Images
  • faizal main
    Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir antara tiga peguam dilantik sebagai Peguam Kanan tahun ini. 

Timbalan Ketua Pendakwa Raya AGC Mohd Faizal Abdul Kadir dilantik jadi Peguam Kanan

SINGAPURA: Timbalan Ketua Pendakwa Raya di Pejabat Peguam Negara (AGC), Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir, menjadi antara tiga peguam dilantik sebagai Peguam Kanan tahun ini.

Pada usia 39 tahun, beliau dipercayai antara yang termuda menerima pelantikan tersebut. Apabila seseorang dilantik sebagai seorang Peguam Kanan, beliau secara simbolik diiktiraf sebagai salah satu peguam terbaik dan terhandal dalam bidang guaman dan undang-undang di Singapura.

Dengan tiga pelantikan baru hari ini (6 Jan), hanya terdapat 88 Peguam Kanan di Singapura.

Dua lagi yang turut diumumkan sebagai Peguam Kanan ialah Encik Murali Pillai, rakan kongsi dari firma guaman Rajah & Tann dan Encik Jason Chan, rakan kongsi di Allen & Gledhill.

PELANTIKAN SATU AMANAH, BUKAN SEKADAR PENGIKTIRAFAN

Semasa ditemui pihak media, Encik Faizal menyifatkan pelantikan berprestij ini sebagai bukan sekadar satu pengiktirafan tetapi suatu amanah penting.


(Gambar: Akademi Undang-Undang Singapura)

Encik Faizal yang juga berjawatan Peguam Negara Kanan (Jenayah) di AGC, memberi penghargaan kepada mentor-mentor beliau yang sering kali meluangkan masa dan menyokong beliau untuk berkembang.

Hasil bimbingan tokoh-tokoh guaman tersebutlah kata Encik Faizal, beliau berada di tahapnya sekarang.

"Saya rasa menjadi seorang Peguam Kanan bermakna kita sekarang mempunyai tanggungjawab untuk melakukan perkara yang sama bagi generasi selanjutnya. Iaitu memberi sokongan agar mereka dapat melakukan lebih baik lagi daripada apa yang kami sudah lakukan," katanya.

"Itu pada saya tanggungjawab terpenting sebagai seorang Peguam Kanan. Membantu membangun generasi selanjutnya dalam bidang guaman untuk melihat bagaimana kita boleh sama-sama maju dan membawa generasi peguam selanjutnya ke hadapan."

Undang-undang di mata peguam cukup berpengalaman ini juga bermakna. Undang-undang, katanya, adalah suatu "pengupaya untuk membantu orang" lain. Itulah yang ketiga-tiga Peguam Kanan yang dilantik hari ini bersungguh-sungguh ingin lakukan, tambahnya.

Encik Faizal, seorang lulusan undang-undang dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Harvard, sebelum ini pernah dinobotkatkan sebagai Pemimpin Global Muda oleh Forum Ekonomi Sedunia (WEF) pada 2016.

PENGALAMAN DI JABATAN SIASATAN KHAS DORONG CEBURI BIDANG GUAMAN

Ditanya apakah titik permulaannya menceburi bidang guaman, Encik Faizal berkata banyak perkara sebenarnya yang mendorongnya.

Namun, pengalaman semasa zaman Perkhidmatan Negara yang membulatkan tekad bekas pelajar Maktab Rendah Tampines itu, untuk terjun ke dalam bidang tersebut.


"Dorongan utama saya adalah semasa saya menjalani Perkhidmatan Negara dalam Cawangan Siasatan Khas dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). Ia membuat saya faham bagaimana tentang undang-undang dan bagaimana menggunakannya untuk membantu orang lain.

"Setelah berbuat demikian dan berasa cukup puas menjadi seorang pegawai penyiasatan, saya memutuskan bahawa bidang undang-undang sesuatu yang saya ingin pelajari. Saya kemudian memohon untuk masuk ke sekolah undang-undang dan Alhamdulillah saya dapat," cerita Encik Faizal.

Encik Mohamed Faizal mula berkhidmat dalam bidang guaman pada 2005 sebagai seorang Setiausaha Undang-Undang Kehakiman di Mahkamah Agung. Beliau bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya di AGC selama enam tahun sejak 2007 sebelum dikerahkan ke Majlis Perubatan Singapura.

Beliau kembali ke AGC pada 2015 dan menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pendakwa Raya pada 2018 sehingga ke hari ini.

Sebenarnya, Encik Faizal turut memegang beberapa jawatan lain, termasuk sebagai anggota Lembaga Rayuan MUIS yang mana beliau meneliti rayuan-rayuan dari Mahkamah Syariah. Ini selain bertugas sebagai pensyarah bidang undang-undang di beberapa institusi.

TUMPUAN UTAMA MURALI SELAKU PEGUAM KANAN

Encik Murali Pillai pula menerima pelantikan sebagai peguam kanan selepas 24 tahun menawarkan khidmat guaman. Anggota Parlimen Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Batok itu lazimnya menangani kes-kes pekerjaan dan pertikaian kewangan serta jenayah kolar putih.


(Gambar: Akademi Undang-Undang Singapura)

Beliau mewakili pelanggan bagi beberapa kes besar di Mahkamah Tinggi Singapura. Antaranya, Encik Murali menggesa sebuah panel di Mahkamah Rayuan untuk mengubah sabitan terhadap Encik Wong Wee Keong dan syarikatnya kerana mengimport kayu tanpa permit.

Beliau juga pernah membela mantan AP Choo Wei Khiang yang didakwa atas tuduhan pecah amanah sebagai ejen ketika menyandang jawatan Presiden Persatuan Tenis Meja Singapura. Kes Encik Choo pada awalnya tidak dibicarakan.

Encik Murali turut mewakili institusi-institusi kewangan, khususnya bank-bank privet dan syarikat insurans yang terjerumus dalam kes-kes melibatkan isu seperti pertikaian di tempat kerja dan pelanggaran tugas fidusiari.

Sebelum memulakan kerjaya sebagai seorang peguam, Encik Murali berkhidmat sebagai Penolong Superintenden Polis dalam Pasukan Polis Singapura.

Kini sebagai Peguam Kanan, beliau berharap dapat terus menjalankan tugasnya dengan baik dan menjadi mentor kepada peguam-peguam lain.

"Tumpuan utama saya adalah terus menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan pada masa yang sama, memupuk generasi peguam selanjutnya," kata Encik Murali.  

SC CHAN INGIN BANTU PEGUAM BARU ATASI CABARAN

Turut menerima pelantikan sebagai Peguam Kanan hari ini (6 Jan) ialah Encik Chan Tai-Hui Jason. Beliau merupakan seorang rakan kongsi firma Allen & Gledhill yang umumnya menguruskan kes-kes komersil dan litigasi jenayah.


Sebelum menyertai Gledhill pada 2010, beliau bertugas sebagai Penolong Pendaftar di Mahkamah Tinggi Singapura. Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Negara di AGC, selain berkhidmat sebagai Pegawai Pembantu Hakim.

Seperti Encik Murali dan Encik Faizal, beliau akur peranan seorang Peguam Kanan adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat dan melatih peguam-peguam muda untuk terus berkhidmat meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Dari semasa ke semasa, tuntutan (bagi seorang peguam) akan menjadi lebih berat. Dunia dan bidang guaman khususnya, memerlukan jalan keluar masalah dengan cepat dan tepat," ulas Encik Chan.

Ini, tambahnya, antara cabaran yang sering kali dihadapi peguam-peguam baru.

"Mereka juga akan menyedari bahawa undang-undang kian bersifat global. Ia bukan hanya bagi konteks Singapura sahaja."  

- BERITAmediacorp/aq

Top