Images

'Tiada gangguan' pada rangkaian bekalan S'pura selepas M'sia perketat langkah COVID-19, tegas Chan Chun Sing

SINGAPURA: "Tiada gangguan" pada rantaian bekalan antara Singapura dan Malaysia selepas Malaysia pada minggu ini mengumumkan langkah-langkah lanjut untuk membendung penularan COVID-19 di negara itu, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Rabu (13 Jan).

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia naik empat angka setiap hari sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Negara itu melaporkan jumlah rekod 3,309 kes baru COVID-19 pada Selasa (12 Jan), menaikkan jumlah kes keseluruhan kepada lebih 140,000 kes.

Pada Isnin (11 Jan), Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin berkata bahawa langkah-langkah sekatan COVID-19 akan diperketatkan mulai Rabu (13 Jan), dengan lima negeri dan tiga wilayah persekutuan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami sedang berurusan dengan rakan-rakan sejawatan kami dari Malaysia mengenai langkah-langkah baru yang telah diambil untuk mencegah virus daripada terus menular," kata Encik Chan dalam satu catatan Facebook pada Rabu (13 Jan).

"Kami komited untuk bekerjasama rapat mengekalkan keutuhan dan kebergantungan rantaian bekalan dua hala kami.

"Sepanjang dua hari lalu, tiada gangguan berlaku terhadap rantaian bekalan kami dan barangan terus bergerak secara bebas antara kedua-dua negara," katanya.

Menurut Encik Chan, Singapura perlu bersiap sedia bagi menghadapi potensi berlaku gangguan terhadap bekalan dan rantaian bekalan sepanjang tempoh pandemik.

"Sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini khususnya, kami melihat betapa pantas kelompok baru muncul dan menular, menyebabkan pemerintah di seluruh dunia terpaksa melaksanakan langkah-langkah tegas bagi membendung penularan virus, kadangkala mengganggu rantaian bekalan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Singapura akan terus mengukuhkan "bekalan yang mencukupi" bagi barangan keperluan makanan,
sambil memperkukuhkan usaha kepelbagaian dan membuka rangkaian bekalan baru bersama dengan beberapa negara lain.

"Saya ingin memberi jaminan kepada warga Singapura bahawa rantaian bekalan kita sentiasa dipelbagaikan dan diperkukuhkan," kata Encik Chan.

"Kami yakin tetapi bukan terlalu yakin sehingga kita berpeluk tubuh saja. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura kerana bersikap tenang dan dapat menyesuaikan diri di tengah-tengah situasi yang kian berubah-ubah ini dan membolehkan kita untuk menangani sebarang gangguan yang berlaku dan kekal berdaya tahan." 

- CNA/HA/ha

Top