Images
  • male nurse
    Encik Clement Ng, seorang jururawat di Hospital St Luke's. (Gambar: Hospital St Luke's)

"Terima kasih atas khidmat tanpa lelah anda, Selamat Hari Jururawat!": PM Lee

SINGAPURA: Peranan jururawat menjadi lebih penting lagi sedang Singapura berdepan dengan krisis COVID-19.

Sepanjang tempoh enam bulan yang amat mencabar ini, Singapura berada dalam keadaan yang baik disebabkan usaha para jururawat di sini.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong melahirkan penghargaan beliau kepada sekitar 42,000 jururawat di Singapura atas khidmat mereka sempena sambutan Hari Jururawat hari ini (1 Ogos).

Dalam catatannya di laman Facebook, PM Lee berkata: "Hari ini ialah Hari Jururawat Singapura. Ia adalah hari untuk menghormati jururawat kita yang telah mendedikasikan kehidupan mereka untuk menjaga yang sakit dan memerlukan jagaan.

"Ia adalah pekerjaan memenatkan dan tidak menerima penghargaan- seringkali, mereka mengorbankan masa bersama keluarga mereka bagi memastikan kita dapat meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga kita sendiri."

PM Lee juga menarik perhatian kepada pengorbanan Encik Clement Ng, seorang bekas jurutera dalam industri minyak dan gas, yang menceburi bidang kejururawatan pada usia 59 tahun.

Encik Ng kini berkhidmat dan menjaga pesakit di hospital masyarakat, Hospital St. Luke's.

Bidang kejururawatan di Singapura kini berada dalam tahun ke-135 dan PM Lee berkata sepanjang tempoh itu peranan jururawat diperluaskan, dengan jururawat penjagaan masyarakat seperti Encik Ng kini semakin banyak dilihat.

"Saya, dan seluruh Singapura, mengucapkan terima kasih atas khidmat tanpa lelah anda. Selamat Hari Jururawat!" kata PM Lee.

- BERITAmediacorp/im

Top