Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Tidak mungkin' pembangkang dikecualikan dari Parlimen melalui skim NCMP, kata PM Lee

Tanpa mengira corak rakyat Singapura mengundi pada Pilihan Raya Umum kali ini, akan ada sekurang-kurangnya 12 AP pembangkang disebabkan oleh skim AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di sidang media maya Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Selasa (30 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
'Tidak mungkin' pembangkang dikecualikan dari Parlimen melalui skim NCMP, kata PM Lee

PM Lee Hsien Loong yang juga setiausaha agung PAP semasa sidang media parti itu pada 30 Jun 2020 (Gambar: PAP)

Diterbitkan : 01 Jul 2020 12:28AM Dikemas Kini : 01 Jul 2020 12:40AM

SINGAPURA: Tanpa mengira corak rakyat Singapura mengundi pada Pilihan Raya Umum kali ini, akan ada sekurang-kurangnya 12 Anggota Parlimen (AP) pembangkang disebabkan oleh skim AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di sidang media maya Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Selasa (30 Jun).

Skim NCMP, yang diperkenalkan pada 1984, menjamin jumlah minimum AP pembangkang di Parlimen. Selepas Pilihan Raya Umum yang lalu, jumlah tersebut dinaikkan dari sembilan menjadi 12, dan hak mengundi NCMP juga dipertingkatkan.

"Akan ada sekurang-kurangnya 12 Anggota Parlimen pembangkang dalam Parlimen walau apa pun yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum, iaitu enam lebih ramai berbanding jumlah AP yang dipilih," kata Encik Lee.

Parti Pekerja (WP) memegang enam kerusi dalam Parlimen lalu dan mempunyai tiga NCMP di Parlimen.

"NCMP (akan) memiliki hak penuh mengundi, sama dengan Anggota Parlimen yang dipilih. Mereka dapat mengundi untuk Belanjawan, boleh mengundi berhubung pindaan perlembagaan, mereka bahkan boleh mengundi bagi usul percaya ... Tidak mungkin pembangkang akan dikecualikan dari Parlimen," tegas Encik Lee.

Encik Lee berkata demikian kepada para wartawan pada Hari Penamaan Calon, sambil menambah bahawa NCMP WP sama aktif, dan kadangkala bahkan "lebih aktif" berbanding AP lain di Parlimen.

"Saya dapat memahami sepenuhnya parti-parti pembangkang akan bekerja keras untuk merebut kerusi dan bukan setakat untuk memperolehi keputusan yang baik di semua kawasan undi," kata Perdana Menteri.

"Namun dari segi Perlembagaan, sehubungan dengan operasi parlimen, tidak ada perbezaan antara NCMP dengan AP," kata Encik Lee, yang juga adalah setiausaha agung PAP.

Komennya itu dikeluarkan setelah ketua WP Pritam Singh memberi amaran pada Ahad bahawa ada kemungkinan pembangkang akan 'dihapuskan' dalam pilihan raya, dengan "100 peratus kerusi di tangan PAP pada Pilihan Raya Umum kali ini".

"MANDAT YANG KUKUH"

Para pemimpin PAP meminta para pengundi untuk memberikan mereka "mandat yang kukuh" untuk memimpin Singapura mengharungi pandemik COVID-19.

Sambil menekankan apa yang dipertaruhkan dalam pilihan raya kali ini adalah "sangat tinggi", Encik Lee pada Selasa mengatakan bahawa pilihan raya kali ini adalah "pilihan raya krisis".

Apabila ditanya apakah yang dimaksudkan sebagai "mandat kukuh", beliau berkata ia harus diukur secara kualitatif, dan bukan setakat berdasarkan perangkaan.

PAP meraih undi popular sebanyak 69.9 peratus pada Pilihan Raya Umum 2015, satu peningkatan yang ketara berbanding 60.1 peratus yang diperolehi pada 2011.

TIDAK BOLEH KATAKAN GE KALI INI YANG TERAKHIR: PM LEE

Sebelum pandemik COVID-19, GE kali ini disebut-sebut sebagai peralihan tampuk kepimpinan kepada pemimpin generasi keempat, dengan PAP sudah mentadbir negara selama enam dekad.

Encik Lee, Perdana Menteri ketiga Singapura, dijangka akan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada penggantinya pada pilihan raya kali ini. Namun beliau pada Selasa berkata bahawa pilihan raya kali ini, iaitu yang kesembilan buatnya, mungkin bukan yang terakhir baginya.

"Saya tidak boleh mengatakan bahawa ini adalah (pilihan raya) yang terakhir, walaupun saya sudah mengatakan bahawa saya berharap dapat menyerahkan tampuk kepimpinan kepada pengganti saya," kata Encik Lee.

Apabila ditanya bagaimana COVID-19 sudah menjejas rancangan tersebut, beliau menambah: "Saya sangat-sangat berharap agar COVID-19 tidak akan menjejas rancangan saya namun COVID-19 adalah virus yang sangat licik dan berbahaya dan kita harus melihat bagaimana keadaannya akan berubah."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan