Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Tiada penghujung' - cabaran menarik bakat berkhidmat dalam pemerintah, kata Chan Chun Sing

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata cabaran menarik minat individu berkebolehan untuk berkhidmat dalam pemerintah merupakan sesuatu yang berterusan, tetapi Pemerintah harus terus berusaha.

Anggaran Waktu Membaca:
'Tiada penghujung' - cabaran menarik bakat berkhidmat dalam pemerintah, kata Chan Chun Sing
Diterbitkan : 14 May 2018 11:33PM Dikemas Kini : 14 May 2018 11:35PM

SINGAPURA: Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata cabaran menarik minat individu berkebolehan untuk berkhidmat dalam pemerintah merupakan sesuatu yang berterusan, tetapi Pemerintah harus terus berusaha.

Beliau turut menekankan tanggungjawab 'perintis generasi kami' dalam mewujudkan masa depan yang lebih cerah demi rakyat Singapura.

Dalam ucapannya di Parlimen hari ini (14 Mei) bagi membahaskan Ucapan Presiden, Encik Chan berkata amat jelas perlunya menarik individu yang berkebolehan kerana para individulah yang membangunkan sistem dan mereka juga yang merosakkannya. Terdapat contoh sistem demokratik dan sosialis yang gagal, biasanya disebabkan individu yang didorong dengan niat yang salah, tambah beliau.

Pada masa yang sama, sukar untuk menarik individu yang sanggup mengorbankan kepentingan peribadi dan keluarga demi negara, terutama sekali apabila negara itu sudahpun berjaya, aman dan makmur. "Tetapi kita harus terus berusaha," tegas menteri itu.

Encik Chan menambah bahawa individu-individu sedemikian diperlukan bukan hanya bagi menghuraikan masalah tetapi juga mencegah berlakunya masalah pada masa hadapan. Ini bermakna kemahiran dan pandangan yang berbagai-bagai diperlukan supaya ia dapat digabungkan jika perlu, untuk menangani cabaran-cabaran itu.

"Ia bukanlah satu keperluan untuk bersetuju dengan kami. (Sebaliknya) Bersetuju untuk mendahulukan dan mengutamakan Singapura adalah satu keperluan," tegas beliau.

JELAS TENTANG CABARAN

Selain menarik pemimpin berkebolehan, Encik Chan juga memberi amaran tentang mengamalkan pemikiran konservatif.

Beliau berkata bahawa sedang masyarakat menjadi lebih matang, ia biasanya menjadi lebih konservatif dan memilih untuk mendukung sistem yang sedia ada berbanding yang baru. Namun, demi menjadi perintis generasi kami, Pemerintah harus jelas tentang cabaran-cabaran yang dihadapi negara ini.

Beliau menarik perhatian kepada perlunya perusahaan berinovasi dan mempertingkat diri serta dan memperbaiki usaha menjadikan pelaburan dalam penyelidikan dan pengembangan satu keupayaan dan perusahaan baru. Agensi Sains, Teknologi dan Kajian (A*Star) dan Enterprise Singapore akan bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat untuk menjadikannya satu kenyataan.

Maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan Menteri Negara Kanan Chee Hong Tat dalam masa terdekat, kata beliau.

MESTI MENDUKUNG MOBILITI SOSIAL

Satu lagi aspek masyarakat yang semakin berkembang adalah mobiliti sosial secaar secara lumrahnya kurang pesat, dengan ketidaksamarataan sosial lebih ketara dari masa ke masa, kata Encik Chan.

Menurut beliau, ini biasanya disebabkan oleh 'kelompok sosial' golongan dari latar belakang yang serupa dan juga naluri manusia untuk mewariskan harta dan hak keistimewaan mereka kepada generasi seterusnya.

"Sekiranya tidak dipantau, penduduk kita mungkin hilang kepercayaan kepada sistem meritokrasi kita dan ia boleh menjejas masyarakat,"kata beliau.

Oleh itu, memastikan mobiliti sosial dan hasil pertumbuhan negara diagihkan dengan lebih baik kepada orang ramai adalah "sesuatu yang mesti dipandang serius," tegas Encik Chan.

Semua orang mesti diberi permulaan yang baik untuk berkembang dan mencapai potensi sepenuhnya dengan memastikan peluang yang disediakan 'terus dapat diakses oleh mereka yang bekerja keras, berbakat dan komited.' Selain itu, peluang yang diberi juga tidak seharusnya dikaitkan dengan keputusan akademik tetapi kebolehan dan kemahiran yang sesuai, tambah beliau.

Ini selari dengan ucapan Presiden Halimah Yacob minggu lalu, di mana beliau menggesa agar ketidaksamarataan ditangani dengan berkesan.

Paling penting sekali, Encik Chan berkata adalah untuk membawa negara bersatu.

Beliau menggesa agar rakyat Singapura bukan saja mencari peluang ekonomi tetapi juga memupuk naluri semulajadi untuk mempertahankan hak, mengukuhkan yang sedia ada dan tetap tinggal di sini walaupun apabila keadaan tidak secerah diharapkan.

"Sesebuah negara bukan saja tentang manfaat ekonomi," kata Encik Chan. "Ia juga adalah merangkumi semangat kemasyarakatan dan saling menyumbang."  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan