Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tempoh serah bidaan projek HSR dilanjutkan kepada 28 Dis 2018

MyHSR Corp Sdn Bhd (MyHSR Corp) dan SG HSR Pte Ltd (SG HSR) melanjutkan tempoh untuk menyerahkan bidaan tender projek Kereta Api Laju Singapura-Kuala Lumpur (HSR) Assets Co (AssetsCo), berikutan kerumitan dan skala projek itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tempoh serah bidaan projek HSR dilanjutkan kepada 28 Dis 2018

Konsep reka bentuk bagi stesen Muar di laluan HSR KL-S'pura. (Gambar fail: MyHSR)

Diterbitkan : 19 Apr 2018 07:56PM Dikemas Kini : 19 Apr 2018 08:03PM

KUALA LUMPUR: MyHSR Corp Sdn Bhd (MyHSR Corp) dan SG HSR Pte Ltd (SG HSR) melanjutkan tempoh untuk menyerahkan bidaan tender projek Kereta Api Laju Singapura-Kuala Lumpur (HSR) Assets Co (AssetsCo), berikutan kerumitan dan skala projek itu.

Dalam kenyataan bersama hari ini (19 Apr), kedua-dua syarikat itu menyatakan bahawa pembida kini akan diberi tempoh sehingga 28 Disember 2018, untuk mengemukakan cadangan mereka. 

"Lanjutan masa ini tidak akan menjejaskan tarikh untuk memulakan Perkhidmatan Ekspres HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura pada 31 Disember 2026,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pihak secara bersama menawarkan tender AssetsCo pada 20 Disember 2017,dan AssetsCo bertanggungjawab bagi mereka bentuk, membina, membiayai dan menyelenggara semua gerabak bagi projek HSR.

AssetsCo turut bertanggungjawab mereka bentuk, membina, membiayai, mengendalikan dan menyelenggara semua aset kereta api, seperti kerja-kerja melibatkan landasan kereta api, tenaga, telekomunikasi, dan menguruskan rangkaian sistem bagi keperluan operasi dan penyelenggaraan.

“Kami gembira dengan minat yang tinggi terhadap tender AssetsCo. Semasa pembida sedang melakukan persiapan bagi tender mereka, mereka turut meminta masa tambahan untuk menyediakan permohonan tender mereka untuk menawarkan nilai yang lebih baik kepada kedua-dua negara.

"Selepas  pertimbangan yang teliti, kami telah melanjutkan tarikh akhir penyerahan tender tersebut selama enam bulan, dan kami berharap untuk menerima cadangan yang berkualiti dan kompetitif daripada semua pembida,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal dan Pengarah Urusan SG HSR, Rama Venkta.

Selepas tender tersebut ditutup, MyHSR Corp dan SG HSR dijangka melengkapkan penilaian mereka dan mengumumkan keputusan tender pada suku ketiga 2019.

Projek strategik itu bertujuan untuk memudahkan perjalanan yang lancar antara Kuala Lumpur dengan Singapura. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan