Images
  • ttsh file
    Hospital Tan Tock Seng (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Tiada petunjuk vaksin COVID-19 sebabkan serangan jantung lelaki warga emas S'pura: MOH

SINGAPURA: Seorang lelaki Singapura berusia 72 tahun yang menerima dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech, kemudiannya mengalami serangan jantung. Bagaimanapun, tiada petunjuk bahawa serangan itu disebabkan oleh vaksinasi tersebut, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (18 Feb).

Lelaki itu dimasukkan ke unit jagaan rapi di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada 16 Februari malam.

"Beliau telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada pagi 16 Februari, tetapi berdasarkan penilaian awal TTSH, tidak ada petunjuk bahawa serangan jantung itu disebabkan oleh vaksinasi COVID-19," jelas MOH, sambil menambah bahawa pihaknya diberitahu mengenai kes itu oleh TTSH pada 17 Februari.

Pasukan perubatan sedang melakukan ujian lanjut untuk mengetahui punca serangan jantung berkenaan.

Lelaki itu mempunyai sejarah penyakit barah, darah tinggi dan hiperlipidemia, tambah MOH.

"Beliau dinilai oleh petugas jagaan kesihatan yang terlatih sebagai sesuai untuk diberi vaksinasi COVID-19 sebelum disuntik," menurut kementerian itu.

"Sejajar dengan protokol kami, lelaki itu juga dipantau selama 30 minit setelah setelah disuntik dan berada dalam keadaan sihat."

MOH menekankan adalah penting untuk memberi suntikan vaksin dan melindungi warga senja kerana mereka paling mudah terdedah kepada penyakit berat dan komplikasi akibat jangkitan COVID-19.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia tidak menemui sebarang bukti bahawa vaksin Pfizer-BioNTech menyumbang kepada risiko tambahan kematian dalam kalangan warga senja," tambah MOH.

- CNA/TQ/tq

Top