Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tidak wajib adakan pilihan raya kecil di GRC Marsiling-Yew Tee: Mahkamah Rayuan

Mahkamah Rayuan pada Rabu (10 Apr) memutuskan tidak ada keperluan untuk mengadakan mengadakan pilihan raya kecil di GRC Marsiling-Yew Tee setelah Puan Halimah Yacob meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen (AP) untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak wajib adakan pilihan raya kecil di GRC Marsiling-Yew Tee: Mahkamah Rayuan

Gambar fail Puan Halimah Yacob (Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 10 Apr 2019 04:17PM Dikemas Kini : 10 Apr 2019 04:20PM

SINGAPORE: Mahkamah Rayuan pada Rabu (10 Apr) memutuskan tidak ada keperluan untuk mengadakan mengadakan pilihan raya kecil di GRC Marsiling-Yew Tee setelah Puan Halimah Yacob meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen (AP) untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

Dalam keputusan bertulis, mahkamah terdiri daripada lima hakim itu menggugurkan rayuan oleh anggota Parti Demokratik Singapura (SDP) Dr Wong Souk Yee untuk mengadakan pilihan raya kecil di GRC tersebut, dengan memutuskan bahawa "tidak ada kewajipan untuk mengadakan pilihan raya kecil apabila sebuah kerusi dalam sebuah GRC dikosongkan".

Di bawah perkara 49 Perlembagaan, apabila sebuah kerusi AP dikosongkan atas sebarang sebab kecuali pembubaran Parlimen, ia akan diisi menerusi proses pilihan raya.

Namun menurut Mahkamah Rayuan, terjemahan betul perkara ini adalah kerusi AP itu hanya merujuk kepada kerusi Kawasan Undi Persendirian (SMC) dan bukan GRC.

"Apabila meminda Perlembagaan untuk melaksanakan skim GRC, Parlimen tidak pernah bermaksud bahawa kerusi tunggal dalam GRC akan mencetuskan kewajipan oleh Pemerintah untuk mengadakan pilihan raya kecil," menurut Ketua Hakim Sundaresh Menon, yang menyampaikan keputusan tersebut.

Para hakim termasuk Ketua Hakim dan Hakim-Hakim Rayuan Andrew Phang, Judith Prakash, Tay Yong Kwang dan Steven Chong, juga memutuskan bahawa pihak yang membuat rayuan Dr Wong tidak perlu membayar kos kepada pihak responden, Peguam Negara.

Dr Wong ialah penolong bendahara SDP dan seorang penduduk GRC Marsiling-Yew Tee.

Beliau bertanding di GRC tersebut pada Pilihan Raya September 2015 sebagai seorang anggota SDP, namun kalah kepada pasukan Parti Tindakan Rakyat, yang termasuk satu-satunya calon masyarakat minoriti Puan Halimah Yacob.

Puan Halimah meletak jawatan sebagai AP GRC Marsiling-Yew Tee dan Speaker Parlimen pada Ogos 2017 untuk bertanding dalam pilihan raya presiden yang beliau menang tanpa bertanding.

MAHKAMAH TINGGI GUGURKAN PERMOHONAN

Dr Wong memfailkan tindakan guaman sivil di Mahkamah Tinggi untuk memohon agar diadakan pilihan raya kecil setelah tiga anggota lain GRC Marsiling-Yew Tee kosongkan kerusi mereka.

Mahkamah Tinggi menggugurkan permohonan Dr Wong pada April 2018 dengan kos, sambil memutuskan bahawa tafsiran Dr Wong bagi Artikel 49(1) Perlembagaan "tidak boleh dilaksana kerana ia memerlukan anggota lain GRC Marsiling-Yew Tee untuk meletak jawatan sedangkan tiada asas undang-undang untuk melakukan demikian".

Anggota lain GRC itu ialah Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong, Encik Alex Yam dan Encik Ong Teng Koon. Menteri Negara bagi Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad mengambil alih sebagai penasihat akar umbi menggantikan
Puan Halimah sehari selepas beliau meletakkan jawatan.

Dalam keputusannya Mahkamah Rayuan mengetengahkan tiga kemungkinan tafsiran Artikel 49 (1) dalam konteks kerusi dalam kawasan GRC dikosongkan.

Tafsiran pertama adalah sama seperti tafsiran Dr Wong, iaitu setiap kerusi yang dikosongkan perlu diisi menerusi pilihan raya kecil bagi kesemua kerusi GRC.

Tafsiran kedua adalah kerusi yang dikosongkan patut diisi menerusi pilihan raya kecil hanya jika dan apabila semua kerusi di GRC itu dikosongkan, iaitu tafsiran pertama AG.

Tafsiran ketiga pula adalah kerusi yang dikosongkan dan perlu diisi menerusi pilihan raya kecil hanya merujuk kepada kerusi anggota SMC dan bukan kerusi dalam GRC. Ini tafsiran kedua Peguam Negara bagi artikel tersebut.

Mahkamah Rayuan mendapati bahawa artikel tersebut "samar-samar pada permukaannya berhubung bagaimana ia digunakan pada GRC" dan dilaksanakan pada 1965, sebelum adanya konsep GRC.

Merujuk kepada perbahasan parlimen, mahkamah mendapati "ia tidak pernah bertujuan untuk Pemerintah mengadakan pilihan raya kecil" apabila satu kerusi dikosongkan dalam sebuah GRC.

Mahkamah juga menolak tafsiran Dr Wong artikel itu atas dasar tiada ketentuan yang cukup untuk menafsirkannya "dengan cara yang tidak dapat diluahkan menerusi kata-kata secara wajar".

Dalam kenyataan di lamannya setelah keputusan mahkamah dikeluarkan, SDP menyatakan pihaknya "sangat kesal" dengan keputusan tersebut dan akan berbincang dengan Dr Wong bagi langkah-langkah seterusnya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan