Images
  • stockpile singapore
    (Gambar: Mediacorp)

Tidak perlu timbun makanan, bekalan walaupun langkah COVID-19 diperketat: Lawrence Wong

SINGAPURA: Meskipun Singapura telah memperketat langkah bagi mencegah penularan COVID-19, rakyat tidak perlu menyimpan makanan dan barang keperluan lain secara berlebihan, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.

Beliau memberikan komen itu sehari selepas beberapa inisiatif - seperti menghadkan perhimpunan di tempat-tempat selain sekolah dan tempat kerja dan menutup semua pusat-pusat hiburan seperti kelab-kelab malam, pusat karaoke, pawagam - diumumkan bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Encik Wong yang merupakan pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian bagi COVID-19, berkata beliau faham mengapa orang ramai mungkin berasa bimbang tentang ketersediaan bekalan yang perlu dan membeli lebih banyak bekalan daripada apa yang segera diperlukan, selepas pengumuman langkah-langkah itu.

"Malah kami telah membuat persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan, sama ada makanan atau minuman selama beberapa tahun menerusi penyimpanan bekalan, penghasilan tempatan dan mempelbagaikan sumber luar negeri," katanya ketika menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen hari ini.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Chan Chun Sing sedang memantau hal ini bersama dengan kementeriannya, dan mereka telah "meningkatkan usaha dari semua sudut", kata Encik Wong.

Orang ramai yang menimbun simpanan bekalan mereka sendiri di rumah tanpa keperluan akan menyebabkan "kekurangan yang jelas" di rak-rak pasar raya, katanya, sambil menambah ini akan menyebabkan mereka dengan keperluan lebih mendesak bagi bekalan makanan dan keperluan lain tidak berupaya mendapatkannya.

"Tanggapan sedemikian mungkin mencetuskan lebih banyak pembelian panik, yang boleh dengan cepat menjadi tidak terkawal," katanya.

Terdapat beberapa keprihatinan pada awalnya setelah Malaysia mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan - yang melarang rakyatnya daripada ke luar negara dan rakyat asing daripada memasuki negara itu daripada 18 Mac - namun situasi demikian telah menjadi stabil.

"Aliran barangan dan kargo termasuk bekalan makanan masih berterusan, meskipun kami masih perlu terus bersedia bagi sebarang gangguan yang berlaku," kata Encik Wong.

Secara berasingan, tempat-tempat penginapan telah disediakan bagi para pekerja dari Malaysia yang perlu menyeberangi sempadan setiap hari untuk ke tempat kerja, yang membolehkan perkhidmatan penting seperti pengangkutan awam terus beroperasi 'tanpa gangguan', katanya.

"Memandang ke hadapan, Jawatankuasa Kerja Khas Singapura-Malaysia, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Teo Chee Hean dan Menteri Kanan Dato Sri' Ismail Sabri, sedang membincangkan pelan pengurangan bersama bagi memastikan pergerakan selamat dan berdaya tahan untuk orang ramai, barangan dan khidmat penting antara kedua-dua negara," kata Encik Wong.

Beliau menambah bahawa Malaysia hari ini (25 Mac) telah melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan, yang sebelum ini sepatutnya berakhir pada hujung bulan Mac tetapi kini dilanjutkan hingga 14 April.

Pergerakan melintasi sempadan tidak boleh kembali seperti biasa, dengan ramai orang melintasi pusat pemeriksaan darat setiap hari, "jika dan bila" perintah kawalan pergerakan Malaysia ditarik balik, kata Encik Wong, sambil menambah bahawa ia terlalu berbahaya daripada perspektif kesihatan awam.

"Oleh itu kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga tambahan di kedua-dua pihak - yang kini dibincangkan - supaya kita dapat mengurangkan penularan virus menerusi sempadan darat kita," katanya. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- CNA/HA/ha

Top