Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tinjauan: Separuh warga S'pura rasa amah patut terima gaji bawah S$600 sebulan

Satu tinjauan baru oleh firma global penyelidikan pasaran YouGov mendapati warga Singapura tidak bersepakat berhubung sama ada para pembantu rumah patut menerima lebih dari S$600 sebulan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tinjauan: Separuh warga S'pura rasa amah patut terima gaji bawah S$600 sebulan

Gambar fail (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 09 Nov 2019 10:55PM Dikemas Kini : 09 Nov 2019 11:00PM

SINGAPURA: Satu tinjauan baru oleh firma global penyelidikan pasaran YouGov mendapati warga Singapura tidak bersepakat berhubung sama ada para pembantu rumah patut menerima lebih dari S$600 sebulan.

Pendapat dalam kalangan pemain industri turut berbelah bagi.

Sedang badan bukan pemerintah (NGO) menyatakan para pembantu rumah seharusnya diberi bayaran lebih ekoran masa kerja yang lama, sebuah persatuan agensi pengambilan pekerjaan pula berpendapat gaji sedia ada adalah wajar memandangkan pihak majikan menanggung kos seperti makanan, tempat tinggal dan perubatan.

Hasil tinjauan online melibatkan 1,060 warga Singapura mendapati 52 peratus berpendapat pembantu rumah patut dibayar lebih S$600 sebulan, manakala 48 peratus berpendapat sebaliknya.

Singapura mempunyai antara bilangan pembantu rumah asing (FDW) paling ramai di Asia. Setakat Jun 2019, negara ini menggajikan 255,800 amah. Hong Kong pula menggajikan 400,000.

Pada September 2016, HelperChoice - wadah yang memadankan majikan dengan pembantu rumah - menganalisis data ratusan iklan kerja FDW di Singapura dan mendapati gaji purata yang ditawarkan adalah S$597 sebulan.

Ini lebih rendah berbanding purata di Hong Kong, namun tinggi sedikit berbanding di negara-negara Timur Tengah, menurut HelperChoice.

BEBAN KERJA BERAT

Beberapa hasil tinjauan menunjukkan bahawa kerja dilakukan FDW tidak dinilai setimpalnya meskipun terdapat kebertanggungan terhadap mereka bagi urusan rumah dan penjagaan, menurut Cik Jaya Anil Kumar, pengurus kes di NGO Pertubuhan Kemanusiaan untuk Ekonomi Migrasi (HOME) yang berpangkalan di Singapura.

Cik Jaya merasakan bahawa FDW di Singapura perlu dibayar lebih dari S$ 600 sebulan kerana mereka bekerja sehingga 16 jam sehari.

"Ramai, terutamanya mereka yang diberi tanggungjawab penjagaan melakukan tugas hampir tanpa henti," katanya kepada Mediacorp, sambil menarik perhatian bahawa Akta Pengambilan Tenaga Kerja Asing tidak mengawal waktu kerja mereka, setakat menetapkan mereka mendapat satu hari cuti seminggu.

KOS KEHIDUPAN MENINGKAT DI KAMPUNG HALAMAN

Cik Racquel Pascual, seorang FDW warga Filipina yang sudah bekerja di Singapura selama sedekad, berkata bahawa gaji S$600 sebulan terlalu "rendah" memandangkan kos sara hidup di Filipina kian meningkat, ditambah pula dengan kadar pertukaran mata wang yang melemah.

"Saya tidak mempunyai suami, keluarga saya sentiasa memerlukan wang tambahan," kata pekerja berusia 39 tahun itu, yang kini memperoleh S$750 sebulan setelah bekerja dengan majikannya yang keempat.

Cik Jaya dari HOME akur tiada satu-satu huraian yang sesuai untuk semua kes apabila menyentuh tentang gaji FDW. Namun beliau menambah, pekerja yang mempunyai pengalaman dan kemahiran tertentu boleh dibayar lebih.

BAGAIMANA GAJI DITENTUKAN?

Antara faktor lain yang menentukan gaji FDW adalah gaji bulanan minimum yang ditetapkan oleh negara asal mereka, kata Presiden Persatuan Agensi Pengambilan Kerja, K Jayaprema.

Apabila menentukan gaji permulaan bagi seorang FDW, "ejen merujuk kepada gaji minimum", kata Cik Jayaprema kepada Mediacorp. Bagaimanapun mereka yang mempunyai kemahiran dan pengalaman boleh meminta gaji yang lebih banyak.

Ms Jaya dari HOME berkata ia amat "membantu" jika Singapura memperkenalkan gaji minimum untuk FDW yang lebih tinggi dari S$600 sebulan.

Beliau menukil contoh pekerja yang melakukan kerja rumah yang sama - seperti pekerja pembersihan - dilindungi di bawah Akta Pekerjaan dan berhak untuk dibayar gaji lembur dan gaji tambahan apabila bekerja pada hari cuti.

"Menetapkan gaji minimum akan mengurangkan ketidakseimbangan yang disebabkan oleh pengecualian mereka daripada undang-undang buruh utama," tambahnya.

SEMUA PERBELANJAAN DITANGGUNG

Namun Cik Jayaprema pula berkata pihak majikan memandang gaji S$600 sebulan sebagai "setimpal" apabila mengambil kira faktor-faktor seperti makanan, penginapan, air, barangan elektrik dan perkakas rumah yang ditanggungnya.

Cik Jayaprema berkata FDWs dibayar dengan kadar yang sama semasa tempoh beberapa bulan pertama bekerja dan semasa di tempat kerja, dan mereka boleh berehat pada waktu-waktu sepanjang hari jika mereka cekap dalam menyelesaikan tugas-tugas mereka.

Apabila dibandingkan dengan gaji pekerja pembersihan setempat, tambahnya, seorang pekerja pembersih membawa pulang jumlah hampir sama dengan seorang FDW setelah mengetepikan perbelanjaan seharian dan CPF.

ATURAN YANG 'ADIL'

Seorang majikan bernama Cik Anna Leong, 60 tahun, memberitahu Mediacorp beliau menaikkan gaji FDW Myanmarnya dari S$530 kepada S$600 sebulan selepas dua tahun pertama, sambil berkata bahawa pembantu itu dipercayai dan bertanggungjawab dan menjaga ayahnya yang nyanyuk dengan baik.

Bagaimanapun, Cik Leong - yang bekerja sebagai seorang jurulatih kepimpinan - berkata beliau tidak akan membayar lebih $700 sebulan kerana ini akan membuat kos keseluruhan "agak mahal". Ini akan membuat aturan penjagaan alternatif seperti pusat jagaan harian lebih berbaloi dari segi kos.

"Soal gaji, saya rasa S$600 adalah jumlah yang munasabah," katanya. "Anda perlu memikirkan cara yang berbeza untuk memberi mereka insentif."

Cik Leong berkata beliau akan membiaya kursus kemahiran Bahasa Inggeris, menjahit atau penjagaan warga tua bagi pembantu rumahnya supaya mereka boleh mendapat kemahiran baru, dan memberi mereka wang saku setiap Tahun Baru Cina dan Krismas.

"Kami menanggung perbelanjaan penginapan dan makan minum mereka dan apabila mereka pulang, kami juga menanggung tiket penerbangan," kata Cik Leong lagi.

"Maka itu jika majikan bersikap adil terhadap mereka, mereka benar-benar dapat bawa pulang jumlah (keseluruhan) itu. Cabarannya adalah mencapai aturan yang adil. Mereka mainkan peranan mereka, kita mainkan peranan kita. Dan kita berlaku baik terhadap mereka - itu paling penting."

Sumber : CNA/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan