Tentera elit khas SAF jalankan latihan antipengganasan di bangunan F1 Pit
Di tengah-tengah kesepian suasana di luar bangunan F1 Pit selepas pukul 9.00 malam pada Isnin (2 Ogos), satu 'misi penculikan' sebenarnya sedang dijalankan.
SINGAPURA: Di tengah-tengah kesepian suasana di luar bangunan F1 Pit selepas pukul 9.00 malam pada Isnin (2 Ogos), satu 'misi penculikan' sebenarnya sedang dijalankan.
Bagaimanapun, tiada bunyi siren polis, kehadiran ambulans atau pun hadangan di sekitar kawasan itu. Malah, ia kelihatan seperti malam yang biasa sahaja sehingga dua buah helikopter lalu.
Di tengah-tengah kegelapan malam itu, sukar untuk melihat ketibaan dua helikopter Super Puma daripada Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF).
Lampu pada kedua-dua helikopter tersebut dimatikan dan bunyi bilah pemutar pada bahagian atas helikopter diperlahankan supaya ketibaannya tidak dikesan.
Salah sebuah helikopter itu berlegar-legar dekat dengan bangunan tersebut yang tingginya kira-kira tiga tingkat sebelum menurunkan tali tebal ke bahagian dek. Helikopter yang kedua pula menunggu kawasan perairan tanpa menghadap lokasi misi dijalankan.
Daripada sudut pandangan wartawan yang berada di atas jambatan Benjamin Sheares, sukar untuk melihat dengan jelas bayang-bayang kedua helikopter yang baru tiba.
Dalam satu kenyataan pada Isnin (2 Ogos), Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan bahawa ini merupakan sebahagian daripada latihan menentang pengganasan yang melibatkan simulasi senario penculikan.
Operasi itu dipengerusikan oleh Pasukan Bertindak Operas Khas (SOTF) Angkatan Bersenjata Singapura dengan para pegawai daripada Kumpulan Pertahanan Bahan Kimia, Biologi, Radiologi dan Bahan Letupan serta Pasukan Respons Perubatan.
SOTF terdiri daripada anggota tentera elit daripada Unit Komando Tentera dan Penyelam Tentera Laut. Mereka boleh menggunakan aset daripada seluruh SAF bagi misi-misi rumit termasuk berdepan dengan para pengganas dan menyelamatkan tebusan.
MINDEF menyatakan latihan itu direka untuk memperkukuh respons SAF kepada ancaman pengganasan dan kejadian berkaitan.
Latihan antipengganasan dalam sekitaran bandar membolehkan SAF untuk menjalani latihan secara berkesan dan secara realistik bagi memperkukuh keupayaannya dalam operasi keselamatan tanah air, jelas MINDEF.
"Sekitaran latihan yang realistik menguji kesediaan operasi SAF dan latihan itu dijalankan dengan ketepatan tinggi," ia menyatakan.
"SAF terus melatih dan menjalankan operasi latihan secara kerap bagi memastikan ia sentiasa bersedia dari segi operasi untuk melindungi kedaulatan dan keselamatan Singapura.
"SAF bersedia mengatasi pelbagai ancaman untuk mempertahankan Singapura dan cara kehidupan kita, meskipun di tengah-tengah situasi COVID-19."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.