Images
  • vaccination mci pic
    (Gambar: MCI)

Tidak semua petugas jagaan kesihatan mahukan suntikan vaksin; segelintir pilih 'tunggu dan lihat'

SINGAPURA: Dengan vaksinasi COVID-19 dilancarkan sudah hampir dua minggu di Singapura, tidak semua kakitangan jagaan kesihatan, yang merupakan kumpulan pertama diberikan akses kepada vaksin tersebut, mahu mendapatkan suntikan vaksin.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, tiga pengendali hospital swasta di sini secara purata menyatakan bahawa sekitar 50 hingga 70 peratus kakitangan mereka mahu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Perangkaan itu diberikan oleh Hospital Farrer Park, Pusat Perubatan Thomson dan kumpulan jagaan kesihatan Parkway Pantai, yang mengendalikan empat hospital swasta di sini.

Ketiga-tiga pengendali itu menggajikan lebih 9,200 tenaga kerja secara keseluruhannya.

Setakat petang Selasa (12 Jan), baki 10 hospital, termasuk hospital-hospital dalam sektor awam, belum memberikan respons kepada pertanyaan Mediacorp yang diajukan pada Jumaat (8 Jan).

Sesetengah pakar jagaan kesihatan yang belum membuat keputusan dan diwawancara oleh Mediacorp berkata bahawa mereka prihatin terhadap kesan jangka panjang yang mungkin berlaku akibat suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, iaitu vaksin pertama COVID-19 yang dilancarkan di sini, belum lagi dikaji sepenuhnya.

Mereka juga bimbang mereka mungkin diberi tekanan untuk mendapatkan suntikan vaksin oleh pihak atasan.

Kumpulan jagaan kesihatan Thomson Medical, di mana vaksinasi di klinik keluarga 24 jam akan dijalankan selama seminggu sejak Isnin lalu (11 Jan), menyatakan bahawa 70 peratus kakitangan jagaan kesihatan barisan hadapannya yang layak bagi vaksinasi COVID-19 bersetuju untuk berbuat demikian.

Thomson Medical menyatakan ia akan memberi suntikan vaksin kepada sekitar 30 kakitangan setiap hari, termasuk para jururawat, doktor dan kakitangan yang menjalankan tugas balik tabir.

Dengan jumlah kakitangan seramai 700 orang, ia merancang untuk mencapai kadar vaksinasi sekurang-kurang 95 peratus dalam kalangan kakitangan jagaan kesihatan barisan hadapan yang layak.

Begitu juga bagi Parkway Pantai yang memulakan operasi vaksinasi pada Sabtu lalu (9 Jan) di Hospital Mount Elizabeth Novena dan Hospital Mount Elizabeth di Orchard Road, sambil menambah bahawa sekitar 70 peratus daripada lebih 8,000 kakitangannya akan mendapatkan suntikan vaksin.

Setakat Selasa, 673 kakitangannya sudah menerima suntikan vaksin dan ia merancang untuk mencapai kadar vaksinasi sebanyak 90 peratus.

Hospital Farrer Park yang juga mula menjalankan vaksinasi pada Sabtu lalu menyatakan bahawa sekitar 50 peratus daripada tenaga kerjanya menyuarakan hasrat untuk mendapatkan suntikan vaksin.

73 daripada lebih 500 kakitangannya sudahpun disuntik dengan vaksin pada Sabtu lalu.

APA PENDAPAT KUMPULAN YANG 'BELUM PUTUSKAN' UNTUK DAPATKAN SUNTIKAN VAKSIN

Mediacorp menemu bual 10 kakitangan jagaan kesihatan dari kedua-dua hospital awam dan swasta.

Separuh daripada mereka belum lagi membuat keputusan sama ada untuk mendapatkan suntikan vaksin. Sebahagian besar tidak mahu mendedahkan nama mereka kerana mereka tidak dibenarkan bercakap dengan pihak media.

Para kakitangan jagaan kesihatan yang belum membuat keputusan berkata bahawa mereka prihatin tentang sama ada vaksin itu akan membawa sebarang kesan sampingan jangka panjang yang belum lagi diketahui disebabkan oleh tempoh penghasilannya yang singkat.

Mereka juga menarik perhatian bahawa tiada kajian jangka panjang dijalankan terhadap vaksin Pfizer-BioNTech yang kegunaannya diluluskan di sini dan banyak yang masih belum diketahui tentang bagaimana vaksin ini, yang menggunakan teknologi messenger asid ribonukleik baru (mRNA), akan menjejas para individu dalam jangka panjang.

Selain itu, ada juga yang mengatakan bahawa mereka memilih untuk menangguhkan suntikan vaksin buat masa ini kerana mereka merancang untuk menimang cahaya mata, yang mungkin akan membuat mereka tidak sesuai untuk mendapatkan vaksin.

Sungguhpun vaksinasi ini ditawarkan secara sukarela, sesetengah pihak bimbang sekiranya mereka akhirnya tertekan untuk mendapatkan suntikan vaksin atas gesaan pihak atasan.

Seorang doktor, yang bercakap dengan syarat identitinya tidak didedahkan, berkata seseorang yang baru berusia 20-an tahun dan tidak mempunyai simpanan yang secukupnya mungkin berasa bimbang dia akan membebankan keluarganya dengan kos jagaan kesihatan sekiranya dia menghidap penyakit kronik akibat suntikan vaksin tersebut.

Meskipun beliau akur betapa pentingnya kesihatan awam bagi seorang pekerja jagaan kesihatan, doktor itu, yang merupakan satu-satunya individu yang diwawancara oleh Mediacorp yang memutuskan untuk tidak mendapatkan suntikan vaksin, berkata bahawa beliau perlu tahu jika Pemerintah atau majikannya sanggup membiayai sebarang kos yang mungkin perlu ditanggungnya jika beliau mengalami sebarang kesan sampingan.

Hanya selepas itu beliau akan memutuskan untuk mendapatkan suntikan vaksin, katanya.

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong memberitahu Parlimen pada Isnin lalu bahawa Pemerintah akan melancarkan program bantuan kewangan kecederaan vaksin bagi menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang mungkin mengalami reaksi buruk akibat vaksin tersebut.

Lebih banyak butiran mengenai program itu akan diumumkan kelak.

APA PENDAPAT KUMPULAN YANG KATAKAN 'YA'

Separuh daripada kakitangan jagaan kesihatan yang diwawancara oleh Mediacorp mahu mendapatkan suntikan vaksin sekarang, dengan ada yang dijadual mendapatkan suntikan vaksin dalam masa beberapa minggu mendatang.

Mereka memilih untuk berbuat demikian kerana mereka mahu melindungi diri sendiri, keluarga mereka dan para pesakit daripada koronavirus.

Seorang pakar teknologi perubatan dari sebuah hospital awam berkata beliau memutuskan untuk mendapatkan suntikan vaksin di tengah-tengah kemunculan varian baru B117 dari Britain, yang menular dengan lebih pantas.

Penolong Pengarah Kejururawatan di Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Universiti Nasional (NUH), Cik Uma Chandra Segara berkata: "Jika anda tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin, saya rasa anda tidak bersikap adil terhadap semua orang."

Beliau yang berusia 45 tahun dan menerima suntikan vaksin pada Isnin menambah: "Saya rasa kita harus melindungi keluarga kita dan teman-teman dan kita juga harus melindungi para pesakit."

- TODAY/HA/ha

Top