Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada lagi Merlion di Sentosa dalam pelan induk baru pembinaan semula pulau Sentosa-Brani

Pelan induk menyeluruh bagi membina semula Sentosa dan Pulau Brani menjadi "destinasi riadah dan pelancongan yang membawa perubahan" dikeluarkan pada Jumaat (20 Sep), dengan rancangan bagi ruang dan konsep baru serta pantai yang diberi nafas baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Sep 2019 08:15PM Dikemas Kini : 21 Sep 2019 08:39PM

SINGAPURA: Pelan induk menyeluruh bagi membina semula Sentosa dan Pulau Brani menjadi "destinasi riadah dan pelancongan yang membawa perubahan" dikeluarkan pada Jumaat (20 Sep), dengan rancangan bagi ruang dan konsep baru serta pantai yang diberi nafas baru.

Pembangunan semula Sentosa dan Pulau Brani adalah sebahagian daripada langkah lebih besar pemerintah bagi membina semula Greater Southern Waterfront (GSW) Singapura dan mengikut rancangan yang digariskan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan bulan lalu.

Gambaran pelukis menampilkan pandangan (malam) dari atas bagi pembangunan Sentosa dan Pulau Brani, di bawah Pelan Induk Sentosa-Brani. (Gambar: SDC)

Pelan induk Sentosa-Brani dijangka dilaksanakan secara bertahap-tahap dalam 20 hingga 30 tahun akan datang, tetapi pembinaan projek tanda aras pertama itu - laluan pejalan kaki berbilang deria seluas 30,000 meter persegi - akan bermula pada suku keempat tahun ini, menurut Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) di sidang media pada Jumaat. Ia dijangka siap pada 2022.

"Pelan induk Sentosa-Brani salah satu pembangunan pelancongan kami bagi meletakkan Singapura sebagai destinasi utama bagi beberapa puluh tahun akan datang," kata Menteri Negara Kanan bagi Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pendidikan Chee Hong Tat pada Jumaat.

Gambaran pelukis menampilkan daya tarikan baru di sepanjang Resorts World Sentosa di bawah Pelan Induk Sentosa-Brani. (Gambar: SDC)

"Industri pelancongan kami menunjukkan prestasi baik dan masih mempunyai ruang bagi lebih banyak pertumbuhan dan pembinaan semula. Ia salah satu pemacu ekonomi kami yang dapat terus menjana lebih banyak pekerjaaan bagi rakyat Singapura," dedahnya.

Sentosa Sensoryscape, yang mana saiznya dijangka sebesar 5.5 padang bola apabila siap kelak, akan menghubungkan Resorts World Sentosa di bahagian utara ke pantai-pantai Sentosa di bahagian selatan.

Gambaran pelukis menampilkan pandangan (siang hari) dari atas Sentosa Sensoryscape. (Gambar: SDC)

Merangkumi laluan pejalan kaki dua tingkat, Sensoryscape akan mempunyai ciri-ciri yang membangkitkan lima deria, seperti permukaan bertekstur dan tumbuhan-tumbuhan yang memberi respons apabila disentuh serta ciri air dengan bunyi air yang mengalir.

Gambaran pelukis struktur berbentuk kapal, yang menampilkan tumbuh-tumbuhan harum, sebagai sebahagian daripada Sentosa Sensoryscape yang diberi nafas baru. (Gambar: SDC)

"Sentosa Sensoryscape projek pertama di bawah pelan induk. Ia akan saling melengkapi peluasan Resorts World Sentosa dan peningkatan prasarana selanjutnya di Sentosa dan Pulau Brani," kata Encik Chee.

LIMA ZON PERWATAKAN

Sebagai sebahagian daripada pelan induk lebih besar, Sentosa dan Pulau Brani akan dibangun semula dengan lima zon.

Setiap zon - kelompok bertenaga, tengah pulau, bertentangan laut, kawasan tebing dan pesisir pantai - akan mempunyai perwatakan sendiri dan akan memberikan pengalaman unik kepada para pengunjung, menurut SDC.

Kelompok bertenaga akan menjadi zon perayaan dan daya tarikan, dengan menampilkan tarikan besar dan ruang persembahan di luar.

Gambar pelukis bagi promenad bertentangan laut yang terbuka kepada orang ramai (di hadapan) dan Mount Serapong (latar belakang). (Gambar: SDC)

Tengah pulau akan menjadi bahagian utama seluruh pembangunan dan akan menampilkan kedua-dua daya tarikan di dalam bangunan dan di luar, dengan pemandangan Mount Serapong.

Kawasan bertentangan laut yang memperlihatkan bandar, yang terletak paling dekat dengan pulau utama Singapura, akan mengekalkan reka bentuk pelabuhannya bagi memperingati warisan pelabuhannya, menurut SDC. Ia juga akan membina taman pengembaraan berkonsepkan masa depan.

Gambaran pelukis jejak kembara dan warisan serta daya tarikan yang diperluaskan. (Gambar: SDC)

Pencinta alam pula boleh mengunjungi kawasan tebing, yang menawarkan daya tarikan alam semula jadi dan warisan yang menghubungkan Mount Faber, Pulau Brani, Mount Serapong dan Mount Imbiah ke Fort Siloso.

Zon kelima - pesisir pantai - akan menawarkan daya tarikan bertemakan air bagi keluarga.

Daya tarikan pada waktu malam juga sedang dirancang, sedang SDC mendedahkan rancangannya untuk mengadakan pameran digital dan acara lampu yang direka khas berdasarkan lima zon itu.

Gambaran pelukis pesisir pantai yang diberi nafas baru. (Gambar: SDC)

Rangkaian pengangkutan yang ditingkatkan juga akan dibina bagi memastikan akses lebih mudah ke dalam pembangunan tersebut.

Gambaran pelukis pesisir pantai yang diberi nafas baru. (Gambar: SDC)

Merlion ikonik setinggi 37 meter - yang pertama kali dibina di pulau itu pada 1995 - bagaimanapun tidak akan menjadi sebahagian daripada Sentosa pada masa hadapan.

SDC menyatakan kesemua penghuni dan daya tarikan di Merlion Plaza akan ditutup secara bertahap-tahap bermula 21 Oktober hingga 4 Oktober tahun ini.  

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan