Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Tidak terkata': pemilik sambut kedatangan 2 mantan PM Thai di gerainya di S'pura

Bagi seorang pegerai di Pusat Penjaja Seah Im berdekatan HarbourFront, ia bagai satu mimpi untuk menyajikan hidangan mi kepada mantan Perdana Menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra dan Cik Yingluck Shinawatra. 

Anggaran Waktu Membaca:
'Tidak terkata': pemilik sambut kedatangan 2 mantan PM Thai di gerainya di S'pura

Dari kiri: Ing Shinawatra, Jaesen Ng, Thaksin Shinawatra dan Yingluck Shinawatra di Pusat Penjaja Seah Im. (Gambar: Ing Shinawatra/Facebook)

Diterbitkan : 20 Dec 2018 11:35AM Dikemas Kini : 20 Dec 2018 11:40AM

SINGAPURA: Bukan hari-hari kita dapat bertemu dua mantan perdana menteri secara serentak.

Namun, bagi seorang pegerai di Pusat Penjaja Seah Im berdekatan HarbourFront, ia bagai satu mimpi untuk menyajikan hidangan mi kepada mantan Perdana Menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra dan Cik Yingluck Shinawatra.

Encik Jaesen Ng berkata, Encik Thaksin, anak perempuannya dan Cik Yingluck berkunjung ke gerainya - Thaksin Beef Noodle - pada Selasa (18 Dis), sekitar jam 12.00 tengah hari.

"Saya gembira. Memang kedai saya juga dinamakan sempenanya," kata lelaki berusia 64 tahun itu kepada Mediacorp.

Beliau selanjutnya berkata bahawa kedainya itu dibuka pada 2003 dan beliau memilih nama kedai yang mudah diingati dan dikenali ramai.

"Nama mana lain yang mudah untuk diingat?" ujarnya. Dan sejak itu, beliau terus menunggu untuk bertemu dengan pemilik nama kedainya itu.

"Saya tahu, satu hari nanti saya akan bertemu dengannya memandangkan gerai saya sudah agak lama terkenal," katanya.

Pada Selasa (18 Dis), Encik Ng secara berseloroh bertanya Encik Thaksin: "Apa yang membuat anda mengambil masa begitu lama?"

Encik Thaksin - yang kini berpangkalan di Dubai - menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand dari 2001 hingga 2006, ketika beliau digulingkan dalam rampasan kuasa tentera.

Beliau melarikan diri dari Thailand dan didakwa secara 'in absentia' atau tanpa hadir di mahkamah, pada 2006 atas tuduhan percanggahan kepentingan.

Adiknya, Cik Yingluck, dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2011. Beliau melepaskan jawatan atas perintah mahkamah pada 2014, tidak lama selepas kerajaannya digulingkan dalam satu lagi rampasan kuasa tentera.

Cik Yingluck melarikan diri dari Thailand pada Ogos 2017, beberapa minggu sebelum Mahkamah Agung mendapati beliau bersalah atas tuduhan cuai dalam pengurusan subsidi skim beras. Beliau kemudian dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.

Beliau dipercayai turut dilihat di dua pusat beli-belah lain di London pada Januari. Sumber-sumber dalam Parti Puea Thai kemudian mengatakan bahawa beliau menetap di Britain.

Kedua-duanya turut dilihat di Singapura pada Februari. Anggota-anggota parti mengatakan bahawa adik-beradik itu sudah berkunjung ke China, Jepun dan Hong Kong sebelum ke Singapura.

MULA BELAJAR KETIKA BERTUGAS DI THAILAND

Encik Ng, seorang rakyat Singapura, berkata minat menghasilkan hidangan mi daging Thai (Thai beef noodle) tercetus pada 1987 apabila bekerja selama setahun di Bangkok.

Beliau sering ke satu gerai di pusat beli-belah MBK Center yang popular dengan hidangan tersebut.

Beliau berulang kali bertanya dengan pemilik gerai tersebut, yang disapanya sebagai "Ah Nong" supaya mengajarnya cara menghidangkan makanan berkenaan - tetapi pemilik itu enggan berkongsi.

Hanya pada 2002, ketika Ah Nong memutuskan untuk gulung tikar, beliau bersetuju untuk ke Singapura dan mengajarnya.

"Satu sahaja masalahnya, beliau hanya menganggarkan bahan-bahan yang diperlukan.

Mujur, Ah Nong memberitahu Encik Ng bahawa beliau akan membantunya untuk "menetapkan sukatan bagi bahan-bahan masak".

Encik Ng, seorang bekas pengurus besar penjualan kereta, mengambil masa dua minggu untuk mendapat resipi yang tepat.

"Saya mempunyai semua bahan-bahan yang diperlukan, tetapi sukatannya harus tepat," kata beliau. "Malah periuk-periuk yang sama saiznya perlu digunakan."

Apabila ditanya tentang reaksi adik-beradik Shinawatra selepas memakan hidangannya, beliau berkata: "Mereka menyukai masakan saya, terutama 'pad thai' dan cili kering saya."

Encik Ng menambah bahawa Cik Yingluck begitu menyukai cili keringnya - yang "100 peratus diperbuat dengan cili padi' - sehingga beliau membeli satu paket untuk dibawa pulang.

Beliau tidak pasti bagaimana Encik Thaksin mengetahui tentang kedainya tetapi beliau "gembira dengan kehadiran mantan perdana menteri itu yang sekaligus membantu memasarkan kedainya".

Pada wadah media sosial, beliau berkata: "Menjadi hos kepada seorang perdana menteri merupakan satu pengiktirafan - menjadi hos kepada dua PM satu penghargaan yang luar biasa, tidak terkata. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan