Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tinjauan mengenai hukuman mati bagi MHA fahami sentimen awam

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sedang menjalankan tinjauan peringkat nasional bagi memahami sentimen awam terhadap hukuman mati di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Tinjauan mengenai hukuman mati bagi MHA fahami sentimen awam

Pintu masuk Penjara Changi. (Gambar fail: Jabatan Penjara Singapura)

Diterbitkan : 01 Nov 2018 09:36AM Dikemas Kini : 01 Nov 2018 09:39AM

SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sedang menjalankan tinjauan peringkat nasional bagi memahami sentimen awam terhadap hukuman mati di Singapura.

Tinjauan itu, yang akan dijalankan antara Oktober hingga Disember, melibatkan 2,000 rakyat Singapura dan penduduk tetap yang dipilih secara rambang.

Mereka dimaklumkan mengenai penyertaan dalam tinjauan berkenaan melalui kiriman surat yang turut dilihat oleh Mediacorp.

Surat itu menyatakan bahawa seorang penemu bual dari Blackbox Research yang dilantik untuk menjalankan tinjauan itu mungkin mengunjungi rumah responden. Penemu bual itu boleh dikenal pasti menerusi pas pengenalan syarikat mereka atau surat kebenaran MHA.

Para peserta diberitahu bahawa tinjauan itu hanya akan mengambil masa sekitar 15 minit.

"Kami memberi jaminan bahawa tinjauan itu tidak akan mendedahkan identiti anda dan respons anda juga akan dirahsiakan," menurut surat tersebut.

Memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp, jurucakap MHA mengatakan bahawa tinjauan itu dijalankan bagi "memahami lebih mendalam mengenai pandangan para penduduk Singapura terhadap hukuman mati" dan ia adalah sebahagian daripada kajian Pemerintah terhadap sistem keadilan dan kehakiman negara ini yang sering dilakukan.

Para peserta dipilih secara rambang berdasarkan usia, kaum dan jantina bagi mewakili penduduk Singapura, menurut MHA.

Setiap responden akan diberi baucar NTUC FairPrice bernilai S$5 selepas menyertai tinjauan tersebut.

Tinjauan yang dijalankan oleh unit maklum balas pemerintah REACH pada tahun 2016 mendapati bahawa ramai responden menyokong hukuman mati.

Lapan daripada setiap 10 responden berkata hukuman mati harus dikekalkan, dengan 82 peratus bersetuju bahawa ia adalah langkah yang penting bagi membantu melindungi Singapura daripada jenayah-jenayah serius.

Hanya satu daripada setiap 10 responden yang menyatakan bahawa hukuman itu harus dimansuhkan.

Menurut data Jabatan Penjara Singapura, terdapat lapan hukuman mati pada tahun lalu dengan kesemuanya atas kesalahan dadah.

Pada tahun 2016, empat hukuman mati dijalankan - dua bagi kesalahan dadah dan dua lagi bagi kesalahan membunuh.

Pada 2012, Parlimen meluluskan undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kes-kes dadah tertentu dan kes pembunuhan di mana tertuduh tidak berniat membunuh.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan