Images
  • SingapoRediscover voucher
    Seorang kakitangan membantu Encik Narayana Samy membuat tempahan. (Gambar: Cindy Co)

Tiada rancangan ubah kaedah tebus baucar SingapoRediscovers: STB

SINGAPURA: Sedang ia memperhebat usaha-usaha pemasaran untuk menggalak lebih ramai rakyat Singapura supaya menggunakan baucar-baucar SingapoRediscovers, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan ia "tidak mempunyai rancangan untuk mengubah kaedah asas" bagaimana baucar-baucar itu ditebus.

Sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan industri pelancongan, pemerintah mengumumkan pada September bahawa setiap rakyat Singapura berusia 18 tahun ke atas akan menerima baucar-baucar pelancongan bernilai S$100 yang boleh digunakan untuk bercuti di dalam negeri, melawat tempat-tempat daya tarikan dan wisata dalam negara.

Penebusan baucar-baucar tersebut bermula pada bulan Disember tahun lalu namun setakat 28 Mac, sekitar tiga suku rakyat dewasa Singapura masih belum melakukannya.

Baucar-baucar itu akan luput pada hujung bulan Jun.

Sebahagian pengguna menyuarakan keprihatinan tentang kesulitan untuk meninjau-ninjau tawaran-tawaran di lima platform tempahan dan juga masalah-masalah lain semasa membuat tempahan online.

Sebahagian yang lain juga mengatakan bahawa penebusan online boleh menjadi sesuatu yang berat bagi mereka yang kurang tahu menggunakan teknologi, terutamanya warga tua.

Ditanya jika ada rancangan untuk memudahkan orang ramai menebus baucar-baucar mereka, Ketua Eksekutif STB Keith Tan mengatakan lembaga itu sebelum ini sudah menjelaskan mengapa skim itu direka sebagai "proses digital sahaja", maka "tiada rancangan untuk mengubah kaedah asas skim itu".

"Apa yang kami kami lakukan dan sudah lakukan adalah untuk memudahkan prosesnya bagi mereka yang kurang tahu menggunakan teknologi untuk mengakses skim-skim tersebut, sama ada menerusi meja-meja maklumat di CC (kelab-kelab masyarakat) atau wadah-wadah fizikal yang didirikan oleh rakan-rakan tempahan kami," tambah beliau.

"Semua itu masih tersedia."

Bagaimanapun terdapat kemerosotan dalam jumlah orang yang datang ke meja-meja maklumat secara fizikal di kelab-kelab masyarakat dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, kata Encik Tan.

"Dan saya harap ini juga sebahagiannya mencerminkan bahawa setelah anda mencuba sekurang-kurangnya sekali, anda sebenarnya mendapati ia tidak sukar langsung," kata beliau.

STB sudah mula mempertingkat usaha-usaha pemasaran untuk meningkatkan kadar penebusan.

"Salah satu faktor utama yang kami perhatikan adalah orang ramai menunggu tawaran lebih baik (atau) yang seterusnya," Encik Tan memberitahu para wartawan di sidang media yang diadakan selepas persidangan tahunan industri STB.

"Kami sudah bekerjasama dengan rakan-rakan tempahan dan secara sendiri untuk mempertingkat usaha-usaha pemasaran bagi menggalak orang ramai supaya jangan menunggu."

Terdapat "peningkatan baik" dalam kadar penggunaan baucar-baucar dalam bulan lalu.

Meskipun cuti sekolah bulan Mac mungkin memainkan peranan, Encik Tan berkata trend itu masih berterusan.

"Kami percaya terdapat lebih ramai orang yang menggunakannya menyusuli usaha-usaha pemasaran daripada kami dan lima rakan tempahan."

Pemerintah tidak mempunyai rancangan untuk mengubah tarikh luput skim penebusan baucar itu "buat masa ini", menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chung Sing dalam jawapan bertulisnya kepada parlimen minggu ini.  

- CNA/NK/nk

Top