Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tinjauan: Kurang separuh SME Melayu/Islam dakapi wadah edagang; kurang selesa belanja bagi inisiatif digital

Cabaran yang dihadapi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) Melayu/Islam adalah bagaimana untuk mengubah suai perniagaan sedia ada dengan membangunkan dan menggunakan teknologi digital terkini agar lebih bersedia bagi ekonomi pasca COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cabaran yang dihadapi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) Melayu/Islam adalah bagaimana untuk mengubah suai perniagaan sedia ada dengan membangunkan dan menggunakan teknologi digital terkini agar lebih bersedia bagi ekonomi pasca COVID-19.

Demikian menurut tinjauan Pejabat Transformasi Digital Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) ke atas 112 SME Melayu/Islam, tiga bulan lalu.

Tinjauan itu mendapati kurang separuh SME menggunakan wadah edagang (44.5 peratus) dan bayaran elektronik (40 peratus), malah banyak yang tidak sanggup mengeluarkan belanja bagi inisiatif-inisiatif digital untuk berurus niaga.

45% PENIAGA SELESA BELANJA HANYA SEHINGGA S$100 BAGI INISIATIF DIGITAL

Norma baru perniagaan semasa penularan COVID-19 memerlukan pemilik perniagaan berfikir bagaimana mengalihkan kaedah berinteraksi dengan pelanggan melalui perniagaan digital.

Ia juga titik kesedaran bahawa kemahiran berniaga dalam ekonomi digital bukan satu pilihan, tetapi sesuatu yang penting untuk usahawan meneroka lebih jauh.

Bagaimanapun, menurut tinjauan Pejabat Transformasi Digital DPPMS, 45 peratus peniaga hanya selesa membelanjakan sehingga S$100 bagi inisiatif-inisiatif digital untuk menjadikan perniagaan mereka lebih berdaya saing.

Ini meskipun hampir 80 peratus akur huraian digital membantu mereka mendekati pelanggan baru manakala sekitar 60 peratus berjaya meningkatkan daya penghasilan dan jualan lebih tinggi.

Antara hambatan untuk mendakap pendigitalan pula termasuk pertumbuhan jumlah pelanggan yang perlahan serta kos tinggi untuk mengendalikan platform digital.

Pengarah Eksekutif DPPMS, Encik Azrulnizam Shah Sohaimi berkata: "Bagi SME Melayu/Islam yang lebih kecil, mereka tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk mendalami dakapan digital.

"Jadi mereka mungkin lebih senang hati untuk mendakap platform seperti wadah pemasaran dan pasaran sedia ada seperti Grab ataupun Shopee, yang boleh memberi faedah dari segi pendapatan."

PERLU PERUBAHAN MODEL PERNIAGAAN

Selain Encik Azrulnizam Shah Sohaimi, anggota panel acara webinar berjudul 'Kekal Relevan dalam Era Digital' ini juga terdiri daripada Encik Poon King Wang, Pengarah bagi Pusat Lee Kuan Yew bagi Bandar Inovatif di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Encik Shamir Rahim, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif VersaFleet serta Cik Aziza Sheerin, Pengarah Urusan General Assembly bagi Asia.

Mereka membincangkan juga perlunya wujud perubahan model perniagaan kepada ekonomi digital.

Ini termasuk dalam pengambilan pekerja, cabaran dan huraian transformasi digital serta kemahiran yang diperlukan bagi menjadikan perniagaan lebih berdaya saing.

Webinar tahunan ini dianjurkan AMP dengan kerjasama Pusat bagi Kajian Ehwal Islam dan Melayu (RIMA).   

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan