Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Thum Ping Tjin "mesti jangka disoal" bila suarakan pandangan kepada Jawatankuasa Pilihan

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan bagi Kepalsuan Online Disengajakan, Charles Chong, hari ini (17 Apr) memberi respons kepada surat terbuka yang dikirimkan kepadanya sebagai menyokong ahli sejarah Thum Ping Tjin.

Anggaran Waktu Membaca:
Thum Ping Tjin "mesti jangka disoal" bila suarakan pandangan kepada Jawatankuasa Pilihan

Encik Charles Chong (kiri), ahli sejarah Dr Thum Ping Tjin (kanan).

Diterbitkan : 18 Apr 2018 12:32AM Dikemas Kini : 18 Apr 2018 12:36AM

SINGAPURA: Pengerusi Jawatankuasa Pilihan bagi Kepalsuan Online Disengajakan, Charles Chong, hari ini (17 Apr) memberi respons kepada surat terbuka yang dikirimkan kepadanya sebagai menyokong ahli sejarah Thum Ping Tjin.

Surat terbuka itu, yang ditandatangani sekitar 230 ahli akademi dari merata dunia dan dikirimkan kepada Encik Chong, menyuarakan rasa tidak setuju terhadap "layanan tidak wajar" terhadap Dr Thum dan cara beliau disoal hampir enam jam lamanya oleh Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam semasa salah satu sesi Jawatankuasa Pilihan.

"Kerjaya akademik dan kewibawaan peribadinya "dibicarakan secara umum", tanpa sebarang amaran, sebagai percubaan menakut-nakutkan dan mencemarkan nama baik rakan akademik kami," menurut surat tersebut.

Memberikan respons beliau hari ini, Encik Chong menulis: "Dalam perwakilan bertulisnya Dr Thum mendakwa Pemerintah Singapura adalah sumber utama berita palsu di Singapura. Beliau secara khusus merujuk kepada Operasi Coldstore dan membuat dakwaan serius terhadap Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, menyifatkannya sebagai pembohong.

"Dr Thum berhak menyuarakan pandangannya. Namun apabila beliau menyuarakannya di hadapan Jawatankuasa Pilihan, beliau harus menjangkakan dirinya akan disoal tentang perkara-perkara yang dibangkitkan. Ternyata Dr Thum menyatakan beliau bersedia hadir di hadapan kami. Oleh itu, agak mengejutkan apabila surat terbuka ini menyatakan Dr Thum disoal 'tanpa sebarang amaran'."

Surat terbuka itu juga menyatakan layanan Jawatankuasa Pilihan terhadap Dr Thum meninggalkan "kesan lebih besar ke atas kebebasan bersuara dan kebebasan akademik di Singapura" - kebimbangan yang menurut respons Encik Chong, "tidak kena pada tempatnya"

Beliau menyatakan lebih 20 ahli akademik tempatan dan juga asing mengemukakan bukti lisan, sebahagian yang lain disoal "panjang lebar" manakala sebahagian lagi tidak bersetuju dengan Jawatankuasa Pilihan.

"Semuanya jujur dengan pandangan mereka dan saya akan terkejut jika mereka berasa seolah-olah ditakut-takutkan oleh proses yang ada," kata Encik Chong.

"Yang pasti, anggota jawatankuasa ini tidak selalunya bersetuju dengan ahli akademik yang memberikan bukti kepada kami. Namun kami semua meraih manfaat daripada pelajaran yang mereka bawa."

Beliau menambah: "Para penggubal undang-undang di merata dunia sering mengadakan sesi bertukar-tukar pandangan dengan penuh bertenaga dengan para saksi, termasuk ahli akademik. Encik Mark Zuckerberg, CEO Facebook, baru sahaja selesai disoal selama dua hari oleh jawatankuasa kongres Amerika Syarikat. Saya tidak faham mengapa ahli akademik sejarah perlu diberi imuniti khas."

DR THUM GUNAKAN JAWATANKUASA BERI PANDANGAN POLITIK

Encik Chong juga berkata Dr Thum sendiri memilih untuk menggunakan Jawatankuasa Pilihan bagi Kepalsuan Online Disengajakan untuk memberi pandangan politik tentang Operasi Coldstore - iaitu operasi keselamatan yang berlaku 55 tahun lalu sebelum wujudnya internet.

"Dengan melakukan demikian, beliau tidak boleh mengatakan dakwaannya tidak boleh disoal atau dirinya tidak boleh dihakimi berdasarkan jawapan yang diberikan," tulis Encik Chong.

Merujuk kepada perwakilan bertulis Dr Thum kepada jawatankuasa itu, Encik Chong berkata ia bukan tesis akademik sebaliknya "pandangan politik".

"Tiada apa yang salah untuk memberikan pandangan politik, namun agak aneh untuk melakukannya - seperti yang dilakukan oleh Dr Thum - dan kemudian bersembunyi di sebalik nama akademik apabila disoal," tegas Encik Chong.

Beliau juga menggesa para penulis surat terbuka itu, yang tidak mendedahkan nama mereka, supaya "lebih meneliti" jawapan sebenar yang diberikan Dr Thum, sambil menambah ahli sejarah berkenaan melakukan banyak ubah suai. Beliau bersetuju penulisannya sebahagiannya mengelirukan, beliau juga tidak membaca penulisan beberapa mantan pemimpin Parti Komunis Malaysia dan tidak mengendahkan pandangan pemimpin Komunis Malaya Chin Peng.

"Pengubahsuaian itu menjejas tesis beliau bahawa Operasi Coldstore dilancarkan semata-mata untuk manfaat politik," kata Encik Chong.

"Seperti yang dinyatakan surat itu, tiada dalam kalangan anggota jawatankuasa ini merupakan ahli sejarah terlatih. Kami hanya membaca perwakilan bertulis Dr Thum apabila ia diserahkan pada bulan Februari. Kami meminta supaya beliau mempertahankan dakwaannya itu," tambah beliau.

"Jika Dr Thum tidak dapat mempertahankan dakwaannya apabila ia dipersoalkan, pastinya ia mencerminkan mutu penulisan dan kajian beliau, bukan prosesnya?" 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan