Images
  • kelab malam
    Kelab De Zara di Pusat Tekstil Singapura. (Gambar: Hanidah Amin)

Tiada perniagaan dalam kelompok KTV diberi geran tukar operasi ke F&B

SINGAPURA: Daripada 18 pusat hiburan malam yang menerima geran pemerintah untuk bertukar kepada operasi makanan dan minuman (F&B), dua merupakan perniagaan karaoke.

Namun, tiada perniagaan yang buat masa ini dikaitkan dengan kelompok KTV mendapat geran tersebut, dedah pihak berkuasa hari ini (21 Jul).

Setakat Selasa (20 Jul), 207 jangkitan COVID-19 dikaitkan dengan kelompok KTV, menjadikannya kelompok aktif kedua terbesar, selepas kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong.

Kriteria ketat ditetapkan ketika menilai permohonan-permohonan geran, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Enterprise Singapore (ESG) dalam satu kenyataan bersama.

MTI dan ESG menambah bahawa ia mahu "menjelaskan tentang komen-komen dan salah tanggapan " berhubung kes pelanggaran langkah-langkah pengurusan selamat baru-baru ini oleh kelab-kelab KTV yang tidak sah, yang kononnya beroperasi sebagai cawangan F&B sekali gus menyebabkan penularan kes-kes COVID-19.

Disebabkan pandemik, semua pusat hiburan malam tidak dibenarkan beroperasi sejak 27 Mac 2020.

Menurut MTI dan ESG, banyak perniagaan dan Persatuan Perniagaan Hiburan Malam Singapura membuat rayuan kepada pemerintah agar membolehkan perniagaan-perniagaan mereka ditukar kepada kegiatan-kegiatan yang dibenarkan.

Kegiatan-kegiatan tersebut termasuk operasi sebagai cawangan F&B, ruang pejabat serta gim dan pusat kecergasan.

"Memandangkan cabaran-cabaran yang dihadapi industri itu, pemerintah membenarkan perniagaan-perniagaan terpilih untuk beralih kepada kegiatan-kegiatan lain yang dibenarkan sejak Oktober 2020," menurut kenyataan itu.

Pusat-pusat hiburan malam yang mahu beralih kepada kegiatan-kegiatan yang dibenarkan pertama sekali harus memperolehi kelulusan-kelulusan daripada agensi-agensi kawal selia yang relevan.

MTI dan ESG menyatakan firma berkenaan dikehendaki menyerahkan rancangan perniagaan, termasuk perincian keperluan operasi.

Setiap permohonan dinilai dengan teliti berdasarkan merit, sambil mengambil kira faktor-faktor lain seperti pelan operasi pemohon.

Pemohon-pemohon yang diluluskan layak menerima geran sehingga S$50,000 daripada ESG untuk menampung kos kelayakan yang dikenakan sewaktu proses beralih operasi seperti kos peralatan dan yuran pakar perunding pihak ketiga.

Geran-geran diberikan menerusi kaedah pembayaran balik dan akan dibayar balik hanya selepas pemeriksaan ke atas dokumen-dokumen yang diperlukan dan pemeriksaan di pusat hiburan malam itu memuaskan, tambah MTI dan ESG.

Setakat 21 Julai tahun ini, lebih 400 bekas pusat hiburan malam sudah beralih ke operasi lain yang diluluskan.

"Daripada jumlah itu, hanya 18 menerima pakej bantuan ESG untuk beralih kepada operasi F&B. Daripada 18 perniagaan ini, 10 merupakan tempat minum arak, enam adalah kelab malam dan disko manakala lagi dua merupakan pusat karaoke. Tiada daripada perniagaan-perniagaan yang dikaitkan dengan kelompok KTV COVID-19 mendapat geran tersebut," tekan MTI dan ESG.

Kedua-dua badan itu menambah bahawa pelbagai agensi melakukan pemeriksaan ke atas kesemua tempat F&B itu untuk memastikan ia mematuhi kesemua protokol pengurusan selamat.

Sementara itu, pemeriksaan-pemeriksaan ke atas bekas pengendali tempat hiburan malam dijalankan bersama dengan pihak polis.

"Agensi-agensi tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengendali yang melakukan kesalahan. Jika didapati bersalah melanggar langkah-langkah pengurusan selamat, syarat geran atau pengisytiharan dalam permohonan geran, ESG berhak mendapatkan semula geran tersebut meskipun selepas memberikannya," menurut kenyataan itu. 

- CNA/SM/sm

Top