Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada perubahan luar biasa mutu udara, air S'pura ekoran pencemaran metana Pasir Gudang

Tiada kejanggalan dikesan pada mutu air dan udara Singapura, menurut pihak berkuasa hari ini (14 Mac) selepas pembuangan sisa toksik secara haram di Pasir Gudang, Johor menyebabkan beratus-ratus orang jatuh sakit.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada perubahan luar biasa mutu udara, air S'pura ekoran pencemaran metana Pasir Gudang

Gambar fail Pulau Ubin. (Gambar: Liyana Othman)

Diterbitkan : 14 Mar 2019 06:48PM Dikemas Kini : 14 Mar 2019 06:50PM

SINGAPURA: Tiada kejanggalan dikesan pada mutu air dan udara Singapura, menurut pihak berkuasa hari ini (14 Mac) selepas pembuangan sisa toksik secara haram di Pasir Gudang, Johor menyebabkan beratus-ratus orang jatuh sakit.

Dalam satu kenyataan bersama, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA), agensi air negara (PUB) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan mereka sedang memantau situasi di Pasir Gudang dengan teliti. 

"Kami difahamkan bahawa operasi pembersihan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Tempat terjejas terletak di luar kawasan tadahan Sungai Johor dan ia tidak menjejas bekalan air Singapura," menurut kenyataan tersebut.

"SCDF, NEA dan PUB tidak mengesan sebarang kejanggalan pada mutu air dan udara kita. AVA pula sedang bekerjasama dengan para penternak untuk memantau keadaan dan tiada kejadian luar biasa ataupun kematian ikan berlaku di pusat-pusat penternakan ikan."

Pada 7 Mac, sebuah lori tangki dari sebuah kilang kitar semula tayar haram, dilaporkan membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim.

Air dari Sungai Kim Kim mengalir ke Selat Johor, berhampiran Pulau Ubin.

Pada Khamis (14 Mac), SCDF dan NEA menyatakan kedua-dua pihak sedang berurusan dengan rakan sejawatan di Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan tersebut.

Awal sebelum ini, NEA menyatakan dalam satu catatan Facebook bahawa "paras Sebatian Organik Meruap di kawasan pantai Singapura berada pada paras selamat."

"Mutu air laut di kawasan Pulau Ubin juga berada pada paras normal," menurutnya.

NEA turut menyatakan bahawa sejak 6 Mac, bacaan PSI 24 jam berada pada paras baik hingga paras rendah-sederhana, manakala bacaan PM2.5 bagi tempoh sejam kekal pada Band I (Normal).

Setakat pukul 8.00 malam Rabu (13 Mac), lebih 940 orang di Pasir Gudang sudah menerima rawatan atas masalah kesesakan nafas, rasa loya dan muntah-muntah, kata pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal.

Kementerian Pendidikan Malaysia juga mengarahkan semua 111 sekolah di Pasir Gudang supaya ditutup.

Sementara itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar mengikrarkan dana RM1 juta (S$330,000) kepada usaha-usaha bantuan. Beliau juga mengarahkan pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab membuang sisa toksik tersebut.

Sultan Ibrahim juga mengarahkan agar satu siasatan menyeluruh dijalankan. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan