Images
  • dbs facial recognition
    (Gambar: DBS, GovTech)

Teknologi pengecaman wajah mudahkan pemegang SingPass daftar khidmat perbankan digital DBS

SINGAPURA: Pemegang SingPass akan dapat mendaftar bagi khidmat perbankan digital DBS dengan mengambil gambar diri sendiri menggunakan penggunaan teknologi pengecaman wajah. Ini selepas perbankan digital meningkat dengan ketara di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Program perintis itu bertujuan untuk memanfaatkan lebih sejuta pelanggan DBS yang juga pemegang SingPass tetapi tidak menggunakan khidmat perbankan digital, menurut bank itu dan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTECH) dalam kenyataan media pada Rabu (29 Jul).

Dalam kumpulan ini, lebih 60 peratus merupakan warga emas yang berusia 62 tahun ke atas. Menurut kenyataan media itu, semakin ramai warga emas kini beralih ke perbankan digital semasa penularan COVID-19.

Khidmat tersebut juga bertujuan untuk memberi manfaat kepada mereka yang mencuba perbankan digital buat pertama kalinya, kata ketua kumpulan perbankan pengguna (Singapura) di DBS, Encik Jeremy Soo.

DBS adalah bank pertama yang melaksanakan khidmat terbaru GovTech itu.

SEPERTI "SELFIE"

Prosesnya "ibarat memetik swafoto" dan akan membolehkan rakyat Singapura dan penduduk tetap untuk mendaftar bagi khidmat perbankan digital DBS dari rumah, termasuk mendaftar bagi perbankan digital.

Ia akan membolehkan mereka untuk mengakses akaun bank dan khidmat perbankan mereka dengan segera dan "mempercepatkan" proses pendaftaran, menurut kenyataan media itu.

Dengan menggunakan pengecaman wajah, syarikat-syarikat perusahaan dapat memadankan imej pengguna dengan pangkalan data biometrik Pemerintah. Sungguhpun demikian, mereka "tidak mengumpul atau menyimpan data yang diserahkan ... untuk menjaga privasi dan keselamatan data pengguna", menurut kenyataan media tersebut.

Pelanggan DBS/POSB yang berminat boleh menggunakan ciri pengecaman wajah SingPass itu perlu memuat turun aplikasi mudah alih digibank untuk membuat pilihan. Mereka kemudian perlu berswafoto yang akan dipadankan dengan rekod gambar kad pengenalan/pasport terbaru mereka dari pangkalan data biometrik Pemerintah.

Setelah berjaya dipadankan, DBS akan menghantar SMS-OTP ke nombor telefon bimbit yang didaftarkan pengguna untuk pengesahan dan pengguna kemudian boleh mendaftar bagi digibank pilihan mereka, menurut DBS dan GovTech, sambil menambah bahawa orang ramai tidak seharusnya mendedahkan butiran peribadi kepada orang lain.

Menjelang hujung 2020, para pelanggan DBS juga mempunyai pilihan untuk menggunakan teknologi pengecaman wajah SingPass untuk mendaftar bagi produk dan khidmat lain, menurut kenyataan media itu.

- CNA/TQ/tq

Top