Images
  • 1MDB
    (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP) 

Tindakan, siasatan terhadap 1MDB bukan pertimbangan politik tetapi demi kepentingan S'pura

SINGAPURA: Singapura sudah menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat dan para individu yang ada kaitan dengan skandal 1MDB. Ini bukan atas pertimbangan politik tetapi demi "kepentingan negara", tegas Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan di Parlimen pada Isnin (9 Jul).

"Kami tidak akan bertolak ansur terhadap penyalahgunaan sistem kewangan kita untuk menyembunyikan atau menggelapkan dana," kata beliau.

"Kami akan terus membantu kerajaan Malaysia dalam siasatannya. Kami juga sudah memaklumkan kerajaan Malaysia bahawa pihaknya boleh memanfaatkan proses undang-undang menerusi mahkamah Singapura untuk menentukan pemilikan dan mendapatkan semula sebarang aset yang dirampas di Singapura yang dikaitkan dengan 1MDB."

Walaupun siasatan ke atas 1MDB sudah diperhebat selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa Singapura sendiri sudah menyiasat kesalahan yang dilakukan di sini sejak 2015.

Singapura sudah menutup dua bank dan mengenakan denda terhadap bank-bank lain kerana melanggar peraturan kawal selia. Individu yang didapati bersalah jugasudah didenda dan dikenakan hukuman penjara.

"Sejauh ini, kita adalah satu-satunya negara yang berbuat demikian," kata Dr Balakrishnan.

Beliau menambah, Singapura "memberikan respons sepenuhnya terhadap setiap permintaan bagi mendapatkan maklumat" dari pihak berkuasa Malaysia antara Mac 2015 hingga Ogos 2016. Singapura juga secara proaktif memberikan maklumat tambahan kepada pihak berkuasa Malaysia mengenai aliran dana berkaitan dengan 1MDB.

Secara keseluruhannya, Singapura memberikan maklumat yang ada kaitan dengan 1MDB sebanyak lebih 30 kali sepanjang tempoh itu, kata beliau.

"Sejak kerajaan bertukar tangan di Malaysia, dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini, agensi-agensi Singapura dan Malaysia sudah mengadakan pertemuan sebanyak beberapa kali berhubung isu 1MDB," dedah beliau lagi.

"Malah, pihak berkuasa Malaysia sudah mengucapkan terima kasih kepada Singapura atas kerjasama kita."

Skandal 1MDB merupakan satu daripada tiga isu hubungan dua hala yang dibentangkan oleh menteri tersebut di Parlimen, semasa menjawab pertanyaan AP Christopher de Souza berkenaan hubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia.

Isu-isu lain termasuk Perjanjian Air 1962 dan perkembangan berhubung projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. 

- CNA/TQ/tq

Top