Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terai Melayu SG anjur triathlon amal untuk dua badan kebajikan kanak-kanak

Sebagai menyuntik semangat kepada semua peserta, mereka yang mencatatkan masa keseluruhan terbaik dinobat Juara Terai Cupper.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kehadiran COVID-19 mempengaruhi corak penganjuran sukan, yang tidak terkecuali perlu disesuaikan dengan norma baru yang terus berubah.

Bagi Terai Melayu SG, kumpulan penggiat sukan triathlon itu menyuntik ciri beramal jariah dalam kegiatan sukannya yang berlangsung dari 21 hingga 27 Disember 2020.

Acara itu berjaya mengumpul S$4,600 yang disalurkan ke Dana Siap ke Sekolah AMP dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura (SCS).

Ditubuhkan pada 2008 oleh empat sekawan, Terai Melayu SG mengumpulkan peminat sukan triathlon untuk berlatih dan beriadah bersama-sama.

Dengan hampir 600 anggota berbilang kaum sekarang ini,kumpulan tersebut giat menyertai pertandingan dalam dan luar negara seperti di Malaysia, Filipina, Taiwan, Thailand, Australia, Afrika Selatan, Dubai dan Eropah.

(Gambar: Terai Melayu SG)

(Gambar-gambar: Terai Melayu SG)

Untuk melepaskan rindu kepada kegiatan sukan kegemaran mereka itu dan sekaligus melakukan amal jariah, Terai Melayu SG menganjurkan acara dipanggil Terai Cup yang dimulakan September lalu. 

"Sebelum COVID-19, kami dapat berlatih secara kumpulan. Jadi latihan-latihan kami lebih bagi tujuan berseronok.
"Alhamdulillah kami dapat mengumpul jumlah S$4,600 yang dibahagikan kepada dua kebajikan," kata salah seorang pencetus idea Terai Cup, Encik Mohamed Masri Khairuman.

FORMAT TRIATHLON DIUBAH BAGI MEMATUHI LANGKAH KESELAMATAN

40 peserta lelaki dan wanita mengambil bahagian dalam triathlon yang berlangsung sepanjang minggu lalu.

Mereka perlu melakukan ketiga-ketiga komponen triathlon - renang, basikal dan acara larian. Kalau biasanya semua komponen harus dilakukan satu-persatu, kali ini, aktiviti renang diasingkan dan peserta perlu melakukannya di kolam-kolam renang secara individu. Hanya aktiviti berbasikal dan larian sahaja yang boleh dilakukan bersama dengan langkah-langkah jarak selamat. Ia diadakan di kawasan pantai Changi.

Peserta juga boleh memilih dari dua kategori triathlon - Jarak Olimpik atau 'Olympic Distance' (OD) dan '70.3'. Yang membezakan aktiviti ini adalah jarak yang perlu dilakukan.

Bagi acara OD, peserta perlu berenang sejauh 1.5 kilometer, berbasikal sejauh 40 kilometer dan berlari sejauh 10 kilometer. Manakala bagi 70.3 pula, peserta perlu berenang sejauh 1.9 kilometer, berbasikal sejauh 90 kilometer dan berlari sejauh 21.1 kilometer.

Setiap peserta juga perlu mencatatkan masa masing-masing menggunakan aplikasi telefon bijak.

TRIATHLON BAIK UNTUK KESIHATAN DAN HUBUNGAN SUAMI ISTERI

Bagi pengasas Terai Melayu SG, Encik Aznan Ghazali, beliau bersyukur dapat menjayakan acara kali ini bersama isterinya.

"Inilah satu aktiviti yang sangat baik untuk suami isteri kerana waktu berlatih itu lama. Dan kalau kami berlatih bersama-sama, itu bermakna kita selalu bersama," jelas Encik Aznan.

Pada usia 52 tahun, beliau juga antara peserta 'senior' yang masih aktif bersukan triathlon. Manakan tidak, selain dapat menjaga badan, tahap kesihatannya juga semakin baik.

"Bagi peringkat umur saya berbanding dengan rakan-rakan saya, saya ini lebih sihat, lebih cergas. Semenjak saya menceburi sukan ini, tahap kolesterol saya yang pada masa itu di atas tahap yang tidak sihat, sekarang sudah berada pada tahap yang sihat. Dan bagi darah tinggi saya pun boleh dikawal," tambah bapa dua orang anak itu.

Terdorong melihat suaminya yang semakin aktif bersukan, Cik Khalijah Masud terpanggil untuk turut menyertai triathlon.

"Saya bekerja dan saya juga ibu kepada dua orang anak. Jadi bagi saya acara ini disiplin baik untuk diri saya, bila saya nak berenang, berbasikal, dan berlari. Pada saya, sukan ini sesuai untuk semua orang kerana ia mencabar tahap fizikal dan mental saya," kata Cik Khalijah yang juga menjuarai kategori OD untuk kumpulan wanita.

Sungguhpun triathlon kali ini diadakan secara sukarela dan alasan untuk dapat kembali bersukan, faktor keselamatan tetap diutamakan.

Selain mematuhi pengurusan selamat COVID-19, sebuah perhentian keselamatan atau 'safety point' turut didirikan. Ia lengkap dengan anggota perubatan untuk memberi rawatan jika perlu dan air minuman bagi peserta untuk lepaskan dahaga.

Sebagai menyuntik semangat kepada semua peserta, mereka yang mencatatkan masa keseluruhan terbaik dinobat Juara Terai Cup. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan