Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Temasek terima Anugerah Adinata; diiktiraf usaha selaku pelabur & rakan Indonesia

Temasek menerima Anugerah Adinata pertama daripada Kedutaan Republik Indonesia hari ini (26 Ogos) sebagai mengiktiraf kerjasama yang sudah sekian lama terjalin antara syarikat itu dengan Indonesia. 

Anggaran Waktu Membaca:
Temasek terima Anugerah Adinata; diiktiraf usaha selaku pelabur & rakan Indonesia

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek International, Dilhan Pillay (kanan), menerima Anugerah Adinata daripada Duta Republik Indonesia ke Singapura, Suryo Pratomo. (Gambar: Kedutaan Republik Indonesia)

SINGAPURA: Temasek menerima Anugerah Adinata pertama daripada Kedutaan Republik Indonesia hari ini (26 Ogos) sebagai mengiktiraf kerjasama yang sudah sekian lama terjalin antara syarikat itu dengan Indonesia.

Anugerah itu juga disampaikan bagi memperakui usaha Temasek dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara, menurut Kedutaan Republik Indonesia dalam satu kenyataan media hari ini.

Anugerah Adinata atau Anugerah bagi Kecemerlangan diberikan sempena meraikan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos lalu.

Duta Republik Indonesia ke Singapura, Suryo Pratomo, berkata Anugerah Adinata disampaikan kepada Temasek setelah menimbangkan rekod prestasi serta pelaburan jangka panjangnya di Indonesia.

Temasek dan syarikat-syarikat portfolionya sudah berlabur secara berterusan di Indonesia selama beberapa tahun. Malah, menurut kenyataan media itu, ia juga menyokong Indonesia dalam menyediakan latihan, biasiswa pendidikan dan sumbangan derma tatkala pandemik COVID-19.

"Temasek sudah membuktikan bahawa Singapura adalah salah satu rakan sejati yang menghulurkan bantuan dalam masa-masa tidak menentu sekarang untuk kekal bersatu dan bekerjasama serta bersama-sama menangani cabaran-cabaran yang sama," ujar Encik Suryo Pratomo.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek International, Dilhan Pillay, menzahirkan penghargaan dan penghormatan mendalam bagi pihak Temasek atas anugerah tersebut.

"Ia mengesahkan lagi kerjasama yang kami kongsi dengan Indonesia. Kami akan terus bekerjasama dengan anda, sebagai seorang pelabur, namun lebih penting lagi, sebagai rakan," ujar beliau.

Encik Pillay menarik perhatian, secara khusus, bahawa ekonomi digital Indonesia menjanjikan peluang cerah disebabkan asas kukuh seperti penduduk yang ramai dengan pendapatan meningkat serta ekosistem digital yang pesat berkembang.

Hubungan Temasek dengan Indonesia menjangkaui sekadar kerjasama perniagaan, tambah beliau. Bulan lalu, Yayasan Temasek dan sekumpulan penderma dari Indonesia serta Singapura menyediakan lebih 12,000 alat oksigen ke Indonesia.

"Sekarang dan pada bulan-bulan mendatang, lebih banyak diagnostik, peralatan oksigen dan Peralatan Perlindungan Peribadi dihantarkan ke Indonesia," kata beliau.

TEMASEK MAIN PERANAN PENTING PERKUKUH KERJASAMA

Tahun ini adalah kali pertama Kedutaan Republik Indonesia di Singapura menganjurkan acara penyampaian Anugerah Adinata dan ia diadakan secara maya.

Ia dihadiri Menteri Ehwal Luar Republik Indonesia Retno L.P. Marsudi, Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, dan Presiden merangkap CEO Kumpulan Sembcorp Industries, Wong Kim Yin. Sembcorp adalah antara syarikat portfolio Temasek.

Kedua-dua Menteri Ehwal Luar mengalu-alukan penyampaian Anugerah Adinata kepada Temasek. Melalui pelaburan langsungnya serta pelaburan dan kerjasama syarikat-syarikat portfolionya, Temasek ternyata banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pemulihan Indonesia.

Kedua-dua menteri itu juga bersetuju tentang peranan penting yang digalas Temasek dalam memperkukuhkan kerjasama yang membuahkan manfaat bersama, terutama dalam mengatasi cabaran-cabaran yang sama di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Cik Retno menghargai sokongan yang dihulurkan oleh pemerintah dan rakyat Singapura dalam usaha pemulihan pandemik di Indonesia. Beliau menambah Temasek Holdings memainkan peranan penting dalam usaha memupuk hubungan antara rakyat dan perniagaan kedua-dua negara.

"Saya berharap komitmen anda yang sekian lama dalam merapatkan lagi hubungan antara rakyat kedua-dua negara akan memberi inspirasi kepada ramai," ujar Cik Retno.

Dalam pada itu, Dr Balakrishnan mengimbau semangat gotong-royong dan saling tolong-menolong antara kedua-dua negara dalam respons terhadap pandemik serta memenuhi keperluan kemanusiaan yang mendesak.

Beliau menghargai semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam usaha seumpama itu di baik di Indonesia mahupun di Singapura.

Sementara itu, Encik Wong berkata Sembcorp Industries sudahpun menjadi rakan kongsi pelaburan Indonesia sedari tahun 1990. Projek-projeknya di Indonesia termasuk membangunkan tiga taman perindustiran di Indonesia yang menjana pelaburan asing bernilai AS$3.5 bilion (S$4.7 bilion) serta mewujudkan pekerjan untuk hampir 100,000 orang. Selain itu, ia juga menyokong Batam dalam keperluannya bagi air minuman yang bersih selama 25 tahun.

"Kami juga menumpukan perhatian kepada usaha menyediakan tenaga mesra alam sekitar untuk masyarakat kita. Sembcorp mempunyai 2,700MW aset bekalan tenaga diperbaharui yang sudah dipasang dan kami menyasarkan untuk melipatgandakannya kepada 10,000MW menjelang 2025 dengan melaburkan lebih S$5,000," tambah beliau.

Anugerah Adinata akan disampaikan setiap tahun kepada individu atau institusi di Singapura yang meningkatkan persefahaman antara Indonesia dengan Singapura serta menjalin hubungan muhibah lebih baik antara kedua-dua negara.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan