Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tenaga kerja ditambah sedang hotel tawar khidmat bufet, patuh garis panduan COVID-19

Setelah mengumumkan bahawa hidangan bufet dibenarkan disambung semula - dengan makanan dihidangkan oleh para kakitangan - sesetengah hotel di sini sedang berusaha untuk menambah tenaga kerja bagi memenuhi garis panduan COVID-19 dan menampung tempahan yang dijangka meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Tenaga kerja ditambah sedang hotel tawar khidmat bufet, patuh garis panduan COVID-19

(Gambar: PanPacific Hotels Group)

Diterbitkan : 21 Apr 2021 03:36PM Dikemas Kini : 21 Apr 2021 03:43PM

SINGAPURA: Setelah mengumumkan bahawa hidangan bufet dibenarkan disambung semula - dengan makanan dihidangkan oleh para kakitangan - sesetengah hotel di sini sedang berusaha untuk menambah tenaga kerja bagi memenuhi garis panduan COVID-19 dan menampung tempahan yang dijangka meningkat.

Bermula 12 April, barisan hidangan bufet dibenarkan di cawangan makanan dan minuman, acara korporat dan kerja, serta acara industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).

Sungguhpun demikian, para pelanggan tidak dibenarkan untuk mengambil sendiri makanan pilihan mereka.

Di bawah garis panduan keselamatan COVID-19 yang disemak semula, para pelayan dibenarkan untuk mengambil makanan bagi pihak pelanggan dan para pelanggan juga tidak dibenarkan menyentuh makanan di meja bufet.

Bufet majlis perkahwinan, upacara persemadian dan aktiviti sosial dalam persekitaran syarikat masih tidak dibenarkan.

Sebilangan hotel memberitahu Mediacorp bahawa terdapat maklum balas yang positif daripada para pelanggan mengenai langkah-langkah yang disemak itu.

Encik Sebastian Kern, pengarah khidmat makanan dan minuman di Grand Hyatt Singapore, berkata walaupun biasanya terdapat permintaan yang baik di restoran Straits Kitchen, pihaknya menyaksikan "kegembiraan berlipat ganda" bagi tawaran bufet.

Khidmat bufet adalah sesuatu yang tidak dapat ditawarkan sejak awal 2020, katanya.

Naib Presiden Operasi Pan Pacific Hotels Group Gino Tan berkata beliau turut menyaksikan "sedikit peningkatan" pada permintaan sejak berita mengenai penyambungan semula khidmat bufet diumumkan, terutama pada sebelah hujung minggu.

Kumpulan tersebut mengendalikan Hotel Pan Pacific dan PARKROYAL di Singapura.

"Sesetengah tetamu turut terkejut dengan orientasi bufet apabila mereka tiba di restoran dan mendapati bahawa mereka kini boleh beratur di meja bufet," katanya, sambil menambah bahawa kumpulan itu yakin "trend" makan di luar akan terus meningkat.

TAMBAH TENAGA KERJA

Sekalipun khidmat bufet yang disambung semula itu disambut baik, masih ada sebilangan hotel yang belum dapat menyambung semula khidmat itu sepenuhnya ekoran cabaran tenaga kerja.

Dengan permintaan perniagaan yang rendah dalam industri perhotelan, sebahagian besar pengendali kini bekerja dengan "tenaga kerja yang sangat kecil", kata pengarah operasi Marriott International bagi Singapura, Malaysia dan Maldives, Anuj Sharma.

Oleh itu, tenaga kerja menjadi "keprihatinan nombor satu" bagi kebanyakan tempat makanan dan minuman, katanya.

"Menyiapkan sistem baru untuk menawarkan bufet adalah model yang memerlukan banyak tenaga kerja dan pengambilan pekerja berkemahiran dalam masa yang singkat bukanlah satu tugas yang mudah," jelasnya.

Memandangkan ia memerlukan masa untuk menambah tenaga kerja, portfolio hotel Marriott Bonvoy di Singapura akan menyambung operasi bufetnya secara bertahap-tahap.

Terdapat 11 hotel di bawah portfolio Marriott Bonvoy, termasuk Singapore Marriott Tang Plaza Hotel, J W Marriott Hotel Singapore South Beach dan The St Regis Singapore.

PERSEDIAAN UNTUK MEMENUHI SYARAT

Untuk memenuhi syarat, Grand Hyatt memperkenalkan sistem barisan sehala di setiap stesen memasak, kata Encik Kern.

Sesetengah kakitangan juga akan berfungsi sebagai pegawai jarak selamat untuk mengawal pergerakan pelanggan. Cef-cef yang bertugas di semua stesen makanan, yang harus dilindungi oleh pelindung makanan.

Di bawah Pan Pacific Hotels Group, sebilangan restorannya turut menyediakan 'peta bufet' bagi memudahkan para pelanggan memahami susun atur restoran. Ini akan mengurangkan pergerakan yang tidak perlu di dalam restoran, kongsi Encik Tan.

Restoran mereka juga memasang pelindung di kaunter bufet, memasang tiang barisan dan papan tanda dengan arahan dan panduan untuk memastikan makanan dapat diambil dengan lancar mengikut garis panduan jarak selamat.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan