Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada bukti jangkitan COVID-19 menerusi ikan tercemar: MOH

Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa penularan COVID-19 berlaku menerusi ikan yang tercemar, kata pengarah perkhidmatan perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH) Kenneth Mak pada Selasa (20 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada bukti jangkitan COVID-19 menerusi ikan tercemar: MOH

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 20 Jul 2021 09:37PM Dikemas Kini : 20 Jul 2021 09:45PM

SINGAPURA: Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa penularan COVID-19 berlaku menerusi ikan yang tercemar, kata pengarah perkhidmatan perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH) Kenneth Mak pada Selasa (20 Jul).

"Kami yakin ikan yang kita makan dan nikmati tetap selamat untuk dimakan," kata Profesor Madya Mak semasa memberikan perincian mengenai peningkatan jumlah jangkitan yang dikaitkan dengan Pelabuhan Perikanan Jurong.

Terdapat 314 kes dikaitkan dengan kelompok yang semakin bertambah itu setakat tengah hari Selasa, dan pihak berkuasa menjangkakan lebih banyak kes akan dikesan di pelabuhan dan pasar-pasar basah.

Bercakap semasa sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19, Prof Madya Mak berkata ujian filogenetik yang dilakukan ke atas kumpulan pertama kes yang dikesan di Pelabuhan Perikanan Jurong mendapati bahawa varian Delta menjadi punca kes COVID-19 dalam kelompok itu.

"Varian keprihatinan yang dikenal pasti, memiliki ciri yang mirip dengan yang telah kita lihat dalam kes lain yang dikesan dalam kalangan kes import dari Indonesia," tambahnya.

"Jadi kami percaya bahawa jangkitan COVID-19 dalam kelompok ini mungkin diperkenalkan melalui jalan laut ke pelabuhan perikanan, mungkin dari kapal Indonesia atau kapal nelayan lain yang membawa ikan ke pelabuhan."

Namun, beliau menambah bagaimana jangkitan dari kapal nelayan itu merebak ke pengendali gerai di pelabuhan "tidak begitu jelas ".

Meskipun usaha telah dilakukan untuk menjadikan operasi di pelabuhan "bebas kontak", Prof Madya Mak berkata "amat mencabar" untuk menjaga langkah-langkah jarak selamat kerana persekitaran yang panas dan lembab serta kegiatan seperti mengangkat tong ikan dan air batu yang berat di pelabuhan itu.

Beberapa kegiatan tanpa menggunakan pelitup dan interaksi rapat antara orang di sana juga mungkin berlaku.

"Jangkitan menerusi objek pada permukaan yang tercemar dan di gerai tetap merupakan kemungkinan kuat bagi penularan," tambahnya.

"PELBAGAI PUNCA JANGKITAN"

Ujian filogenetik juga menunjukkan bahawa kelompok yang terhubung kait dengan pelabuhan dan beberapa pasar basah "mungkin bukan disebabkan oleh satu titik pengenalan jangkitan", kata Prof Madya Mak.

"Memang, pendedahan mungkin terjadi dalam satu jangka waktu tertentu dengan banyak titik permulaan jangkitan," katanya, menjelaskan bahawa ini adalah kerana maklumat genetik bagi varian yang dikenal pasti setakat ini "tidak serupa pada kes yang berbeza".

Beliau menambah agak mustahil bagi pihak berkuasa untuk mengenal pasti jangkitan tertentu dan menyatakan kes tersebut yang menyebabkan jangkitan dari bot ke pelabuhan, dan dari pelabuhan ke pasar basah merata Singapura.

"Menerusi pengesanan kontak yang kami jalankan berserta siasatan epidemiologi setakat ini, kami mengenal pasti kemungkinan kegiatan yang dikongsi antara kelompok-kelompok berbeza."

Sebagai contoh, sekurang-kurangnya satu kes COVID-19 yang bekerja di Pelabuhan Perikanan Jurong mengunjungi kelab KTV semasa tempoh berjangkit.

“Bagaimanapun adalah mustahil bagi kami untuk sahkan sama ada individu itu menyebarkan jangkitan kerana ujian diagnostik PCR ke atas individu mengesan virus COVID-19, namun pada kiraan yang rendah," kata Prof Madya Mak, sambil menambah bahawa "beban virus yang sangat rendah" bererti tidak ada cukup virus untuk menjalankan ujian filogenetik.

"Dari sudut pandangan kesihatan awam, kurang penting untuk mengesahkan hubungan tersebut antara Pelabuhan Perikanan dengan pusat KTV," tambahnya.

"Tidak kira bagaimana jangkitan terjadi, hakikatnya kini wujud kes dan jumlah kes dalam kelompok yang bertambah. Jumlah kes yang kami kesan dari ujian di pasar-pasar basah terus bertambah, dan ini terus membimbangkan."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan