Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tempat awam dikunjungi kes COVID-19 kelompok TTSH ditutup 2 hari

Tempat-tempat awam yang dikunjungi oleh kes-kes COVID-19 dalam kelompok Hospital Tan Tock Seng (TTSH) akan ditutup selama dua hari untuk kerja-kerja pembersihan, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Jumaat (30 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Tempat awam dikunjungi kes COVID-19 kelompok TTSH ditutup 2 hari

A&E Hospital Tan Tock Seng pada 30 Apr 2021 (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 30 Apr 2021 08:54PM Dikemas Kini : 30 Apr 2021 09:05PM

SINGAPURA: Tempat-tempat awam yang dikunjungi oleh kes-kes COVID-19 dalam kelompok Hospital Tan Tock Seng (TTSH) akan ditutup selama dua hari untuk kerja-kerja pembersihan, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Jumaat (30 Apr).

Ini demi mengurangkan penyebaran COVID-19 daripada sebarang kes yang tidak dapat dikesan dalam masyarakat, jelas beliau semasa sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian.

"Kami akan tutup semua tempat yang dikunjungi kes-kes semasa tempoh mereka kemungkinan berjangkit, selama dua hari untuk dibersihkan.

"Ini akan memudahkan ujian dijalankan ke atas kakitangan dan para pekerja di tempat-tempat terbabit," terang Encik Gan.

Tempat-tempat itu termasuk Gereja City Harvest Church dan Masjid Hajjah Fatimah di Beach Road, pasar raya NTUC FairPrice di Toa Payoh Hub dan VivoCity, serta tempat makan seperti Tuk Tuk Cha di Bugis Junction, Four Fingers di Junction 8 dan pusat makanan Malaysia Boleh di Ang Mo Kio Hub.

"Tujuannya adalah untuk benar-benar mengesan kes-kes tersembunyi yang mungkin tanpa gejala sehingga kita dapat secara berkesan membendung penyebaran," kata Encik Gan.

Pengerusi bersama pasukan bertindak itu Encik Lawrence Wong berkata agensi-agensi akan menghubungi pengendali dan pemilik premis untuk menutupnya.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa ingin melakukannya secepat mungkin.

LEBIH BANYAK KES DIJANGKA

Kelompok COVID-19 TTSH adalah kelompok hospital pertama di Singapura dan kini yang terbesar di negara ini dengan 13 kes.

Kes COVID-19 pertama yang dikesan dalam kelompok itu, seorang jururawat, diumumkan pada Rabu. Sejak itu 12 lagi kes disahkan dalam kelompok itu, terdiri daripada dua doktor, seorang pembantu kesihatan, seorang pekerja pembersihan dan lapan pesakit.

Lebih banyak kes dijangka dikesan melalui pengujian proaktif yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mencari "kes-kes tersembunyi", kata Encik Gan, sambil menambah bahawa Pemerintah "sangat prihatin" terhadap kelompok hospital itu.

Ujian COVID-19 akan diperluas untuk merangkumi pesakit yang sudah dibenarkan keluar dari TTSH dan mereka yang mengunjungi hospital pada atau selepas 18 April.

Sebelum ini MOH mengumumkan bahawa semua pesakit dan kakitangan di wad TTSH akan diuji, termasuk mereka yang tidak bergejala.

"Ujian kami sedang dijalankan, dan kami menjangka dapat mengesan lebih banyak kes dalam beberapa minggu mendatang, dalam beberapa hari mendatang," kata Encik Gan.

Pelawat dan pesakit yang berada di TTSH sejak 18 April dinasihatkan supaya memantau kesihatan mereka selama 14 hari dari tarikh lawatan mereka, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media.

"Mereka sangat digalakkan supaya mengunjungi Pusat Pemeriksaan Daerah (RSC) atau Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) untuk ujian swab yang dibiayai pemerintah," tambah kementerian itu.

Bagi mereka yang mungkin pernah ke tempat-tempat awam yang dikunjungi kes-kes COVID-19, Encik Wong berkata bahawa mereka akan menerima pesanan teks untuk memberitahu mereka agar memantau kesihatan mereka.

"Selain itu, kami juga akan memberitahu mereka dan menggalak mereka melalui SMS agar menjalani ujian. Jadi kami akan mengirimkan panduan kepada mereka di mana mereka boleh menjalani ujian dan ujian adalah percuma," katanya.

Senarai tempat MOH adalah seperti berikut:

(Sumber: MOH)

(Sumber: MOH)

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan