Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Tiada pas percuma" bagi mahasiswa dalam kes salah laku seksual: Shanmugam

Tiada "pas percuma" bagi mahasiswa atau sesiapa sahaja yang terbabit kes-kes salah laku seksual untuk elak undang-undang, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen pada Isnin (6 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
"Tiada pas percuma" bagi mahasiswa dalam kes salah laku seksual: Shanmugam

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam semasa berucap di Parlimen pada 6 Mei 2019.

Diterbitkan : 06 May 2019 11:45PM Dikemas Kini : 06 May 2019 11:49PM

SINGAPURA: Tiada "pas percuma" bagi mahasiswa atau sesiapa sahaja yang terbabit kes-kes salah laku seksual untuk elak undang-undang, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen pada Isnin (6 Mei).

Encik Shanmugam menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leon Perera dan Anggota Parlimen (AP) Lee Bee Wah mengenai kesalahan seksual di universiti-universiti Singapura, dan juga pendekatan yang diambil oleh polis dan Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam kes-kes sedemikian.

KES DI UNIVERSITI

Kementerian Pendidikan (MOE) memaklumkan Parlimen bahawa antara tahun-tahun akademik 2015/2016 dengan 2017/2018, 56 kes salah laku seksual dilaporkan di universiti-universiti bebas tempatan. 37 daripada 56 kes diserahkan kepada pihak polis, kata Encik Shanmugam.

Beliau berkata, terdapat kekurangan bahan bukti dalam dua kes, dan siasatan bagi empat lagi kes masih dijalankan.

Dalam kalangan 31 lagi kes, 16 pesalah sudah didakwa di mahkamah, dan 10 daripada mereka menerima hukuman penjara. Pesalah-pesalah dalam empat kes dikenakan probesyen, dan seorang yang lain dilepaskan daripada pertuduhan tetapi tidak membawa kepada pembebasan. Hukuman masih dipertimbangkan bagi seorang lagi pesalah.

Bagi baki 15 kes, 13 pesalah diberi amaran bersyarat sementara dua yang lain diberi amaran tegas.

Seorang pesalah berulang, yang merupakan mahasiswa NUS, diberi amaran bersyarat atas kesalahan mengintai atau 'voyeurism' pada 2015. Apabila dia mengulangi kesalahannya pada 2017, polis mendakwanya bagi kedua-dua kesalahan yang dilakukan pada 2015 dan 2017. Dia dihukum penjara lapan bulan dan didenda S$2,000.

Encik Shanmugam juga berkata, selain 56 kes tersebut, terdapat lapan lagi kes yang dilaporkan secara langsung kepada polis. Enam daripada lapan kes tersebut digugurkan kerana kekurangan bahan bukti bagi menfailkan dakwaan, sementara siasatan dalam dua kes lagi masih dijalankan.

"Perangkaan ini menunjukkan, terdapat mereka yang didakwa atas fakta kes mereka, dan terdapat juga mereka yang diberi peluang kedua, dan tiada 'pas percuma' yang diberikan kepada mahasiswa, atau sesiapa pun," kata Encik Shanmugam.

"Kesemua ini - iaitu, pendekatan tegas, tidak bermakna setiap pesalah harus atau secara automatik didakwa di mahkamah. Polis dan AGC harus meneliti fakta dalam setiap kes dan menggunakan kebijaksanaan," tambah Encik Shanmugam.

Mengenai kes melibatkan mahasiswa NUS Monica Baey, yang dirakam oleh seorang lagi mahasiswa Nicholas Lim ketika beliau sedang mandi di asrama, Encik Shanmugam berkata Lim berada dalam kedudukan berbahaya setelah dia diberi amaran bersyarat oleh polis.

Encik Shanmugam berkata, terdapat faktor-faktor yang mungkin dapat menyokong keputusan untuk mendakwa Lim. Faktor yang utama adalah Lim telah melakukan sesuatu yang "sangat salah".

"Faktor-faktor itu ditimbangkan antara satu sama lain, yang menyokong keputusan untuk memberinya peluang kedua. Polis telah menimbangkan faktor-faktor itu dan membuat keputusan bahawa ianya wajar untuk memberi amaran bersyarat kepada Lim," jelas Encik Shanmugam.

"Ini merupakan satu salah kes yang lazim ditangani polis, di mana keputusan dilakukan berdasarkan penilaian. Polis memutuskan bahawa Lim berasa sesal dan dia dapat mengubah kelakuannya."

"Dia mengaku kesalahannya secara sukarela, dalam beberapa minit setelah melakukannya, dan sebelum sebarang aduan polis dibuat."

"Dia telah bekerjasama dengan polis. Dia tidak menyebarkan video yang dirakamnya. Ia telah dipadamkan. Faktor-faktor lain juga dikemukakan dalam kenyataan polis."

Jika Lim mengulangi kesalahan dalam tempoh 12 bulan, dia akan didakwa atas kesalahan berkaitan dengan Cik Baey, dan juga atas kesalahan baru, tambah Encik Shanmugam.

Sumber : CNA/ZM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan