Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Temasek tubuhkan platform baru sokong penghasilan makanan mampan di Asia

Syarikat-syarikat teknologi makanan di Asia tidak lama lagi akan menerima lebih banyak sokongan dalam bidang kajian dan pengembangan (R&D) apabila satu platform baru dilancarkan pada tahun depan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Nov 2021 11:03PM Dikemas Kini : 15 Nov 2021 11:12PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat teknologi makanan di Asia tidak lama lagi akan menerima lebih banyak sokongan dalam bidang kajian dan pengembangan (R&D) apabila satu platform baru dilancarkan pada tahun depan.

Platform itu akan menyediakan peluang untuk kemudahan-kemudahan pengilangan meningkatkan operasinya di merata rantau ini.

Platform tersebut juga akan membantu menghubungkan syarikat-syarikat dengan para pelabur baru.

Diberi nama 'Platform Makanan Mampan Asia', ia akan dilancarkan oleh Temasek.

Pusat Inovasi Teknologi Makanan (FTIC) adalah salah satu kemudahan yang akan dibangunkan di bawah inisiatif itu. Ia bertujuan menjadi sebuah pusat sehenti di mana syarikat-syarikat boleh mendapatkan akses kepada peralatan, makmal, dapur ujian dan lain-lain lagi.

Dana berjumlah lebih S$30 juta akan disalurkan kepada wadah itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Saya berbesar hati mendapat tahu bahawa Temasek akan melancarkan Platform Makanan Mampan Asia. Platform sehenti ini bertujuan memacu kadar penggunaan makanan mampan pada setiap fasa pertumbuhan syarikat teknologi makanan," kata DPM Heng.

Syarikat pemula tempatan, Next Gen Foods, akan menjadi yang pertama untuk menyertai FTIC menjelang lewat tahun depan.

Menurut syarikat itu, sokongan tersebut akan membantunya meningkatkan penghasilan produk ayam buatan yang dihasilkan daripada tanaman.

Next Gen Foods menyifatkannya sebagai satu langkah penting sedang syarikat itu berusaha untuk menjadi pemain utama dalam pasaran global.

Rancangan bagi inisiatif tersebut diumumkan semasa pembukaan Minggu Agro Makanan Antarabangsa.

Persidangan tahunan itu meneroka inovasi terbaru dalam bidang agro makanan.

Menurut Temasek Holdings, Asia dijangka memerlukan pelaburan sekitar AS$1.5 trilion (S$2.02 trilion) dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi memenuhi permintaan serantau untuk pilihan makanan yang mampan. 

Sumber : CNA/AI/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan