Images

Terry Xu diarah bayar ganti rugi hampir S$88,000 kepada PM Lee dalam saman fitnah ke atas TOC

SINGAPURA: Seorang hakim Mahkamah Tinggi mengarahkan Terry Xu, editor laman The Online Citizen (TOC) yang kini sudah tidak berfungsi, supaya membayar S$87,832.93 kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong bagi kos dan pembayaran dalam tuntutan kes saman fitnah.

Encik Lee telah menyaman Encik Xu berhubung satu rencana oleh penulis TOC Rubaashini Shunmuganathan mengenai pertikaian Encik Lee dengan adik beradiknya berhubung rumah keluarga mereka di 38 Oxley Road.

Mahkamah Tinggi memberi bayaran ganti rugi S$210,000 kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong keseluruhannya. Daripada jumlah itu, Encik Xu dan Cik Rubaashini bersama-sama menanggung tanggungjawab membayar ganti rugi sebanyak S$160,000 kerana mahkamah berkata Encik Lee tidak harus diberi pampasan dua kali kerana saman fitnah itu berhubung rencana yang sama.

Mahkamah mengarahkan Encik Xu membayar jumlah tambahan S$50,000 sebagai ganti rugi memburukkan lagi keadaan.

Encik Xu mengumpul lebih S$210,000 menerusi pendanaan orang awam. Cik Rubaashini tidak hadir di mahkamah bagi perbicaraan.

Perbicaraan mengenai kos diadakan di mahkamah pada petang tadi. Peguam Encik Xu, Lim Tean, menulis dalam satu catatan Facebook selepas perbicaraan itu bahawa anak guamnya sudah membayar S$87,832.93 kepada Encik Lee.

Menjawab pertanyaan media, setiausaha akhbar Perdana Menteri mengulangi bahawa Encik Lee akan mendermakan bayaran ganti rugi itu kepada badan-badan amal.

- CNA/HA/ha

Top