga 64 tahun.

Ini akan lebih daripada menggandakan bayaran CPF Life mereka - iaitu skim anuiti yang mengagihkan bayaran bulanan kepada warga Singapura atau penduduk tetap yang berusia 65 tahun ke atas melalui akaun persaraan CPF mereka.

Mendedahkan kepada Mediacorp, penyelidik kanan Encik Christopher Gee berkata para pengkaji boleh menyarankan kadar tambahan bagi mereka yang berusia menjangkaui 65 tahun, tetapi memberi tumpuan kepada dua kumpulan usia tersebut kerana ia mempunyai kesan lebih seganda terhadap pembayaran CPF Life yang bermula dari usia 65 tahun.

Gambar fail bangunan CPF. (Gambar: TODAY)

"Namun secara prinsip, tiada halangan bagi para penggubal dasar untuk menaikkan juga kadar bagi pekerja berusia 65 tahun ke atas," tambah beliau.

Bagi kedua-dua kumpulan usia dalam tinjauan tersebut, IPS menyarankan sumbangan pekerja dinaikkan dari 13 dan 7.5 peratus kepada 20 peratus, manakala sumbangan majikan kepada akaun CPF pekerja dinaikkan dari 13 dan 9 peratus kepada 17 peratus.

SIMPANAN TAMBAHAN YANG DIRAIH

Sebagai contoh, seorang pekerja yang berusia antara 55 hingga 65 tahun dengan gaji bulanan S$1,424 akan dapat menabung S$25,610 mengikut kadar sumbangan CPF sedia ada. Dengan saranan yang diusulkan, mereka dapat menambah simpanan mereka kepada S$66,524 atau lonjakan sebanyak S$40,914.

Mereka juga akan menerima agihan CPF Life yang lebih tinggi. Menggunakan gaji yang sama sebagai contoh, seorang pekerja akan mendapat agihan tambahan sebanyak S$248 sebulan - dari S$166 sebulan mengikut kadar sedia ada, menjadikannya S$414 di bawah kadar yang disarankan

KELEBIHAN DAN KELEMAHAN SARANAN

Para pengkaji dari IPS, Encik Damien Huang dan Encik Gee akur terdapat kelebihan dan kelemahan bagi saranan-saranan yang diusulkan.

Bagaimanapun mereka menarik perhatian bahawa dengan menaikkan kadar itu, ia akan menggalak para pekerja untuk kekal bekerja.

Ini, menurut mereka, amat relevan sedang pasaran buruh semakin mengetat dan para majikan "terpaksa bergantung kepada pekerja lebih tua".

Namun peningkatan pada kadar itu juga bermakna pendapatan yang boleh digunakan semakin rendah bagi para pekerja. Bagi pihak majikan pula, ia akan menambah kos gaji.

Encik Gee memberitahu Mediacorp bahawa meskipun para pekerja mungkin "rasa terhimpit sedikit" dalam jangka pendek akibat pendapatan yang boleh digunakan yang berkurangan, mereka dapat meraih manfaatnya dalam jangka panjang.

KADAR PERNAH DINAIKKAN PADA 2016

Kadar sumbangan bagi pekerja lebih tua kali terakhir disemak pada 2016. Pada ketika itu, para pekerja dalam lingungan usia 50 hingga 55 tahun dinaikkan kadar sumbangan mereka sebanyak 2 peratusan mata kepada 37 peratus, setara dengan pekerja lebih muda.

Usulan IPS selaras dengan seruan beberapa pihak awal tahun ini.

Pada Januari, PAP.SG juga menyarankan agar kadar sumbangan keseluruhan bagi para pekerja 55 tahun ke atas dinaikkan, agar mereka dapat bersara dengan simpanan yang mencukupi.

IPS adalah sebuah pusat penyelidikan bebas di bawah Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan