Images
  • ttsh lab
    (Gambar: Mediacorp)

'Tiada ruang buat kesilapan’: di sebalik tabir makmal ujian COVID-19 di S'pura

SINGAPURA: Selama bertahun-tahun, sejak wabak sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS) pada 2003 berakhir di Singapura, jabatan makmal perubatan Hospital Tan Tock Seng sudah merancang untuk menghadapi penularan seumpamanya.

Rancangannya adalah untuk melengkapkan makmal untuk melakukan 500 ujian setiap hari pada kapasiti penuh, untuk menyokong Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Namun pada Mac, sebelum kes harian COVID-19 di Singapura naik mendadak, Kementerian Kesihatan (MOH) meminta hospital itu untuk melakukan 3,000 ujian sehari, kata ketua perubatan makmal TTSH, Penolong Profesor Sementara, Partha Pratim De.

Malah untuk tingkatkan jumlah ujian dari 500 sehari kepada 800, iaitu kapasiti maksimumnya, sangat mencabar "dengan jumlah kakitangan dan peralatan yang sedia ada".

Bahkan meningkatkan keupayaan ujian hanyalah salah satu cabaran yang dihadapi makmalnya sejak penularan COVID-19 bermula.

Dengan ujian dilakukan sepanjang hari, tujuh hari seminggu, beliau bimbang kakitangannya mengalami keletihan.

UJIAN AMBIL MASA LEBIH 3 JAM

Kapasiti ujian COVID-19 di Singapura meningkat dari purata 2,900 ujian setiap hari pada awal bulan lalu kepada lebih 8,000. Kini terdapat beberapa tempat - dari hospital ke makmal awam dan swasta - di mana sampel sedang diuji.

Di TTSH, sampel yang diuji datang dari rumah rawatan, ada dari poliklinik dan Institut Kesihatan Mental.

Sebaik sahaja sampel dibawa ke makmal, "setiap langkah" yang diambil oleh kakitangan adalah "sangat penting", kata Partha De. Bermula dengan memastikan bahawa label bagi setiap sampel sepadan dengan pesakit di dalam sistem maklumat makmal.

"Sebarang kesilapan - dari sampel pesakit yang salah pada tahap ini, akan membawa masalah besar," tambah doktor itu.

Ujian dipanggil RT-PCR itu mempunyai ketepatan 99 peratus namun setiap langkahnya perlu dilakukan dengan tepat.


"Setiap langkah, ada protokol yang harus diikuti," kata juruteknologi perubatan Nur Ain Lokman dari makmal mikrobiologi hospital itu. "Isi padu cecair yang sangat kecil untuk ditambahkan ... jadi satu kesilapan kecil boleh menjejas hasilnya."

Kini terdapat empat mesin, masing-masing dapat menguji hingga 96 sampel. Namun kerana swab tidak tiba sekaligus, masa yang diperlukan untuk melaporkan hasil ujian adalah antara tiga hingga lapan jam.

"Kami harus mendapatkan hasil yang pantas untuk pakar perubatan," kata juruteknologi perubatan Tan Yong Wen. "Jika hasilnya positif, lebih cepat bagi mereka untuk melakukan pengesanan kontak, dan mengurangkan penularan kelompok."

PASUKAN KECIL, BEKALAN TERHAD

Giliran syif kerja malam selama 12 jam sangat meletihkan petugas.

Kata Nur Ain. "Ia memerlukan daya tahan yang kuat, untuk dapat memberi tumpuan sepanjang masa."

Jumlah giliran kerja malam yang mereka lakukan juga meningkat seganda menjadi sekitar empat kali sebulan, kata rakannya Chua Xian Da. Mujur kakitangan yang bertugas pada waktu malam juga digandakan.

Sepanjang tiga bulan lalu, pasukan yang dilatih untuk menjalankan ujian RT-PCR secara beransur-ansur ditambah menjadi 22.

Latihan untuk setiap daripada mereka mengambil masa tidak kurang dari dua minggu. "Ini adalah satu ujian yang sangat khusus," jelas Partha De, yang juga menggajikan empat graduan politeknik untuk bertugas hanya pada sebelah malam.

Namun, tidak cukup untuk hanya mempunyai tenaga kerja terlatih saja bagi meningkatkan keupayaan ujian. Banyak negara, termasuk Singapura, menghadapi gangguan pada bekalan bahan yang diperlukan untuk ujian COVID-19, dengan kekurangan berlaku terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat.

KEKERAPAN UJIAN PESAKIT DIKURANGKAN

Sementara itu, kekerapan ujian pesakit di NCID dikurangkan, yang sebelum ini "diuji hampir setiap hari", meskipun menunjukkan gejala.

"Kami juga mengubah cara ujian berdasarkan bukti, jadi ... kami hampir dapat meramalkan bila waktu terbaik untuk mengambil sampel swab."

Pada bulan lalu, jabatannya menguji purata 420 sampel sehari bagi virus COVID-19, dengan jumlah tertinggi adalah 750 ujian pada 23 Mac.

Makmal tersebut kini mendapatkan lebih banyak mesin dan meneroka automasi baru untuk mengurangkan masa ujian, meningkatkan kapasiti dan mengurangkan sedikit kerja yang dilakukan sekarang.

"Jika tidak ... kita akan mula melihat keletihan dan lesu upaya kakitangan dengan pantas," kata Partha De.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/TQ/tq

Top