Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Tiada kelemahan' semasa merawat budak perempuan yang jadi viral di Facebook, tegas KKH

 Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) menyatakan semalam (19 Nov) bahawa “tiada kelemahan” pada rawatan perubatan yang diberikan kepada budak perempuan yang viral di Facebook.

Anggaran Waktu Membaca:
'Tiada kelemahan' semasa merawat budak perempuan yang jadi viral di Facebook, tegas KKH

Petikan skrin video yang dimuat naik ibu kepada kanak-kanak perempuan itu.

Diterbitkan : 20 Nov 2017 10:46AM Dikemas Kini : 20 Nov 2017 10:49AM

SINGAPURA: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) menyatakan semalam (19 Nov) bahawa “tiada kelemahan” pada rawatan perubatan yang diberikan kepada budak perempuan yang ibu bapanya mendakwa anak mereka berada dalam keadaan tidak sedar keesokan pagi selepas seorang doktor di jabatan kecemasan memberitahu mereka bahawa anak mereka tidak dalam keadaan serius.

Kenyataan KKH itu dikeluarkan selepas ibu kanak-kanak perempuan itu, Cik Tricia Ang, memuat naik video pada 14 November yang menunjukkan suaminya cuba melakukan bantuan pernafasan kecemasan CPR ke atas anaknya yang kelihatan terbujur di atas sofa.

Video berkenaan yang menjadi viral sudahpun dipadam.

Menurut catatan Facebook Cik Ang, beliau dan suaminya membawa anak mereka ke KKH pada malam 13 November dan menunggu sekitar “tiga hingga empat jam” sebelum berjumpa dengan doktor.

Kedua-dua ibu bapa itu mendakwa bahawa Dr Peter Wong memberitahu mereka bahawa keadaan anak perempuan mereka tidak serius dan tidak memerlukan rawatan segera.

Cik Ang dan suaminya turut mendakwa bahawa doktor itu memberitahu kedua-duanya bahawa mereka sama ada menunggu “lagi dua hingga tiga jam” kerana keutamaan diberikan kepada kes-kes kecemasan atau mereka juga boleh “membatalkannya dan pergi ke tempat lain”.

Pada pagi keesokan hari, Cik Ang berkata dalam catatan Facebook bahawa keadaan anaknya menjadi semakin teruk dan dia dimasukkan ke hospital dengan menaiki ambulans.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik ke Facebook, KKH menyatakan semalam bahawa ia sedang menjalankan siasatan dan sedang berhubungan dengan kanak-kanak itu dan keluarganya.

“Kami sudahpun menyemak semula kes itu dan tiada kelemahan pada rawatan perubatan ataupun keselamatan pesakit,” menurut KKH.

“Keutamaan hospital adalah untuk menyediakan rawatan yang sesuai dan tepat pada masannya bagi para pesakit. Oleh itu, kes-kes kecemasan menjadi keutamaan. KKH komited untuk memperbaiki pengalaman pesakit tetapi ibu bapa dan penjaga mereka harus bertolak ansur dengan bertindak secara bertanggungjawab dan saling memahami supaya pegawai perubatan kami dapat menjalankan tugas mereka.”

KKH menyatakan bahawa kanak-kanak perempuan itu pada mulanya diperiksa di Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak di mana dia didapati demam tetapi dalam keadaan stabil.

Doktor yang merawat kanak-kanak itu, Dr Wong, yang disifatkan oleh KKH sebagai “seorang doktor yang berpengalaman dan dihormati,” sudahpun menjelaskan kepada keluarga tersebut bahawa keadaan anak perempuan mereka stabil dan bukan dalam keadaan yang membahayakan.

Menurut KKH lagi, ibu bapa itu meninggalkan Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak KKH sebelum pemeriksaan lanjut dapat dijalankan. Namun, 12 jam kemudian, kanak-kanak itu dimasukkan semula ke jabatan tersebut.

“Dia dinilai sebagai stabil (dan) dimasukkan ke wad umum dan diberikan rawatan yang sewajarnya. Dia dibenarkan pulang sehari kemudian dan sekarang ini berada di rumah,” tambah KKH. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan