Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terminal 1 & 3 Lapangan Terbang Changi dibuka semula kepada orang ramai pada 1 Sep

Langkah-langkah keselamatan dipertingkat akan dilaksanakan termasuk sistem pengudaraan lebih baik dan penggunaan dewan ketibaan yang dihadkan apabila Terminal 1 & 3 Lapangan Terbang Changi dibuka semula kepada orang ramai pada 1 Sep.

Anggaran Waktu Membaca:
Terminal 1 & 3 Lapangan Terbang Changi dibuka semula kepada orang ramai pada 1 Sep

Gambar fail Terminal 3 Lapangan Terbang Changi (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 27 Aug 2021 07:21PM Dikemas Kini : 27 Aug 2021 07:26PM

SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi akan membuka semula Terminal 1 dan Terminal 3 kepada orang ramai pada 1 September.

Demikian diumumkan pihak berkuasa hari ini (27 Ogos).

Pembukaan semula itu akan dilakukan dengan langkah tambahan perlindungan COVID-19 "untuk melindungi pelancong, pekerja lapangan terbang dan orang awam yang mengunjungi lapangan terbang", menurut Changi Airport Group (CAG) dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam satu kenyataan media bersama.

"Ini termasuk menghadkan penggunaan dewan ketibaan kepada penumpang yang tiba dan khidmat penyambut profesional untuk mengurangkan interaksi antara penumpang yang tiba dengan penduduk tempatan.

"Ruang makan khas juga sudah disediakan di Terminal 3 Besmen 2 bersebelahan pusat makanan Kopitiam hanya untuk kakitangan lapangan terbang, untuk mengurangkan interaksi antara mereka dengan orang ramai. Sistem penghawa dingin dan pengudaraan mekanikal di terminal juga sudah dipertingkat," menurut CAG dan CAAS.

Wakil-wakil hotel, khidmat pengangkutan dan ejen syarikat diminta untuk menunjukkan jadual penerbangan penumpang untuk masuk ke kawasan pertemuan apabila penerbangan mendarat. Hanya seorang wakil yang dibenarkan untuk menjemput setiap kumpulan penumpang yang tiba, menurut kenyataan media itu.

Penumpang lain dari negara-negara berisiko rendah boleh mengatur pengangkutan mereka sendiri atau dijemput oleh ahli keluarga dan rakan-rakan di tempat mengambil penumpang di terminal ketibaan. Khidmat teksi juga akan disediakan untuk penumpang.

Di dewan ketibaan Terminal 3, sebahagian kawasan ditukar menjadi tempat rehat kakitangan. Kedai makanan dan minuman serta runcit yang terletak di balai ketibaan Terminal 3 akan ditutup buat sementara waktu kepada orang ramai menerusi pengasingan zon ini.

Sistem penghawa dingin dan pengudaraan mekanikal terminal juga dipertingkatkan disebabkan ancaman daripada varian COVID-19 yang lebih mudah berjangkit, tambah CAG dan CAAS.

"Peningkatan mutu udara ini termasuk penggunaan penapis MERV-14 gred hospital dan pemasangan alat pembersih UV-C dalam sistem penghawa dingin, serta pembersih udara mudah alih dengan penapis HEPA di ruang makan utama di pusat makanan Kopitiam."

Langkah-langkah keselamatan itu bertujuan untuk "menenangkan hati (pengunjung) untuk bebas mengunjungi dewan keberangkatan dan Terminal 3 Besmen 2 untuk membeli-belah dan menjamu selera", menurut CAAS dan CAG.

"Sedang Changi mengalu-alukan ketibaan orang ramai kembali ke terminal, lebih 80 peratus cawangan runcit dan F&B di Terminal 1 dan Terminal 3 akan menyambung operasi," tambah kedua-dua pihak.

Ketua Pengarah CAAS Han Kok Juan berkata pihak berkuasa "akan terus secara aktif menyemak protokol keselamatan di lapangan terbang berdasarkan penilaian risiko dan situasi COVID-19".

Ketua Pegawai Eksekutif CAG, Lee Seow Hiang, berkata: "Memastikan kesihatan dan keselamatan penumpang, pengunjung dan kakitangan lapangan terbang tetap menjadi keutamaan bagi CAG."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan