Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Telusuri Geylang Serai' secara online; selami sejarah & kisah menarik dari mulut bekas penduduk

Tahukah anda apakah sebenarnya kisah di sebalik nama jalan-jalan di sepanjang Geylang Serai? Apa pula sejarah bangunan-bangunan ikonik kawasan itu yang mungkin masih kurang diketahui ramai?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tahukah anda apakah sebenarnya kisah di sebalik nama jalan-jalan di sepanjang Geylang Serai? Apa pula sejarah bangunan-bangunan ikonik kawasan itu yang mungkin masih kurang diketahui ramai?

Demi merungkaikan persoalan tersebut, satu siri baru yang diberi nama ‘Telusuri Geylang Serai’ mengajak anda mendalami sejarah jalur budaya Melayu itu.

Sebanyak 20 episod siri vlog terbitan Wisma Geylang Serai (WGS) itu akan disiarkan menerusi laman Facebooknya setiap bulan mulai esok (19 Nov) hingga Mac tahun depan.

Setiap empat episod menumpukan perhatian kepada sebuah tempat ikonik di Geylang Serai termasuk Kelab Masyarakat Kampong Ubi, Tanjong Katong Complex, Pasar Geylang Serai, Joo Chiat Complex serta Wisma Geylang Serai sendiri.

Dengan diiringi personaliti-personaliti popular tempatan seperti Suzairhe Sumari, Suhaimi Yusof, Farah Lola, Yuslina Yussof, Ustaz Zahid Zin dan ramai lagi, para penonton berpeluang mengenali tempat, individu serta makanan menarik yang boleh dijumpai di Geylang Serai.

Sejarah turut diselami menerusi perkongsian cerita oleh mereka yang pernah tinggal atau sering mengunjungi kawasan itu.

Menurut Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman, program tersebut adalah sebahagian daripada usaha penting untuk mendokumentasikan sejarah bagi generasi akan datang.

"Program ini telah disusun dengan teliti untuk memperkenalkan kepada mereka yang masih muda akan nilai sejarah dan memberi peluang kepada mereka yang sudah berumur untuk mengimbas kembali masa lalu mereka.

"Dengan bentuk risalah yang dicetak, digital dan juga vlog, kami dapat menjangkau lebih banyak orang tidak kira usia dan bangsa kerana kawasan ini bukan sahaja penting untuk masyarakat Melayu tetapi penduduk-penduduk yang tinggal dan berniaga di kawasan ini," kongsi Dr Maliki yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Pembangunan Daerah (Precinct Development) Geylang Serai.

Rumusan informasi yang dikongsi dalam siri itu boleh juga dibaca dalam risalah 'Jalan-Jalan @ Geylang Serai' yang diusahakan jabatan pembangunan kawasan WGS. Ia turut memeta dan menyenaraikan tempat-tempat makan, hiburan dan rumah-rumah ibadah yang boleh dikunjungi.

Episod pertama Telusuri Geylang Serai yang menonjolkan sejarah Kampong Ubi dan Jalan Eunos boleh ditonton di laman Facebook WGS pada 9.00 malam esok (19 Nov).

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan