Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terlupa atau kurang pasti plot mana? App 'Pusara Checklist' bantu anda cari pusara

Kadangkala sukar untuk mencari pusara kaum keluarga kita kerana landskap tanah perkuburan sering berubah dek banyaknya pengebumian yang mengisinya tahun demi tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kadangkala sukar untuk mencari pusara kaum keluarga kita kerana landskap tanah perkuburan sering berubah dek banyaknya pengebumian yang mengisinya tahun demi tahun.

Kadangkala juga, memang kita berniat menziarahi pusara saudara mara tetapi terlupa atau kurang pasti akan kedudukannya.

Sebuah aplikasi ciptaan tempatan bernama 'Pusara Checklist', diharap dapat menghuraikan masalah sedemikian.

Baru sahaja dibangunkan dan dilancarkan bulan lalu, app ini masih di peringkat permulaan dan mempunyai maklumat sekitar 600 pusara. Ia memerlukan pengguna untuk menyumbang sendiri maklumat pusara.

BAGAIMANA 'PUSARA CHECKLIST' BERFUNGSI?

Bagaimana memastikan kubur sanak saudara anda ada dalam app tersebut? Anda hanya perlu mengambil gambar pusara dan mengisi borang online di app tersebut.

Setiap maklumat yang dimuat naik akan disemak terlebih dahulu sebelum ia muncul di dalam app itu.

Untuk mencari pusara pula, anda hanya perlu menaip butir-butir seperti nama ataupun nombor plot pusara, app ini akan membalas secara serta-merta maklumat penuh seperti gambar, nama, tarikh mati, alamat pusara, negara dan si pemuat naik.

"Jadi kalau kita cari nama ayah, nama anak nanti keluar juga. Kalau kita lupa kedua-duanya, tapi plot nombor kita ingat, ia akan keluar juga.

"Kita nak memudahkan kepada orang mencari alamat kubur," kata pencipta app itu, Encik Nur Ramadhan Jumali, kepada BERITAmediacorp. Pemuda berusia 23 tahun itu sebelum ini pernah mencipta aplikasi 'Solat Checklist'.

"JANGAN BERI ALASAN JAUH, TAK TAHU DIMANA"

Idea mencipta app itu muncul setelah pakcik beliau, Encik Sharip Kasmani, mengalami masalah mencari kubur apabila berada di Pusara Abadi.

Mendapat ilham daripada 'masalah' inilah, 'Pusara Checklist' diwujudkan oleh anak saudaranya itu.

Menurut Encik Sharip yang menjadi pengasas bersama app tersebut, ia juga mempunyai buku log penziarah yang boleh merakam informasi sesiapa yang datang.

"Saya berdoa semoga dengan adanya app ini, lebih ramai orang lagi menziarah kubur. Janganlah beri alasan jauh, tak tahu di mana.

"Jadi, di dalam app ini juga ada nota yang menyata waktu lawatan atau detik lawatan - berapa kali kita lawat, ada tertera," kata Encik Sharip, yang berharap app ini dapat membawa nilai-nilai positif pada masyarakat.

BERITAmediacorp juga bertanyakan pandangan beberapa anggota masyarakat mengenai app tersebut.

Pelawat pusara bernama Encik Ahmad misalnya berkata: "Saya juga diberitahu ia boleh berfungsi dengan tidak menggunakan data... sesuatu yang baik terutama di kawasan seperti ini yang terkadang data pun hilang kan."

Untuk memperluaskan lagi kegunaan app, Encik Nur Ramadhan dan Encik Sharip berharap dapat mengembangkan app ini ke negara luar seperti Malaysia dan Brunei. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan