Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tinjauan HSBC: S'pura pilihan pertama sebagai tempat tinggal, kerja, bagi golongan ekspatriat

Buat empat tahun berturut-turut, Singapura menduduki tempat pertama sebagai tempat yang terbaik bagi para ekspatriat untuk tinggal dan bekerja, menurut tinjauan HSBC.

Anggaran Waktu Membaca:
Tinjauan HSBC: S'pura pilihan pertama sebagai tempat tinggal, kerja, bagi golongan ekspatriat

Pemandangan Marina Bay Sands dan latar langit kawasan pusat bandar Singapura. (Gamabr fail: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 11 Oct 2018 11:31PM Dikemas Kini : 11 Oct 2018 11:37PM

SINGAPURA: Buat empat tahun berturut-turut, Singapura menduduki tempat pertama sebagai tempat yang terbaik bagi para ekspatriat untuk tinggal dan bekerja, menurut tinjauan HSBC.

Lebih 22,000 ekspatriat mengambil bahagian dalam tinjauan HSBC yang dijalankan oleh YouGov pada Mac dan April lalu.

Menurut tinjauan itu, Singapura mendahului 30 tempat lain. Meskipun golongan ekspatriat yang bekerja di Singapura secara purata membawa pulang gaji lebih rendah berbanding mereka yang bekerja di Hong Kong, negara Asia Tenggara ini lebih unggul dalam aspek lain iaitu dari segi manfaat yang diraih oleh keluarga serta mutu kehidupan keseluruhannya.

GAJI KOMPETITIF, BAIK BAGI KANAK-KANAK

Gaji bagi ekspatriat di Singapura adalah 30 peratus lebih tinggi dari purata global, menurut tinjauan. Ramai menyatakan bahawa mereka berpindah ke Singapura untuk mendaki tangga kerjaya (45 peratus) dan mendapat gaji lebih tinggi (38 peratus).

Purata gaji tahunan mereka adalah AS$160,000 (S$221,500), iaitu 29 peratus lebih tinggi berbanding gaji yang dibawa pulang semasa bekerja di negara mereka.

Ini meletakkan Singapura di tempat ketiga berdasarkan gaji tahunan golongan ekspatriat di Asia-Pasifik, didahului Hong Kong, di mana mereka mendapat purata gaji AS$180,000 (S$248,000) dan China, di mana mereka meraih purata gaji AS$170,000 (S$234,000) setiap tahun.

Switzerland membayar gaji tertinggi bagi golongan berkenaan - AS$203,000 (S$279,000) setiap tahun atau seganda paras global.

Singapura juga tempat yang baik bagi golongan ekspatriat yang mempunyai keluarga, di mana hampir 75 peratus menyatakan mutu kehidupan anak-anak mereka keseluruhannya lebih baik di sini.

"Kualiti penjagaan kanak-kanak dan pendidikan dianggap lebih baik daripada yang ditawarkan di negara masing-masing oleh ramai ekspatriat dan 60 peratus menyatakan bahawa kesihatan dan kebajikan anak-anak mereka lebih baik di sini," menurut tinjauan.

80 peratus ekspatriat di Singapura yakin dalam kestabilan politik dan ekonomi negara ini, menurut tinjauan itu lagi, dan 78 peratus menyatakan mereka akan menyarankan bandar ini kepada sesiapa yang ingin berpindah.

"Lebih 25 peratus ekspatriat di Singapura pada awalnya dihantar oleh majikan mereka (27 peratus), tetapi hampir separuh (47 peratus) kekal di sini kerana mutu kehidupan lebih baik bagi mereka dan keluarga."

TEKANAN KERJA, KOS SARA HIDUP LEBIH TINGGI

Namun, kehidupan di Singapura kadangkala memberi tekanan bagi sebilangan mereka, dengan 46 peratus menyatakan bahawa mereka berasa lebih tertekan gara-gara pekerjaan mereka di Singapura jika dibandingkan dengan pengalaman di negara asal.

"75 peratus merupakan karyawan sepenuh masa dan lebih separuh menyatakan bahawa mereka tidak dapat mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan seperti yang dapat mereka capai di negara asal," dedah tinjauan itu.

Kos sara hidup yang tinggi di Singapura boleh menjadi satu masalah bagi sesetengah ekspatriat juga, dengan hanya 26 peratus yang memiliki hartanah di negara ini.

50 peratus ekspatriat menyatakan mereka tidak mampu membeli sebuah rumah di Singapura, menurut tinjauan, dan kebanyakannya sebaliknya memilih untuk membeli hartanah di negara mereka sendiri.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan