Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada isu keselamatan makanan di ladang telur tempatan ekoran aduan: SFA

Tiada masalah keselamatan makanan, atau bukti keadaan kehidupan yang teruk bagi unggas, ditemui di ladang telur tempatan Chew's Agriculture, kata Penguasa Makanan Singapura (SFA) pada Khamis (28 Jan), menyusuli aduan terhadap pengeluar tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada isu keselamatan makanan di ladang telur tempatan ekoran aduan: SFA

(Gambar: Chew's Agriculture)

Diterbitkan : 28 Jan 2021 09:25PM Dikemas Kini : 28 Jan 2021 09:30PM

SINGAPURA: Tiada masalah keselamatan makanan, atau bukti keadaan kehidupan yang teruk bagi unggas, ditemui di ladang telur tempatan Chew's Agriculture, kata Penguasa Makanan Singapura (SFA) pada Khamis (28 Jan), menyusuli aduan terhadap pengeluar tersebut.

Aduan terhadap Chew's Agriculture dibuat oleh sebuah "badan perlindungan pengguna", Equitas Global, yang mendakwa ia mempunyai rakaman video menunjukkan "ayam-ayam ditempatkan dalam sangkar kecil, pekerja berpakaian seragam menggenggam burung di bahagian leher, dan sangkar diselaputi kotoran" di ladang itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, SFA menyatakan mereka mengeluarkan lesen dan memeriksa ladang-ladang telur ayam secara tetap.

"Sebagai sebahagian daripada pemantauan keselamatan makanan SFA, sampel air, makanan, calitan dari ladang unggas, dan juga telur diambil secara tetap untuk diperiksa.

"Sejauh ini belum ada masalah keselamatan makanan dikesan. SFA juga tidak mendapati sebarang bukti keadaan kehidupan teruk bagi unggas."

Namun disebabkan maklum balas yang diterima, SFA menambah pihaknya akan terus memeriksa ladang itu. Chew's Agriculture membekalkan Singapura dengan lebih 255.5 juta telur setahun.

Dengan aduan dan rakaman video itu, Equitas menyatakan pihaknya berharap untuk "menarik perhatian kepada potensi risiko keselamatan makanan dan masalah kesejahteraan haiwan di kemudahan itu".

Jurucakapnya Bonnie Tang menambah bahawa pertubuhan itu "komited untuk mengetengahkan tentang risiko pengeluaran telur ayam-ayam dalam sangkar untuk pengguna dan haiwan".

CHEW’S AGRICULTURE SANGKAL DAKWAAN

Chew's Agriculture menekankan bahawa video tersebut diambil di kemudahan mereka sebelum ini yang "dibina beberapa dekad yang lalu".

"Sejak itu kemudahan tersebut sudah menghentikan pengeluaran dan ditutup pada September 2020. Kami telah membina kemudahan moden yang canggih yang menghasilkan dan membekalkan semua telur kami sejak Oktober 2020," tambahnya.

Chew’s Agriculture juga menyatakan bahawa pihaknya telah menjadi anggota program pensijilan, yang menumpukan kepada layanan berperikemanusiaan terhadap haiwan ternakan, sejak 2019.

Namun demikian, pihaknya mengakui bahawa ada "aspek-aspek cara pengendalian haiwan ternakannya yang boleh diperbaiki" dan menambah pihaknya "terus membuat kemajuan dalam aspek-aspek ini".

DAIRY FARM GROUP 'KOMITED' TERHADAP ISU KEBAJIKAN HAIWAN

Chew's Agriculture membekalkan telur kepada Dairy Farm Group, yang mengendalikan rangkaian pasar raya Giant dan Cold Storage.

Dalam kenyataannya, Equitas Global juga meminta kumpulan tersebut untuk mengubah dasarnya mengenai jenis telur yang dijualnya.

"Sudah tiba waktunya Dairy Farm mencapai tahap setara peruncit antarabangsa dan menetapkan garis masa yang lebih awal untuk mengakhiri penjualan semua telur dari ayam-ayam dalam sangkar," kata Cik Tang dari Equitas.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap Dairy Farm berkata kumpulan itu komited untuk menangani masalah kebajikan haiwan meliputi seluruh perniagaannya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan