Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Tidak peka', syarikat keselamatan mohon maaf muat naik video nahas Tanjong Pagar di Facebook

Sebuah syarikat sistem keselamatan memohon maaf kerana memuat naik di laman Facebooknya, rakaman video penuh nahas maut di Tanjong Pagar. Syarikat itu juga memberi amaran kepada orang awam supaya tidak mengongsi video berkenaan tanpa kebenaran syarikat tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
'Tidak peka', syarikat keselamatan mohon maaf muat naik video nahas Tanjong Pagar di Facebook

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 17 Feb 2021 10:54PM Dikemas Kini : 17 Feb 2021 10:56PM

SINGAPURA: Sebuah syarikat sistem keselamatan memohon maaf kerana memuat naik di laman Facebooknya, rakaman video penuh nahas maut di Tanjong Pagar. Syarikat itu juga memberi amaran kepada orang awam supaya tidak mengongsi video berkenaan tanpa kebenaran syarikat tersebut.

Dalam satu catatan Facebook pada Rabu (17 Feb), E3N Security menyatakan baru-baru ini, syarikat tersebut mengongsi dua klip video kemalangan itu dan akur bahawa ia "membuat kesilapan pentadbiran dengan memuat naik klip penuh dan bukan klip lebih pendek yang sudah pun disunting".

Syarikat itu sudah memadam kedua-dua klip berkenaan.

Kemalangan yang berlaku pada pagi Sabtu lalu (13 Feb), iaitu pada hari kedua Tahun Baru Cina, meragut nyawa Jonathan Long dan Eugene Yap, kedua-duanya berusia 29 tahun, Elvin Tan Yong Hao, 28 tahun, Teo Qi Xiang, 26 tahun dan Gary Wong Hong Chieh yang berusia 29 tahun.

Long yang memandu kereta BMW berwarna putih, dipercayai memecut sebelum kereta itu merempuh sebuah rumah kedai di 37 Tanjong Pagar Road dan terbakar pada kira-kira pukul 5.40 pagi.

Temanitanya, Cik Raybe Oh Siew Huey, 26 tahun, mengalami kelecuran teruk pada tubuhnya setelah cuba menyelamatkan mereka.

Dalam rakaman video yang tular online, kereta BMW itu kelihatan tergelincir dan berpusing di jalan raya sebelum ia merempuh rumah kedai tersebut.

Tidak lama kemudian, Cik Oh muncul dalam rakaman itu dan berlari ke arah kereta yang terbakar itu.

Beliau muncul sekitar 10 saat kemudian dalam keadaan dijilat api sedang beliau berjalan ke arah bertentangan jalan raya itu.

E3N Security menyatakan kesilapannya itu menyebabkan "penderitaan yang tidak diingini terhadap keluarga mangsa".

"Kami ingin memohon maaf atas kesilapan kami dan akur bahawa adalah tidak peka untuk menunjukkan klip penuh Cik Oh dalam keadaan sedang menderita dan kami ingin memaklumkan kepada semua orang supaya jangan berkongsi klip penuh tersebut," menurut syarikat itu.

E3N Security menyatakan polis telah meminta dan mendapatkan salinan resolusi tinggi video itu bagi membantu siasatan.

Selain daripada pihak berkuasa, syarikat itu menyatakan bahawa ia juga menghantar video resolusi rendah kejadian tersebut kepada The Straits Times.

E3N Security menekankan bahawa ia tidak menerima sebarang bayaran ataupun faedah daripada menghantar klip itu kepada akhbar berkenaan.

Ia juga menambah bahawa syarikat itu merupakan "pemilik sah" dan mempunyai "kebenaran sepenuhnya" untuk mengendalikan dan mengeluarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) bagi pihak pemilik premis di mana rakaman itu dibuat.

E3N Security juga menyatakan terdapat beberapa klip yang tular online dan telah dibubuh tanda nama syarikat itu. Namun ia menekankan bahawa klip-klip itu "bukanlah dari kami".

"Petikan skrin dari laman Facebook kami yang mempunyai klip-klip video itu menunjukkan bahawa klip kami tidak dibubuh sebarang tanda nama syarikat.

"Justeru, kami memohon mana-mana laman web, laman media sosial atau pengguna yang mengongsi video itu tanpa kebenaran dan pengetahuan kami supaya memadamkan video itu yang dimuat turun dari laman Facebook kami.

"Kami berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang mengedarkan video itu tanpa kebenaran," tambahnya.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan