Images
  • naps
    Gambar fail.

Tidur siang dapat tingkatkan 'secara ketara' keupayaan belajar, daya ingatan remaja: Kajian NUS

SINGAPURA: Tabiat tidur siang yang diterapkan dalam jadual harian "dapat meningkatkan keupayaan untuk belaja dan daya ingatan secara ketara" bagi golongan remaja, menurut penyelidik di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Satu kajian yang dijalankan terhadap para peserta berusia antara 15 dengan 19 tahun menunjukkan bahawa tidur siang memberi manfaat, tidak kira sama ada peserta mendapat tidur secukupnya dalam tempoh masa 24 jam.

Sepanjang dua minggu, masa tidur yang lebih singkat pada sebelah malam dan tidur siang pada waktu petang memberi "peningkatan ketara" dari segi prestasi daya ingatan ketika waktu petang, menurut NUS dalam satu kenyataan media pada Rabu (17 Mac).

"Lebih penting lagi, mengurangkan tidur pada waktu malam yang dikaitkan dengan "jadual tidur berasingan" tidak menjejas keupayaan untuk belajar pada sebelah pagi," menurut NUS.

"Analisis terhadap rakaman EEG berhubung aktiviti otak semasa waktu tidur mencadangkan bahawa tidur nyenyak yang berlaku apabila individu tidur pada waktu siang mungkin menyumbang kepada manfaat ini."

NUS juga menyatakan bahawa walaupun manfaat tidur siang terhadap daya ingatan memang sudah diketahui, tidur siang lazimnya dikaji sebagai tambahan sekali sahaja bagi tidur pada waktu malam, dan bukan sebagai sebahagian daripada jadual tidur biasa.

Memandangkan sebilangan besar pelajar dalam kumpulan usia itu tidak mendapatkan tidur yang secukupnya, para pengkaji ingin menyiasat bagaimana cara-cara berbeza untuk membahagikan waktu tidur sepanjang tempoh 24 jam boleh menjejas keupayaan pembelajaran mereka, menurut NUS.

KAJIAN DIJALANKAN BERSAMA 4 KUMPULAN

Para penyelidik menjalankan dua kajian selama 15 hari melibatkan 112 peserta dari sebuah sekolah berasrama. Para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan.

Faktor pertama kajian tersebut ialah sama ada pelajar sudah mendapatkan tidur secukupnya selama sekurang-kurangnya lapan jam atau sama ada mereka sudah tidur selama enam setengah jam, iaitu tempoh waktu tidur yang "dikhususkan bagi golongan belia".

Faktor kedua yang dikaji pula sama ada tidur itu nyenyak sepanjang malam, atau dibahagikan kepada tidur pada waktu malam dan tidur siang selama satu setengah jam pada waktu petang.

Para pengkaji membayangkan bahawa tidur nyenyak yang berlaku semasa tidur siang mungkin mengurangkan pergerakan saraf yang penting untuk pembelajaran, menyegarkannya supaya dapat menerima maklumat baru dengan lebih berkesan.

"Selain itu, pengaktifan semula ingatan yang berlaku semasa tidur siang mungkin mengatur semula maklumat yang diserap pada waktu pagi, sekaligus menawarkan lebih banyak ruang untuk menyerap maklumat baru pada sebelah petang," menurut NUS.

"Apa pun mekanisme sebenar, dapatan itu mencadangkan bahawa peluang untuk tidur siang di sekolah mungkin dapat memastikan para pelajar mendapat tidur secukupnya dan meningkatkan hasil pembelajaran."

Kajian itu dibiayai oleh Majlis Penyelidikan Perubatan Nasional, Yayasan Kajian Nasional dan Yayasan Far East dan Lee.

- CNA/HA/ha

Top