Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada agihan pelitup Yayasan Temasek pada 4 Ogos; gambar tular dari percubaan rintis

Tiada pengagihan pelitup dijalankan pada Rabu (4 Ogos), menurut Yayasan Temasek selepas gambar sehelai kain rentang tentang pengagihan pelitup tersebar online.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada agihan pelitup Yayasan Temasek pada 4 Ogos; gambar tular dari percubaan rintis

Gambar fail: REUTERS

Diterbitkan : 04 Aug 2021 04:42PM Dikemas Kini : 04 Aug 2021 04:46PM

SINGAPURA: Tiada pengagihan pelitup dijalankan pada Rabu (4 Ogos), menurut Yayasan Temasek selepas gambar sehelai kain rentang tentang pengagihan pelitup tersebar online.

Kain rentang itu, yang memaparkan logo Yayasan Temasek dan inisiatif Sentiasa Bersedia, menyatakan orang ramai boleh mendapatkan 50 pelitup perubatan dan 25 pelitup N95 secara percuma pada 4 Ogos dengan setiap bil Singapore Power.

Ia juga menyatakan bahawa pelitup-pelitup itu boleh didapatkan di pusat beli-belah Capitaland dan cawangan pasar raya terpilih.

"Kami sedia maklum bahawa sesetengah daripada anda menerima gambar tentang pengagihan pelitup yang berlangsung hari ini," menurut yayasan itu dalam satu catatan Facebook pada petang Rabu sambil menggunakan tanda pagar #fakenews.

"Tiada pengagihan hari ini tetapi kami sedang menjalankan percubaan operasi bagi pengagihan pelitup perubatan dan N95. Ia akan dijalankan mulai hujung Ogos atau awal September."

"SEPARUH BENAR, SEPARUH TIDAK"

Ketua Eksekutif Temasek Holdings Ho Ching juga memberi respons kepada isu tersebut di Facebook dengan mengatakan bahawa ia "separuh benar, separuh tidak".

Yayasan itu sedang bekerjasama dengan pusat beli-belah Capitaland dan pasar raya yang mengambil bahagian untuk menjalankan percubaan bagi mendapatkan pelitup menggunakan bil api air rumah, menurut beliau. Gambar tersebut adalah daripada percubaan yang dirintiskan di salah sebuah pusat beli-belah, tambah beliau.

"Tidak benar pengagihan bagi orang awam bermula pada 4 Ogos. Apa yang sedang berlaku dari 4 Ogos dan selanjutnya adalah percubaan perintis dari peringkat awal hingga akhir yang tidak dibuka kepada orang awam," terang beliau dalam catatannya pada petang Rabu.

"Ideanya adalah untuk menyepadukan pengimbasan bil api air rumah SP bersama beberapa sistem bahagian belakang dengan pelbagai pusat beli-belah dan pasar raya yang mengambil bahagian."

Pengagihan itu sepatutnya dijadual bermula minggu depan selepas Hari Kebangsaan tetapi sudah dijadualkan semula ke hujung Ogos bagi memberi pertubuhan-pertubuhan yang mengambil bahagian lebih banyak masa untuk selesai menguji sistem-sistem mereka, kata Cik Ho.

"Oleh itu, meskipun pasukan tersebut berusaha memulakan pengagihan umum pada hujung Ogos, ia mungkin ditangguhkan ke September jika terdapat sebarang isu-isu bahagian belakang yang memerlukan lebih banyak masa untuk dihuraikan."

Beliau berkata pada Julai lalu bahawa yayasan tersebut akan mengagihkan pelitup pakai buang gred perubatan dan pelitup N95 selepas Hari Kebangsaan (9 Ogos).

Satu lagi pengagihan akan dijalankan pada September atau Oktober bagi cecair kumur mulut iodin povidon yang boleh digunakan sebagai penyembur mulut, katanya ketika itu.

PELITUP PEMBEDAHAN

Dalam catatannya pada Rabu, Cik Ho berkata yayasan itu akan menawarkan pelitup pembedahan gred perubatan secara percuma kerana varian Delta seganda lebih mudah berjangkit berbanding varian-varian COVID-19 sebelum ini.

"Dengan setiap pesakit COVID-19 boleh menjangkiti 5 atau 6 individu lain, kami memerlukan 80 peratus penduduk untuk memakai pelitup yang 80 peratus berkesan atau lebih baik lagi untuk mengurangkan bilangan jangkitan," tulis beliau.

"Terdapat banyak jenis pelitup di pasaran dengan mutu berbeza. Pelitup dua lapis yang boleh digunakan semula serta banyak pelitup berlisu pakai buang boleh memberi perlindungan sekitar 80 peratus.

"Dengan pelitup pembedahan gred perubatan dan pelitup N95 dengan keberkesanan melebihi 95 peratus, kami mempunyai pilihan tambahan bagi perlindungan yang lebih baik."

Pelitup itu boleh digunakan menjangkaui tarikh luputnya jika disimpan di dalam persekitaran yang kering dan kalis udara jauh daripada sinaran matahari, kata Cik Ho.

Bagi pelitup yang disimpan di dalam kotaknya di bilik air, kelembapan persekitaran akan memendekkan lagi jangka hayat untuk penggunaan pelitup itu, tambahnya.

"Secara amnya, kami boleh menjangkakan penurunan sekitar dua hingga tiga peratus pada keberkesanan pelitup setiap tahun bagi pelitup pembedahan atau pelitup N95. Oleh itu selepas setahun, pelitup yang 98% berkesan akan menjadi 95% berkesan," jelas Cik Ho.

"Pelitup 95% berkesan akan mengambil masa empat hingga lima tahun untuk merosot ke tahap keberkesanan 80 peratus, justeru lebih baik berbanding pelitup biasa di pasaran."

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan