Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

‘Tidak mungkin' penumpang dari NZ dalam perjalanan ke Korea Selatan dijangkiti COVID-19 semasa transit di S'pura

Siasatan awal menunjukkan bahawa "tidak mungkin" seorang pelancong dari New Zealand yang melakukan persinggahan di Singapura semasa dalam perjalanan ke Korea Selatan dijangkiti COVID-19 ketika menyinggah di sini, menurut pihak berkuasa Singapura pada Jumaat (31 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
‘Tidak mungkin' penumpang dari NZ dalam perjalanan ke Korea Selatan dijangkiti COVID-19 semasa transit di S'pura

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 31 Jul 2020 04:05PM Dikemas Kini : 31 Jul 2020 04:12PM

SINGAPURA: Siasatan awal menunjukkan bahawa "tidak mungkin" seorang pelancong dari New Zealand yang melakukan persinggahan di Singapura semasa dalam perjalanan ke Korea Selatan dijangkiti COVID-19 ketika menyinggah di sini, menurut pihak berkuasa Singapura pada Jumaat (31 Jul).

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) menyatakan: "Siasatan awal kami mendapati bahawa individu tersebut tidak mungkin dijangkiti COVID-19 semasa beliau transit di Lapangan Terbang Changi kerana ini bermakna tempoh inkubasi virus berkenaan kurang daripada 24 jam.

"Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, purata tempoh inkubasi bagi jangkitan COVID-19 adalah lima hingga enam hari, dengan tempoh maksimumnya sehingga 14 hari."

Pada Isnin, New Zealand menyatakan bahawa ia diberitahu oleh pihak berkuasa Korea Selatan bahawa individu tersebut mungkin dijangkiti semasa melakukan persinggahan di Singapura.

Individu berkenaan meninggalkan New Zealand pada 21 Jul dan tiba di Korea Selatan pada keesokan harinya setelah melakukan persinggahan di Singapura. Ujian reaksi rantai polimerase (PCR) (PCR) dilakukan kira-kira empat jam selepas beliau tiba di Korea Selatan, menurut pihak berkuasa Singapura.

Kementerian Kesihatan New Zealand menyatakan pada Selasa bahawa individu itu meluangkan 14 jam 20 minit di ruang transit di Lapangan Terbang Changi bersama dengan para penumpang yang melakukan perjalanan dari negara-negara lain.

Sebelum berlepas dari New Zealand, individu itu menaiki pesawat domestik dari Auckland ke Christchurch. Pengesanan kontak penumpang dalam penerbangan domestik tersebut sudah selesai dijalankan, menurut Kementerian Kesihatan New Zealand pada Khamis.

"Singapura sedang berhubungan dengan pihak berkuasa New Zealand dan Korea Selatan untuk mendapatkan maklumat lanjut," menurut MOH dan CAAS pada Jumaat.

"Punca jangkitan masih belum diketahui dan siasatan oleh pelbagai pihak berkuasa sedang dijalankan. Sebagai langkah berjaga-jaga, pengesanan kontak di Singapura juga sedang dijalankan."

MOH dan CAAS menarik perhatian kepada "langkah-langkah ketat" yang dilaksanakan di Lapangan Terbang Changi untuk memastikan para penumpang yang melakukan transit diasingkan daripada penumpang lain "pada semua tahap perjalanan mereka - baik semasa berada dalam pesawat, mahupun di lapangan terbang".

PUNCA JANGKITAN

Pada Jumaat, Kementerian Kesihatan New Zealand menyatakan bahawa "masih tiada bukti penularan" di negara itu yang melibatkan individu tersebut.

Semua kontak domestik kes itu yang sudah diuji sejauh kini menunjukkan hasil negatif.

Awal dari itu, pihak berkuasa New Zealand menyatakan bahawa ia sedang menimbangkan empat kemungkinan berhubung kes tersebut: Ia mungkin merupakan hasil positif palsu, ia mungkin jangkitan lama yang memberikan hasil positif, ia mungkin kes yang baru-baru ini dijangkiti semasa dalam transit atau ia adalah kes jangkitan di New Zealand baru-baru ini.

Kemungkinan positif palsu diketepikan setelah Kementerian Kesihatan New Zealand menerima hasil ujian PCR yang positif buat kali kedua daripada pihak berkuasa Korea Selatan


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan