Images
  • timbalan mufti (1)

Timbalan Mufti: Beri 'kata-kata positif' dan 'dorongan' kepada pengikut 2 gereja terjejas COVID-19

SINGAPURA: Sedang dua gereja tempatan kini dikenal pasti sebagai dua daripada lima kelompok virus COVID-19, Timbalan Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, mengajak masyarakat Islam supaya memberikan "kata-kata positif" dan "kata-kata dorongan" kepada pengikut gereja-gereja tersebut.

Gereja Grace Assembly of God kini dikaitkan dengan 13 kes jangkitan, manakala gereja Life Church and Missions Singapore pula dikaitkan dengan lima kes.

"Apabila berlaku sesuatu yang menjejas sesuatu pihak dan kaum yang berlaku kepada jiran, kepada teman, kepada sesuatu tempat peribadatan. Itu bukan masanya untuk kita mengungkapkan kata-kata negatif dan juga menjatuhkan moral dan memburukkan seseorang.

"Islam sama sekali melarang daripada kata-kata sedemikian. Tetapi peranan dan tanggungjawab kita adalah untuk memberikan sokongan kita," seru Ustaz Dr Nazirudin lagi, yang bakal menjadi Mufti baru Singapura pada Mac nanti.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas solat Jumaat hari ini.

Khutbah Jumaat yang disampaikan ke seluruh negara juga menyentuh tentang tanggungjawab yang harus dimainkan masyarakat Islam iaitu melindungi jiran-jiran dan masyarakat daripada risiko dan bahaya.

Ustaz Dr Nazirudin menekankan bahawa di tengah-tengah cabaran kesihatan COVID-19 ini, masyarakat Islam mesti menunjukkan bahawa "kita adalah Muslim dan warga yang bertanggungjawab" dan tidak berserah kepada 'tawakkal'.

Lantaran itu kata beliau, para jemaah harus membantu mencegah penularan virus dan mereka yang sakit haruslah duduk di rumah.

Ini sejajar dengan irsyad atau panduan yang dikeluarkan Pejabat Mufti baru-baru ini.

"Saya meminta kerjasama daripada semua masyarakat supaya mendengar nasihat dari Mufti untuk kita sama-sama menjadi masyarakat yang membantu negara kita mengatasi masalah virus COVID-19," kata Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli yang ditemui di Masjid Angullia, yang dibuka rasmi hari ini.

"Kita sekarang menyesyorkan supaya kita jangan bersalaman sementara ini kerana daripada apa yang kita sentuh, setelah kita memegang muka kita pula, ia akan mungkin dapat menjangkiti kita.

Dalam pada itu Pengarah Kanan Masjid dan Pembangunan Masyarakat, MUIS,
Mohamad Helmy Mohd Isa menambah bahawa masjid-masjid di negara ini sedang menambah usaha menjaga kebersihan demi membendung penularan virus tersebut.

"Kita mempertingkatkan lagi kebersihan atau usaha-usaha untuk membersihkan masjid dengan menggunakan vakum dengan pembunuh kuman yang lebih kerap lagi daripada biasa dan daerah yang dibersihkan juga lebih meluas dari yang biasa supaya kita dapat menjaga penyebaran virus ini." 

- BERITAmediacorp/SY/ha

Top