Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tentera Singapura cuba rangka luar titanium kurangkan beban berat askar

Angkatan Tentera Singapura sedang mencuba rangka luar (eksoskeleton) buatan titanium yang direka untuk mengurangkan tekanan tentera yang memikul beban berat.

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Singapura cuba rangka luar titanium kurangkan beban berat askar

Seorang askar Angkatan Tentera Singapura memakai rangka luar UPRISE (Gambar: Facebook/Singapore Army)

Diterbitkan : 24 Jul 2020 10:39PM Dikemas Kini : 24 Jul 2020 10:49PM

SINGAPURA: Angkatan Tentera Singapura sedang mencuba rangka luar (eksoskeleton) buatan titanium yang direka untuk mengurangkan tekanan tentera yang memikul beban berat.

Satu bahagian daripada video Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dikeluarkan pada 1 Jul, dengan tajuk "Percubaan Eksoskeleton", menunjukkan seorang askar memakai rangka luar berwarna hijau di luar pakaian seragam tenteranya.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengesahkan bahawa pihak tentera sedang mengkaji penggunaan rangka luar itu untuk meningkatkan kelakonan askar.

Berdasarkan video Hari SAF, penampilan dan logo rangka luar itu menunjukkan bahawa ia adalah sistem Ultralight Passive Ruggedized Integrated Soldier Exoskeleton (UPRISE) keluaran syarikat sains dan teknologi Kanada, Mawashi.

UPRISE membolehkan pemindahan beban berat 50 hingga 80 peratus ke tanah dan pergerakan "tahap tinggi" untuk pengguna, menurut laman web Mawashi.

Perincian maklumat UPRISE menyatakan sistem itu meningkatkan keberkesanan pertempuran dan mengurangkan keletihan serta kecederaan otot dan tulang. Kos sistem tersebut tidak dinyatakan.

Seorang penganalisis pertahanan memberitahu Mediacorp bahawa walaupun rangka luar biasa digunakan dalam industri awam yang mengangkut berat seperti binaan serta bagi tujuan mencari dan menyelamat, penggunaan dalam tentera agak baru.

Encik Chen Chuanren, wakil Singapura di Shephard Media - yang menyediakan maklumat perniagaan untuk industri pertahanan - berkata tentera Amerika Syarikat, Perancis dan Australia telah menunjukkan minat terhadap pemakaian rangka luar, namun beliau menarik perhatian bahawa cabaran pelaksanaannya termasuk harga dan pergerakan.

Encik Chen menjangkakan UPRISE akan digunakan dalam Angkatan Tentera Singapura bukan sebagai barangan standard untuk semua askar, tetapi bagi unit khas yang melakukan kerja mengangkat berat untuk perjalanan jauh, seperti infantri anti kereta kebal dan askar pasukan khas.

Mediacorp telah menghubungi Mawashi untuk mendapatkan komen.

Encik Chen berkata UPRISE sesuai untuk Angkatan Tentera Singapura kerana pasukan yang beroperasi di kawasan tropika cenderung mempunyai daya ketahanan yang lebih rendah kerana cuaca yang lembab.

"Mereka lebih berkemungkinan penat, maka saya rasa sangat berguna untuk mereka memiliki sistem seperti ini," katanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan